Pengasuhan Positif

Jangan Jatuh Ke Dalam Perangkap Siber

Mengelakkan Perangkap Ruang Siber

Apakah yang boleh anda lakukan untuk memastikan pengalaman melayari Internet yang selamat bagi anak anda?

Pada tahun 2010, Norton, sebuah syarikat yang menawarkan perisian keselamatan Internet, menerbitkan satu laporan yang menunjukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia menghabiskan purata masa 64 jam dalam talian setiap bulan. Data ini menunjukkan bahawa kanak-kanak kini terdedah kepada Internet pada usia yang awal. Oleh sebab kanak-kanak menjadi semakin celik teknologi, mereka mudah menghabiskan banyak masa di dalam realiti siber. Laporan tersebut benar terutamanya bagi kes ibu bapa yang sibuk bekerja dan kurang meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

Timbul satu persoalan – haruskah anda benarkan anak anda menggunakan Internet secara bebas? Dengan kata lain, anda dinasihatkan supaya menyelia anak anda ketika menggunakan Internet. Sebab utamanya adalah supaya anda dapat menyaring kandungan dalam talian yang tidak sesuai, seperti pornografi, laman web yang mengandungi maklumat yang mengelirukan, atau mengandungi arahan untuk aktiviti-aktiviti berbahaya. Laman web ini akan memberi pengaruh yang negatif kepada mereka, maka penting supaya anda membimbing mereka dengan berkesan.

Apabila anak anda membesar nanti, anda boleh bertukar daripada penyeliaan kepada pengawasan. Terdapat banyak cara yang tidak mudah dikesan yang boleh anda lakukannya, namun dinasihatkan supaya anda memaklumkan anak anda, dan penting untuk menerangkan mengapa anda perlu mengawasi mereka.

Teruskan membaca untuk mengetahui apa yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan pengalaman melayari Internet yang sihat bagi anak anda.

Bagaimana Internet Mempengaruhi Anak Anda

Laman rangkaian sosial adalah sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Satu kajian yang dijalankan oleh sebuah firma antarabangsa terkemuka dalam penyelidikan pasaran, Taylor Nelson Sofres (TNS), mendapati bahawa rakyat Malaysia mempunyai purata 233 rakan Facebook dan menghabiskan masa 9 jam seminggu pada laman rangkaian sosial. Kedua-dua angka ini merupakan jumlah tertinggi di dunia, menewaskan rakyat Brazil yang mempunyai purata 231 rakan Facebook, dan rakyat Russia yang menghabiskan masa kira-kira 8 jam seminggu pada laman rangkaian sosial.

Menggunakan Internet dengan bijak

Penggunaan Internet yang kerap akan memberi kesan terhadap perkembangan sosial, kognitif dan psikologi kanak-kanak atau remaja. Kebanyakkan maklumat, pengetahuan dan pandangan daripada pelbagai sumber dalam talian mempunyai potensi merangsang dan memperkembangkan pemikiran anak anda.

Dari segi perkembangan kognitif, kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada komputer pada usia awal:

  • Membantu menggalakkan perkembangan kognitif anak anda.
  • Meningkatkan keupayaan membaca.
  • Merangsang proses kognitif yang terlibat dalam penafsiran teks dan imej.
  • Melatih kemahiran merancang, strategi mencari maklumat, dan menilai maklumat sambil melayari laman web.
  • Membantu membangunkan pemikiran efektif dan kemahiran menyelesaikan masalah.
  • Boleh membantu pembelajaran di sekolah dengan menyediakan lebih banyak fakta.
  • Memudahkan komunikasi yang kreatif dan intelektual bersama orang lain.

Berjaga-jaga dengan perangkap siber

Di samping potensi positif yang ditawarkan oleh Internet, terdapat juga keburukan dalam penggunaannya. Menghabiskan terlalu banyak masa dalam talian boleh:

  • Menyebabkan anak anda menjadi kurang mahir untuk menafsirkan bahasa badan yang ditunjukkan oleh orang lain.
  • Menyebabkan mereka meninggalkan aktiviti fizikal/senaman.
  • Menyebabkan mereka kurang meluangkan masa bersama ahli keluarga dan hubungan kehidupan sebenar, lalu mengakibatkan mereka lebih menumpukan hubungan alam maya.
  • Mengakibatkan narsisisme yang merupakan satu keadaan psikologi di mana seseorang itu terlalu mengagung-agungkan keupayaan dirinya dan mempunyai perasaan cinta atau kagum terhadap diri sendiri yang berlebihan.
  • Pengakuan terhadap pencapaiannya. Seseorang yang bersifat narsisistik yang teruk mungkin menunjukkan ciri-ciri mementingkan diri yang ketara, sering merendahkan orang lain, dan kekurangan keupayaan untuk berasa empati terhadap orang lain.
  • Menyebabkan mereka ketagih. Ini akan mendatangkan kesan negatif ke atas kehidupannya. Dia mungkin melangkau waktu makan, mengabaikan waktu tidur dan pelajaran, dan juga menjejaskan hubungan dengan rakan-rakan atau keluarga, demi menghabiskan lebih banyak masa dalam talian atau dalam usaha untuk mencari hubungan maya.
  • Menyebabkan mereka mempunyai pandangan yang keliru terhadap kehidupan. Menghabiskan masa yang berlebihan dalam permainan dalam talian boleh mengelirukan kanak-kanak dan mungkin mengakibatkan mereka tidak mampu untuk membezakan antara kehidupan maya dan kehidupan sebenar.

Satu lagi kesan negatif ialah di mana anak anda mungkin beranggapan bahawa identiti mereka tidak dapat dikesan lalu melakukan tingkah laku antisosial dalam talian (seperti siber buli, serangan siber dan lain-lain).

Paradoks Internet

Situasi yang disebutkan di atas mencerminkan satu paradoks yang menarik, dan anda perlu mula dengan cara yang betul untuk membantu anak anda melayari Internet secara selamat. Internet adalah satu medium yang neutral, dan bagaimana anak anda menggunakannya akan menentukan kesan positif atau negatif ke atas perkembangan mereka.

Anda memainkan peranan yang penting dalam membimbing anak anda kerana dia mungkin menghadapi kesukaran dalam menentukan perkara yang benar atau tidak, jadi anak anda mungkin percaya apa yang dia lihat dalam talian adalah benar yang memberi kesan buruk.

Elakkan perangkap

Jika anda membenarkan anak anda untuk menggunakan Internet, pastikan anda:

  • Menyelia mereka jika mereka masih kecil. Ini akan membantu anda mencapai dua matlamat: menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak anda, dan membimbing mereka ketika pelajari Internet.
  • Mengawasi penggunaan Internet mereka apabila usia mereka meningkat; dapat membenarkan mereka untuk menggunakan Internet sendiri, dan memberikan pilihan kepada anda untuk menyemak tujuan mereka menggunakan Internet. Sudah pasti, anda harus berjaga-jaga supaya tidak keterlaluan dalam pengawasan kerana ini akan menyebabkan mereka berasa anda telah mengganggu privasi mereka.*

Tidak kira umur mereka, gunakan dua langkah asas berikut:

  1. Mendidik mereka tentang etika dan keselamatan dalam talian.
  2. Jangan benarkan mereka untuk menghabiskan terlalu banyak masa dalam talian.

Perkara yang Patut dan Tidak Patuk dilakukan semasa berinternet (untuk ibu bapa)

Buatlah kajian dan semak kandungan laman web sebelum membenarkan anak anda melayari laman web tersebut.

  • Pastikan anda memberitahu anak anda mengenai siber-buli, etika dan keselamatan berinternet. Ini boleh membantu menjauhkan anak anda daripada menjadi mangsa dan menghalang anak anda menjadi pencetus masalah.
  • Jangan takut untuk mengintip anak anda. Sertai media sosial mereka jika perlu disamping menjaga privasi anak anda dengan tidak membuat atau memaparkan sebarang komen.
  • Jangan takut untuk meminta bantuan daripada orang lain. Bersembanglah dengan ibu bapa yang lain, guru-guru atau mendapatkan sokongan kumpulan ibu bapa daripada laman web.

Perkara yang Patut dan Tidak patut dilakukan semasa berinternet (untuk anak)

  • Anda harus memberitahu ibu bapa jika anda di ganggu dalam bilik sembang, melalui emel atau khidmat pesanan ringkas.
  • Jangan bersembang dengan orang yang tidak dikenali atau bertemu dengan mereka jika anda tidak pernah berjumpa.
  • Jangan berikan informasi persendirian (nama, alamat, umur, nombor telefon, tarikh lahir, alamat emel, sekolah anda, atau apa-apa yang berkaitan dengan anda) tanpa kebenaran ibu bapa. Ini juga termasuk ketika penyertaan kelab atau pertandingan.

Bimbingan Untuknya

Satu temu bual dengan “Generasi Gemilang” (sebuah organisasi bukan untung yang menggalakkan “celik siber”). Mereka menekankan kesejahteraan semua pengguna Internet dan budaya siber yang sihat dalam kalangan komuniti Internet pada umumnya.

Generasi Gemilang mencadangkan bagaimana anda boleh berbincang dengan anak anda dan bagaimana mewujudkan semula komunikasi sihat jika asas komunikasi tidak kuat. Terdapat lebih banyak isu siber berbanding isu keselamatan dan perlindungan.

cyber-trap-2

Nick Foong, Ketua Program Celik Siber dari Generasi Gemilang berkata, “Ia juga adalah berkaitan pengguna Internet, dan bagaimana seseorang itu bertindak terhadap perkara yang di lihat dan lakukan dalam talian. Komunikasi antara anda dan anak anda adalah sangat kritikal dalam era digital ini.”

“Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama dengan anak mereka, kerana melalui hubungan inilah yang ibu bapa dapat membantu membentuk akhlak dan nilai-nilai yang baik dalam diri anak-anak,” ulas Nick.

Kanak-kanak dan Alat-alat Teknologi

Daniel Tan, Pengarah Eksekutif Generasi Gemilang menambah, “Falsafah yang kami mengajar ibu bapa ialah jangan menyerahkan sesuatu alat teknologi kepada anak anda melainkan anda tahu bahawa dia boleh menggunakannya dengan bijak. Hal ini kerana apabila seorang kanak-kanak mendapat alat tersebut, sukar bagi anda untuk mengambilnya kembali. Jangan berikannya alat tersebut sehingga dia tahu masa untuk menggunakannya dan bila untuk berhenti menggunakannya.”

Nick percaya bahawa masa dan jumlah penggunaan sesuatu alat teknologi harus dibincangkan dan disetujui oleh kedua-dua ibu bapa dan anak. Jika ibu bapa bekerja dan tiada di rumah, mereka boleh memasangkan perisian kawalan pada komputer untuk menetapkan masa anak mereka menggunakan Internet atau menyekat laman web yang tidak sesuai.

Pemantauan Anak Remaja Anda

Namun, semua ini hanya berguna bagi kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun, dan Nick menyatakan pendekatan yang berlainan untuk remaja. “Bayangkan jika anda seorang remaja dan anda tahu bahawa setiap aktiviti dalam komputer sedang diawasi dan diintip melalui perisian kawalan, anda tidak akan menyukainya. Kami menasihatkan ibu bapa supaya memberitahu anak-anak mereka, “Inilah perkara yang ayah dan ibu akan buat.” Terangkan bahawa melakukan semua ini kerana anda sayang mereka dan anda mahu melindungi mereka daripada laman web yang tidak sesuai. Kemudian, duduk di hadapan komputer dan pasangkan perisian itu bersama-sama.”

“Perisian ini adalah untuk kebaikan kedua-dua remaja dan ibu bapa.” Sebagai contohnya, ketagihan pornografi di Internet juga boleh menjejaskan orang dewasa. Jadi, beritahu anak anda, “Bolehkah kamu membantu ayah supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab juga? Komputer ini bukan sahaja akan mengawasi kelakuan kamu, ia juga akan mengawasi kelakuan ayah.”

Menangani masalah ketagihan permainan computer anak anda

Nick menerangkan, “Apabila seseorang ketagih terhadap sesuatu, sama ada rangkaian sosial atau permainan komputer, ia biasanya dicetus oleh rasa kekosongan dalam hidupnya.” Ibu bapa harus memulakan komunikasi bersama anak mereka.

“Berhati-hati supaya anda tidak menukarnya menjadi soal siasat!” Nick mengingatkan. “Cuba tanyakan mereka tentang permainan yang mereka tagihkan. Ketahui apa dalam permainan tersebut yang menarik hati anak anda. Jika mereka enggan bercakap pada mulanya, anda boleh menggunakan Google untuk mengetahui tentang permainan tersebut. Ia dapat membantu memulakan perbualan dengan anak anda. Apabila anda telah menjalin hubungan tersebut, anda dapat mengajar, menasihati, dan membimbing mereka.”

Menggunakan pendekatan yang betul

Daniel juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak memarahi atau menghukum kerana ini mungkin lebih menyebabkan remaja itu menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini. Tambahnya, “Mereka mungkin akan lari dari rumah, mencuri wang, atau mengunjungi kafe siber. Pendekatan yang lebih baik adalah di mana ibu bapa cuba memasuki dunia anak mereka dan memahami mengapa mereka menjadi ketagih.”

Daniel menambah bahawa mereka mendapati banyak ketagihan ini adalah disebabkan oleh ketiadaan matlamat hidup, maka ibu bapa berperanan yang penting untuk membantu anak-anak mereka untuk menemui matlamat hidup mereka.

Persediaan untuk Kesejahteraan dan Keselamatan Siber

Kemunculan teknologi merupakan suatu realiti yang kita perlu kendali pada masa kini, jadi kita harus belajar untuk menggunakannya sebagai alat untuk perkembangan positif anak-anak kita. Selagi anda berada di sisi anak anda untuk membimbing dan membantu perkembangannya semasa pendedahannya kepada alam siber, manfaat dunia siber adalah jauh melebihi kemudaratannya.

Mencapai Keseimbangan

Daripada berfikir untuk menyekat akses kepada Internet, pastikan masa anak anda dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti lain seperti bersenam, bermain dan lain-lain. Selagi anak anda mempunyai kombinasi yang sihat antara dunia maya dan kehidupan realiti, ia tidak akan menjadi masalah.

cyber-trap-3

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka tentang risiko apabila mereka melayari Internet. Pastikan mereka sedar akan Akta Keterangan 1950, seksyen 114A yang diperkenalkan baru-baru ini, kerana sebarang perkara yang siarkan dalam talian boleh mendatangkan masalah.

Siber Buli

Oleh sebab kes-kes siber buli dalam kalangan kanak-kanak menjadi semakin berleluasa pada masa kini, anda perlu memberi perhatian kepada perubahan peribadi anak anda. Keyakinan diri dan kesihatan emosi anak anda akan terjejas akibat siber buli dan penting untuk memberi sokongan moral kepadanya. Yakinkan mereka bahawa mereka tidak perlu berasa bersalah kerana pembuli itu yang melakukan kesalahan, dan bukannya diri mereka.

Cuba sekat pihak yang membuli dengan melaraskan tetapan e-mel, laman rangkaian sosial dan program penghantaran mesej segera. Laporkan kejadian membuli itu kepada pentadbir laman, dan jika keadaan menjadi tidak terkawal, beritahu guru-guru anak anda atau pentadbir sekolah dan biar mereka tahu perkara yang telah berlaku.

Tanda-tanda biasa untuk diperhatikan:

  • Kelihatan sedih semasa atau selepas menggunakan Internet.
  • Terlalu berselindung terhadap alatan digitalnya.
  • Menyisihkan diri daripada rakan-rakan/ahli keluarga.
  • Menunjukkan perubahan dalam tabiat tidur atau selera makan.

Sebaliknya, anda perlu menyiasat serta-merta jika anda mendapati bahawa anak anda merupakan pembuli siber. Bincanglah dengan anak anda dengan tenang tanpa berkhutbah atau merendah-rendahkannya. Adakan perbualan terbuka dan berterus-terang untuk mengetahui mengapa anak anda mengambil jalan keluar dengan membuli dalam talian. Biarkan anak anda berasa empati terhadap mangsanya; tanyakan perasaannya jika seseorang melakukan perkara yang sama terhadapnya. Apabila anak anda memahami kesan daripada tindakannya, dapatkannya untuk menebus kesalahannya dengan memohon maaf kepada mangsa tersebut. Bergantung kepada keseriusan kes, anda mungkin perlu menghubungi ibu bapa kepada mangsa untuk memohon maaf atas tindakan anak anda, dan jelaskan bahawa anda juga mengambil tindakan untuk memastikan perkara ini tidak akan berulang.

Selain itu, hukum anak anda sama ada dengan mengehadkan atau menghentikan penggunaannya kepada Internet. Ini juga mungkin melibatkan penggunaan telefon bimbit kerana pembulian boleh disusuli melalui khidmat pesanan ringkas.

Anda juga harus memastikan anak anda sedar bahawa akses kepada Internet/teknologi adalah suatu kebebasan, dan jika mereka menyalahgunakan kebebasan tersebut, mereka akan kehilangannya.

Pemangsa Siber

Wujud juga pemangsa yang mencari mangsa dalam kalangan kanak-kanak yang tidak berdosa melalui Internet. Nasihatkan anak-anak anda untuk mengikuti perkara yang patut dan tidak patut dilakukan semasa penggunaan Internet pada muka surat 9. Arahkan mereka untuk memaklumkan anda jika mereka menerima sebarang mesej atau mempunyai perbualan yang menakutkan, terutama sekali jika ini berlaku berulang kali.

Langkah-langkah lain yang anda lakukan termasuk:

  • Galakkan anak anda menggunakan laman sembang yang sesuai.
  • Ingatkan anak anda untuk tidak meninggalkan laman sembang awam dan memasuki ruang sembang peribadi.
  • Perhatian untuk sebarang tanda yang menunjukkan bahawa anak anda adalah sasaran pemangsa siber.

Jika anda mendapat tahu bahawa pemangsa dalam talian sedang menyasarkan anak anda, hubungi Cyber999 dengan segera.

Secara keseluruhannya, ibu bapa perlu mengambil langkah selanjutnya dan bukan hanya mengawasi aktiviti dalam talian anak mereka malah beri tumpuan kepada membina kepercayaan, mewujudkan rasa tanggungjawab dan mengekalkan komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak-anak. Dengan cara ini, perangkap ruang siber boleh dielakkan dengan mengajar anak anda bertanggungjawab, dan anda berada di sisi untuk memberi nasihat dan membimbing mereka ketika diperlukan.

Cyber999 boleh dihubungi di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +6019-2665850 (untuk kecemasan). Untuk maklumat lanjut tentang cara untuk menghubungi Cyber999, sila layari laman web http://www.mycert.org.my/en/services/report_incidents/cyber999/main/detail/443/index.html

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen