Pengasuhan Positif

Mengatasi Kemurungan

Kemurungan selepas bersalin, juga dikenali sebagai ‘angin meroyan’, adalah satu bentuk tekanan yang biasa dialami oleh ibu yang baru melahirkan bayi. Ia biasanya dialami dalam masa dua minggu pertama selepas bersalin. Tetapi ingatlah bahawa angin meroyan bukan suatu penyakit dan ia akan hilang dengan sendirinya.

Apakah Puncanya?

Punca sebenar angin meroyan tidak diketahui, tetapi ramai percaya bahawa perubahan fizikal dan hormon yang dramatik dalam badan ibu mungkin mencetuskan perubahan kimia dalam otak yang mengakibatkan kemurungan.

Suami Patut Ingat!

Gejala angin meroyan tidak begitu teruk, tetapi ia boleh membawa mudarat kepada isteri anda. Wanita yang umumnya merasa rendah diri, kekurangan sokongan emosi, dan mempunyai tanggapan salah terhadap peranan sebagai ibu lebih berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin. Awasi gejala berikut jika anda rasa isteri anda mengalami angin meroyan:

  • Merasa tertekan
  • Sukar tidur
  • Tidak gemar melakukan aktiviti yang menyeronokkan
  • Merasa serba kekurangan sebagai ibu
  • Lesu

Menghindari Kemurungan

Selepas bersalin, anda mungkin merasa letih lesu, tidak selesa dan kurang tidur. Langkah berikut boleh membantu anda mengatasi kemurungan:

  • Dapatkan tidur secukupnya. Kekurangan tidur boleh memburukkan lagi keadaan. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kekurangan tidur menyebabkan pusat emosi dalam otak menjadi 60% lebih reaktif. Jadi, carilah masa untuk berehat. Melelapkan mata walau sepuluh minit sekalipun dapat menceriakan anda.
  • Bercakap dengan suami. Jangan malu untuk berkongsi perasaan anda dengan suami. Bila anda berkongsi apa yang anda rasakan, anda akan merasa kurang tertekan. Malah, anda boleh menyertai kumpulan sokongan. Kumpulan sokongan boleh membantu anda menangani perasaan tertekan dan meluahkan perasaan dan emosi anda dalam suasana yang berpendidikan dan sentiasa memberi sokongan.
  • Menangislah jika anda ingin. Jika anda rasa ingin menangis, menangislah sepuas hati. Menangis adalah satu bentuk komunikasi. Sama ada anda percaya atau tidak, menangis adalah satu terapi yang boleh membantu anda melegakan ketegangan dan tekanan. Menahan perasaan hanya akan memanjangkan kemurungan.
  • Makan makanan yang sihat. Apa yang anda makan boleh mempengaruhi mood anda. Hasil kajian menunjukkan bahawa makanan dengan kandungan omega-3 yang tinggi seperti kacang soya, walnut, tauhu dan sardin boleh menaikkan mood anda.

Bagaimana Kalau Kemurungan Bertambah Buruk?

Jika kemurungan tidak hilang dalam dua minggu, besar kemungkinan anda akan mengalami sesuatu yang lebih teruk, dinamakan tekanan lepas bersalin atau kemurungan postnatal. Segera dapatkan bantuan perubatan kerana jika dibiarkan berlanjutan, ia boleh membawa kesan negatif dan memburukkan keadaan hingga menjejaskan pengalaman anda sebagai ibu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen