Pengasuhan Positif

Awas! Kanak-kanak Di Dalam Kereta

Tahukah anda bahawa 37% kemalangan jalan raya yang melibatkan penumpang berumur 19 tahun dan ke bawah telah berakhir dengan kematian? Memastikan anak anda duduk di dalam kerusi keselamatan setiap kali menaiki kereta boleh menyelamatkan nyawa dan mencegah anak anda daripada mengalami kecederaan yang serius jika terlibat dalam kemalangan.

Letakkan bayi atau anak kecil anda di kerusi keselamatan kanak-kanak yang sesuai dengan umur dan berat mereka. Anak anda perlu menghadap bahagian belakang kereta sehingga berusia sekurang-kurangnya 1 tahun dan mempunyai berat sekurang-kurangnya 9 kg. Apabila anak anda berumur lebih dari itu, dia boleh menghadap bahagian depan kereta.

Gunakan kerusi ‘booster’ sekiranya anak anda sudah besar tetapi masih kecil untuk memakai tali pinggang keledar orang dewasa. Kerusi ‘booster’ ini akan meninggikan kedudukan anak anda supaya tali pinggang keledar yang dipakai merentangi bahagian atas paha (bukan di atas perut) manakala satu lagi merentangi bahagian tengah dada dan bahunya.

Jika anak anda sudah berumur 10 tahun ke atas (berat melebihi 35 kg atau tinggi 145 sm), dia tidak perlu menggunakan kerusi ‘booster’ tetapi masih perlu duduk di kerusi belakang kereta dan menggunakan tali pinggang keledar sehingga usianya mencecah 12 tahun.

Caution!Child-in-car_Girl

Kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas boleh duduk di kerusi depan. Tali pinggang hendaklah sentiasa digunakan.

Caution!Child-in-car_boy

TIP-TIP UNTUK PERJALANAN YANG SELAMAT

Meletakkan anak anda di kerusi keselamatan atau ‘booster’ sepanjang perjalanan akan menjamin keselamatan mereka, tetapi itu hanyalah satu faktor. Faktor yang lain ialah anda sendiri:

  • Tunjukkan teladan yang baik kepada anak anda dengan menggunakan tali pinggang keledar.
  • Jangan memandu terlalu laju dan patuhi undang-undang jalan raya.
  • Pastikan semua penumpang telah duduk dengan selamat sebelum memulakan perjalanan.
  • Gunakan kunci ‘child-proof’ untuk menghalang anak anda daripada membuka pintu ketika kereta sedang bergerak.
  • Pastikan semua tingkap dan pintu dikunci sepanjang perjalanan anda.
  • Jangan sesekali membiarkan anak anda menjulurkan kepalanya ke luar tingkap.
  • Jangan sesekali meninggalkan anak anda bersendirian di dalam kereta.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen