Pengasuhan Positif

Menyediakan Diri Anda Untuk Kehamilan Yang Sihat

Adakah anda dan pasangan anda akhirnya membuat keputusan untuk menimang cahaya mata? Anda patut merancang kehamilan dan mengambil langkah-langkah yang betul sebelum mengandung untuk memastikan kehamilan yang sihat, dan mengurangkan risiko dan komplikasi kehamilan.

Jangan mengambil risiko

Sebelum anda membuat keputusan untuk mengandung, pertimbangkan faktorfaktor risiko berikut, yang boleh menyebabkan komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran:

  • Merokok meningkatkan risiko keguguran, pendarahan, berat badan lahir rendah, kelahiran pramatang, sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS), dan kelahiran mati.
  • Alkohol menyebabkan sindrom alkohol janin, tandatandanya termasuk berat badan lahir rendah, dan kecacatan kelahiran seperti kegagalan fungsi jantung, tulang, buah pinggang, telinga dan mata.
  • Kafein menjejaskan kadar denyutan jantung fetus yang sedang berkembang dan waktu tidur-bangunnya (pertumbuhan berlaku semasa fetus tidur).
  • Pemakanan yang kurang baik. Pemakanan yang baik adalah sangat penting untuk perkembangan fetus. Asid folik adalah penting kerana kekurangan jenis vitamin B ini boleh menyebabkan kecacatan kelahiran, seperti kecacatan pada tiub neural. Kecacatan pada tiub neural termasuk spina bifida iaitu di mana tulang belakang bayi tidak terbentuk dengan betul, serta bahagian atas tengkorak dan otak gagal terbentuk dengan sempurna.
  • Umur. Wanita yang berumur 35 tahun ke atas mengalami risiko tinggi untuk masalah perubatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes semasa hamil, ketidakabnormalan kromosom pada janin, dan kelahiran mati.
  • Berat badan. Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes menghadapi risiko yang tinggi untuk melahirkan bayi yang besar, dan menyukarkan kelahiran. Mereka juga mungkin mengalami diabetes semasa hamil, tekanan darah tinggi dan praeklampsia. Walau bagaimanapun, perempuan yang kekurangan berat badan adalah lebih cenderung untuk melahirkan bayi yang juga kekurangan berat badan.

Jangkitan yang boleh membahayakan bayi anda

Jangkitan tertentu boleh membahayakan anda dan bayi anda semasa kehamilan, oleh itu pastikan vaksinasi yang anda terima adalah yang terkini. Vaksinasi membantu melindungi tubuh anda daripada jangkitan, dan anda boleh memberi perlindungan ini kepada bayi anda. Ini akan membantu memastikan keselamatan bayi anda pada beberapa bulan yang pertama selepas dilahirkan sehingga dia mendapatkan vaksinasi untuk dirinya.

Kebanyakan vaksinasi adalah tidak selamat untuk diambil semasa kehamilan, sebaliknya vaksin harus diambil sebaik sahaja anda membuat keputusan untuk mengandung. Ini termasuk:

Selsema Melindungi anda dan bayi anda daripada selsema bermusim dan H1N1. Mengalami selsema semasa kehamilan boleh menyebabkan komplikasi seperti radang paru-paru.
HPV (human papillomavirus) Melindungi daripada jenis-jenis HPV yang juga boleh menyebabkan perubahan dalam pangkal rahim dan kebanyakan kanser pangkal rahim.
MMR (demam campak, beguk, rubella) Melindungi daripada demam campak, satu penyakit serius yang menyebabkan ruam, batuk dan demam. Ia juga boleh menyebabkan cirit-birit, jangkitan telinga, radang paru-paru, kerosakan otak, dan juga kematian dalam kes yang padah! Jangkitan demam campak semasa kehamilan boleh menyebabkan keguguran.
Tdap (tetanus, difteria, pertusis) Mencegah pertusis, yang mudah merebak dan amat berbahaya kepada bayi.
Varicella (cacar air) Menghidapi cacar air semasa kehamilan boleh menyebabkan kecacatan pada bayi anda.

Memastikan kehamilan yang sihat, melindungi anak anda

Penjagaan anak anda bermula sebelum dia dilahirkan. Perubahan tabiat gaya hidup anda akan membantu memastikan kehamilan yang sihat. Contohnya berhenti merokok, serta mengurangkan atau menghentikan pengambilan kafein. Jumpalah doktor anda untuk mendapatkan pemeriksaan dan untuk memastikan anda sesuai dan sihat untuk mengandung.

Pemakanan yang baik adalah penting. Diet yang seimbang dan pelbagai adalah perlu untuk perkembangan bayi anda. Pengambilan vitamin yang penting seperti asid folik, adalah diperlukan untuk mencegah kecacatan tiub neural dan saraf tunjang. Berat badan yang berlebihan dan obes boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran. Justeru itu, senaman yang sederhana dapat membantu mencegah pertambahan berat badan yang berlebihan dan juga mengekalkan kecergasan anda. Berenang, berjalan kaki dan yoga adalah antara senaman kegemaran di kalangan wanita mengandung.

Akhir sekali, anda dinasihatkan supaya kerap berjumpa dengan doktor semasa anda mengandung. Pemantauan yang berkala akan membantu memastikan kehamilan dan bayi yang sihat!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen