Pengasuhan Positif

Jam Biologi Mama

Mengandung merupakan titik permulaan kepada pengembaraan yang paling hebat dalam kehidupan seorang wanita. Tidak kiralah apa jua usia anda, seorang wanita dalam usia 20-an, ataupun 40-an, usia sememangnya mempengaruhi anda dan si manja yang belum lahir. Teruskan membaca bagi mengetahui bagaimana usia boleh mempengaruhi kehamilan anda.

Dalam Usia 20-an

Dekad 20-an merupakan dekad terbaik untuk menjadi hamil kerana purata kemuncak tahap kesuburan wanita adalah pada usia 24 tahun. Telur lebih kurang berisiko mengalami ketidaknormalan genetik, manakala risiko komplikasi kesihatan (bagi ibu dan bayi) adalah agak rendah berbanding wanita yang lebih tua. Anda juga lebih bertenaga – berupaya untuk pulih lebih cepat apabila terpaksa berjaga malam menjaga si manja.

Dalam awal usia 20-an, anda mungkin baru memulakan kehidupan dan kerjaya anda serta mungkin akan mendapati kesukaran memenuhi permintaan kewangan dan emosi apabila mempunyai anak. Namun, apabila usia meningkat, anda akan menjadi lebih matang dan berupaya mengendalikan permintaan alam keibubapaan.

Memasuki 30-an yang Hebat!

Dari segi fizikal, umur usia 30 (dan ke atas) menandakan perrmulaan penurunan tahap kesuburan wanita. Terdapat banyak perbezaan apabila anda berusia 30 dan 35 tahun. Peluang menjadi hamil di awal usia 30-an adalah lebih rendah berbanding lewat 20-an, dan risiko untuk kecacatan kelahiran pula akan meningkat sedikit. Tetapi, pada usia 35 tahun, risiko seperti kadar keguguran, kehamilan ektopik dan juga komplikasi berkaitan kehamilan (tekanan darah tinggi, diabetes) akan meningkat dengan banyak.

Pada usia ini, anda lebih mantap dari segi kewangan dan mungkin telah mempunyai ritma kehidupan yang selesa bersama pasangan anda. Wanita dalam usia 30-an berupaya menggunakan pengalaman hidup mereka untuk membantu dalam pengasuhan. Mereka juga mempunyai banyak tenaga dan kebingkasan yang diperlukan apabila mengasuh anak kecil. Wanita dalam usia 30-an juga berupaya membekalkan apa yang diperlukan (dari segi emosi dan kewangan) kepada anak mereka.

Berbangga dengan Usia 40-an

Walaupun berkeputusan untuk mula berkeluarga setelah lebih stabil dalam kerjaya dan hubungan bersama pasangan sering dianggap sebagai langkah yang lebih bijak, namun wanita lebih sukar hamil pada usia ini. Keberkesanan telur akan menurun dengan banyak dengan peningkatan usia dan jika anda hamil sekalipun, terdapat 24-54% peluang anda boleh mengalami keguguran jika berusia dalam lingkungan 40-44 tahun. Komplikasi kehamilan seperti hipertensi dan diabetes akan meningkat dengan usia. Pakar kesuburan menyatakan ia hampir mustahil bagi wanita untuk hamil menggunakan telur mereka sendiri setelah mencecah usia 46 tahun dan memerlukan penderma telur jika masih ingin hamil.

Ada juga wanita yang berjaya hamil dalam usia 40-an mereka, dan melahirkan bayi sihat. Secara amnya, ibu yang lebih berumur akan cenderung membuat keputusan pengasuhan yang lebih bijak berbanding ibu yang muda. Mereka turut mempunyai jaminan pekerjaan dan kewangan serta lebih pengalaman. Wanita dalam usia 40-an mempunyai hubungan yang lebih stabil bersama pasangan mereka, dan ini menyediakan asas kukuh yang diperlukan untuk berkeluarga.

Komplikasi Meningkat dengan Usia!

Kajian kerapkali menunjukkan risiko bagi kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan kelahiran yang lazim seperti Sindrom Down dan ketidaknormalan Kromosom, sememangnya mempunyai kaitan dengan usia ibu. Corak yang sama juga boleh dilihat dalam risiko untuk keguguran.

Awal 20-an Awal 30-an Awal 40-an
Sindrom Down 1 in 1,667 1 in 952 1 in 106
Ketidaknormalan kromosom 1 in 526 1 in 385 1 in 66
Keguguran 12-15% 14.7% 25%

Ketahui Tahap Kesihatan Anda

Semua wanita menjadi tua pada kadar berbeza dan sememangnya tiada masa betul untuk mula berkeluarga. Walaupun anda sihat secara fizikal untuk hamil dalam usia 20-an, namun penyelidikan menunjukkan ibu dalam usia 30-an dan 40-an lebih berkeupayaan dari segi kewangan dan emosi untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri dan bayi mereka. Cabaran akan datang tanpa mengira usia dan terpulang kepada anda untuk menentukan bagaimana anda akan menghadapi permintaan alam keibubapaan.

Peranan Pasangan Anda

Walaupun terdapat kaum lelaki masih boleh menjadi ayah dalam usia 60-an dan 70-an mereka, namun banyak kajian menunjukkan kualiti sperma akan menurun dengan peningkatan usia. Ini akan menyebabkan masa yang lebih lama untuk mencapai kehamilan bagi si ibu. Kecacatan genetik dalam sperma juga lebih cenderung apabila usia meningkat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen