Pengasuhan Positif

Persediaan Untuk Kehamilan

Oleh Prof Dr Muhammad Abdul Jamil Mohd Yassin, (Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan Ahli Jawatankuasa Persatuan O&G Malaysia), Pakar Pemakanan Prof Madya Dr Poh Bee Koon (Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia), Dr Musa Nordin (Pakar Perunding Neoratalogi dan Bendahari Persatuan Pediatrik Malaysia)

Sekiranya anda sedang merancang untuk menimang cahaya mata (tidak kira dalam masa yang terdekat atau beberapa tahun lagi), anda seharusnya menilai cara hidup anda dan mula menyediakan diri anda untuk menghadapi kehamilan. Status kesihatan dan cara hidup anda sangat mempengaruhi kehamilan serta kelahiran, samada anda akan mengalami masalah atau peluang melahirkan bayi yang sihat dan normal. Berikut merupakan cadangan-cadangan bernas yang seharusnya ada dalam setiap perancangan kehamilan yang bijak:

Jangan Tunggu Terlalu Lama

  • Wanita paling subur di antara usia 20 hingga 24 tahun.
  • Adalah baik untuk melahirkan anak sebelum berumur 30 tahun.
  • Wanita yang melahirkan anak selepas umur 35 tahun berisiko lebih tinggi untuk praeklampsia (tekanan darah tinggi semasa hamil), diabetes (kencing manis) semasa hamil, placenta previa (keadaan di mana uri berada terlalu rendah pada dinding uterus, yang menyebabkan ibu dan bayi terdedah kepada risiko pendarahan yang serius).
  • Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang berumur 35 tahun ke atas lebih berisiko tinggi menghidap sindrom Down dan ketidaknormalan kromosom yang lain.
  • Anda masih berpeluang melahirkan bayi yang normal dan sihat walaupun berusia lebih 35 tahun, tapi anda memerlukan perhatian perubatan yang lebih.

Dapatkan Berat Badan yang Sihat

  • Adalah penting untuk mencapai berat badan yang sihat (IJT 18.5 hingga 24.9) sebelum hamil.
  • Sekiranya anda kurang berat badan (IJT kurang 18.5), anda berisiko melahirkan bayi dengan berat lahir rendah dan berisiko tinggi mengalami komplikasi kesihatan semasa sakit bersalin, kelahiran dan selepas kelahiran.
  • Sekiranya anda berlebihan berat badan (IJT lebih 24.9) dan obes (IJT 30 dan ke atas) semasa kehamilan, anda berkemungkinan besar mendapat penyakit-penyakit semasa kehamilan termasuk tekanan darah tinggi dan kencing manis.
  • Tekanan darah tinggi semasa kehamilan dikaitkan dengan gangguan perkembangan fetus yang mengakibatkan bayi lahir dengan berat badan yang rendah.
  • Diabetes (kencing manis) semasa hamil boleh mengakibatkan bayi lahir lebih besar daripada normal yang mengakibatkan masalah semasa kelahiran dan risiko paras gula rendah (hipoglisemia) semasa lahir. Diabetes yang tidak dikawal sebelum kehamilan meningkatkan risiko pelbagai keabnormalan pada fetus.
  • Mulakan tabiat pemakanan yang sihat dan jalani kehidupan yang aktif untuk mencapai status berat badan yang sihat. Layari laman web NSM www.nutriweb.org untuk mendapatkan maklumat dari pakar-pakar dalam bidang tersebut. Berjumpalah dengan doktor anda sekiranya memerlukan nasihat lanjut.

prepareplan2-bm

Mulakan Makan untuk Hamil

  • Pemakanan yang baik membantu anda membina simpanan kehamilan yang secukupnya.
  • Sekiranya sebelum ini anda makan dengan tidak sihat, tukarlah tabiat pemakanan anda.
  • Setiap hari, anda harus makan lebih banyak makanan kaya dengan karbohidrat (bijirin seperti nasi dan produk bijirin seperti mi dan pasta, dan umbisi), lebih buah-buahan dan sayur-sayuran dan makan dengan sederhana makanan berprotein (daging, ikan, daging ayam itik, kekacang seperti soya) dan susu dan produk tenusu; makan lemak, minyak, gula dan garam dalam jumlah yang kecil.
  • Makan pelbagai jenis makanan. Contohnya, karbohidrat yang berlainan jenis ( nasi, mi, roti), semua jenis sayuran (sayuran berdaun, sayuran dalam pelbagai warna, sayuran berakar), makanan berprotein yang berbeza (telur, daging, ikan, makanan ternakan), telur dan hasil tenusu.
  • Makan makanan yang berkhasiat, terutamanya yang kaya dengan zat besi dan asid folik untuk membantu anda dan bayi menjadi lebih mantap semasa kehamilan.
  • Kekurangan zat besi semasa hamil akan mengakibatkan ibu menghidap anemia dan mungkin keguguran. Makanan yang kaya dengan zat besi termasuk hati, daging tidak berlemak, bijirin sarapan yang dikukuhkan dengan zat besi, kekacang (contohnya dhall, kacang bunus), hasil pengeluaran kacang soya dan buah-buahan kering.
  • Asid folik memainkan peranan dalam membina sel darah baru. Kekurangan asid folik dalam badan boleh menyebabkan kecacatan pada tiub neural (neural tube defects) dan saluran otak (contohnya spina bifida dan anencephaly) dalam bayi anda. Mikronutrisi ini boleh didapati dalam sayuran berdaun hijau, buah-buahan dan sayuran berwarna kuning gelap, hati, kekacang dan makanan diproses (contohnya, bijirin sarapan) yang dikukuhkan dengan vitamin.

prepareplan1

Kekalkan Cergas!

  • Aktiviti senaman dengan konsisten boleh membantu anda mengekalkan berat badan dan meningkatkan tahap tenaga, serta buat anda lebih cergas dan lentur.
  • Janganlah tunggu sehingga hamil untuk mula bersenam. Mengekalkan kecergasan dari sekarang akan membantu meningkatkan tahap tenaga dalam badan dan mengurangkan ketidakselesaan (contohnya sakit belakang) apabila hamil nanti.
  • Jika anda memang tidak aktif selama ini, mulalah dengan mengubah rutin seharian: letakkan kenderaan jauh dari destinasi dan berjalan kaki hingga sampai, gantikan penggunaan lif dengan menaiki tangga, cucilah kereta anda dengan tangan… anda pasti faham.
  • Jadikanlah senaman sebagai suatu tabiat (walaupun hanya pada kadar sederhana) untuk sekurangkurangnya 3 kali sehari (kalau dilakukan setiap hari lebih baik).

Kekalkan Sihat

  • Sesetengah kecederaan, jangkitan atau penyakit boleh menjejaskan kebolehan anda untuk hamil tau menyebabkan bayi anda dilahirkan dengan kecacatan atau penyakit yang berlarutan untuk seumur hidup.
  • Elakkan diri daripada tercedera dengan lebih berhatihati serta menghindarkan diri daripada keadaan berbahaya sama ada di rumah,di tempat kerja, di luar atau di kawasankawasan lain.
  • Pastikan anda diberi imunisasi terhadap penyakit serius (termasuk rubela, demam campak, beguk, kancing gigi, lumpuh, hepatitis, cacar air dan yang lain) yang boleh membahayakan nyawa bayi anda sekarang, atau disalurkan kepada bayi anda yang seterusnya.
  • Lindungi diri anda daripada penyakit hubungan seks dan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan cara hidup yang tidak sihat (contohnya, merokok, alkohol dan dadah).
  • Dapatkan terapi atau rawatan dan kendalikan penyakit yang sedang dihidapi, terutamanya, jika anda mempunyai penyakit yang diwarisi (seperti thalassemia), penyakit dari lahir (seperti penyakit jantung kongenital) atau penyakit berpanjangan atau kronik. Dapatkan nasihat doktor sama ada ia adalah selamat untuk hamil.

Fakta Mengenai Merokok

Bilangan gadis dan wanita yang mula merokok semakin meningkat, malah kadar peningkatan jauh melebihi kaum lelaki. Wanita yang merokok semasa hamil akan menghadapi risiko tinggi:

  • Keadaan uri yang rumit, membran bocor dan jangkitan air kencing.
  • Keguguran, bayi mati semasa dilahirkan dan bayi dilahirkan pramatang.
  • Melahirkan bayi yang kurang berat badan.
  • Bayi menghidap kecacatan pada bahagian jantung, otak dan muka Lelaki yang merokok mempunyai bilangan sperma rendah, maka menjejaskan kesuburan mereka. Lelaki ini juga menghadapi risiko menghidap penyakit saluran darah yang boleh menyebabkan kemandulan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen