Pengasuhan Positif

Penyakit Skurvi: Kekurangan Vitamin C

Sekitar tahun 1730-an, terdapat seorang anak saudagar yang kaya di Edinburgh yang bernama James Lind. Beliau merupakan seorang pelatih perubatan yang kemudian menyertai Tentera Laut Diraja British sebagai pembantu pakar bedah. Semasa berada di laut, beliau mendapati ramai anak-anak kapal mendapat penyakit yang aneh.

Tanda-tanda awal adalah badan anak kapal berasa lemah. Kemudian sendi mereka mula sakit dan tangan dan kaki mereka membengkak. Kulit mereka menjadi lebam, gusi mula berdarah, dan gigi mula longgar. Luka-luka lama mereka terbuka kembali dan sukar sembuh. Ramai anak-anak kapal yang kemudiannya mati akibat pendarahan di jantung atau otak.

Pada tahun 1747, semasa berlayar di atas kapal HMS Salisbury, James Lind menjalankan ujian klinikal terkawal yang pertama pernah direkodkan dalam sejarah sains perubatan. Beliau mengenal pasti 12 anak kapal yang mengalami gejala penyakit yang sama dan membahagikan mereka kepada enam pasangan. Setiap pasangan mendapat ubat yang berlainan. Antara ubat-ubatan yang diberikan adalah bawang putih, biji sawi (mustard), cuka, air laut, buah oren dan buah lemon. Dalam masa seminggu sahaja, pasangan yang dirawat dengan buah-buahan sitrus sembuh daripada gejala-gejala penyakit mereka.

Pihak pentadbir Angkatan Laut British kemudian mengeluarkan perintah untuk mengedarkan jus lemon kepada semua pelaut. Dengan perintah ini, penyakit ini hilang sepenuhnya dari Tentera Laut Diraja British.

Apa itu penyakit skurvi?

Skurvi adalah penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin C. Tanpa vitamin C dalam makanan kita, dalam masa sebulan sahaja, gejala penyakit skurvi akan mula kelihatan.

Apa itu vitamin C?

Vitamin C adalah vitamin yang larut dalam air dan cepat dikumuh daripada badan melalui air kencing. Vitamin C juga dikenali sebagai asid askorbik. Vitamin C mudah dimusnahkan oleh haba. Oleh itu, memasak atau memproses makanan pada suhu yang tinggi akan memusnahkan kandungan vitamin C dalam makanan tersebut.

Mengapa vitamin C sangat penting kepada kita?

Tidak seperti kebanyakan haiwan, manusia tidak mempunyai keupayaan untuk membuat vitamin C di dalam badan kerana badan manusia tidak mempunya enzim L-gulonolactone oxidase untuk menukar glukosa kepada asid askorbik (vitamin C). Oleh kerana itu, kita memerlukan vitamin C daripada sumber makanan seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, atau daripada suplemen vitamin C.

Apakah fungsi vitamin C dalam badan kita?

  • Membantu pembentukan kolagen
  • Membantu penyembuhan luka
  • Menjaga kesihatan kulit, tulang, dan gigi
  • Membantu penyerapan zat besi
  • Sebagai antioksidan yang dapat membantu tubuh melawan radikal bebas
  • Meningkatkan daya tahan tubuh

Apakah yang akan terjadi jika kita tidak mendapat vitamin C yang mencukupi?

  • Gusi berdarah
  • Mudah lebam
  • Luka lambat sembuh
  • Anemia (kurang sel darah merah)
  • Kaki sakit dan bengkak
  • Letih dan tidak bermaya
  • Ulser mulut
  • Kurang berat badan

Siapakah kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kekurangan vitamin C?

  • Terlalu memilih makanan (picky eater) terutama kanak-kanak autisme atau kanak-kanak yang mengalami gangguan perkembangan di mana mereka sangat sensitif terhadap suatu bentuk, rasa atau tekstur makanan
  • Kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti kanser atau masalah usus
  • Bayi yang hanya diberi susu lembu atau susu berasaskan tumbuhan
  • Kanak-kanak yang hanya makan makanan ringan dan makanan segera
  • Kanak-kanak yang tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Kanak-kanak yang tidak mempelbagaikan jenis makanan
  • Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok

Apakah saranan pengambilan vitamin C dalam sehari?

Umur

Saranan pengambilan harian vitamin C (mg)

Bayi

0-5 bulan

25

6-11 bulan

30

Kanak-kanak 1-6 tahun

30

7-9 tahun

35

Remaja

10-18 tahun

65

Apakah sumber-sumber vitamin C dalam makanan kita?

  • Brokoli: 132 mg
  • Strawberi: 85 mg
  • Nanas: 78 mg
  • Oren: 69.7 mg
  • Kiwi: 64 mg
  • Susu badan: 50 mg/l
  • Ubi kentang: 19.7 mg
  • Bayam: 17.6 mg
  • Tomato: 15.6 mg

Langgani surat berita pengasuhan kami.