Pengasuhan Positif

Obesiti Remaja: Kebimbangan Yang Makin Meningkat

Obesiti remaja kini menjadi salah satu masalah kesihatan terbesar yang dihadapi golongan muda hari ini – di Malaysia dan di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bilangan remaja yang hidup dengan obesiti telah meningkat empat kali ganda sejak 1990. Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendapati bahawa seorang daripada tiga remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Lebih membimbangkan, empat daripada lima remaja tidak aktif secara fizikal dan dua daripada tiga remaja menghabiskan sebahagian besar masa dengan duduk, sama ada untuk belajar atau menggunakan telefon.

Mengapa ia berlaku?

Obesiti berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara apa yang seseorang makan (tenaga masuk) dan berapa banyak mereka bergerak (tenaga keluar). Namun puncanya tidak semudah itu.

Hari ini, kebanyakan remaja Malaysia mempunyai akses mudah kepada makanan segera dan minuman bergula. Teh boba, burger dan pisang goreng ada di mana-mana – sering kali lebih murah dan mudah didapatkan daripada buah-buahan atau hidangan sihat. Pada masa yang sama, ramai anak muda tinggal di kawasan yang tidak selamat atau tidak sesuai untuk bermain di luar atau berjalan kaki ke sekolah.

Gaya hidup juga berperanan besar. Berjam-jam dihabiskan untuk media sosial, permainan video atau menonton rancangan, lalu menyebabkan kurangnya masa untuk bergerak. Selain itu, kekurangan tidur – biasanya remaja yang berjaga lewat kerana bermain telefon atau belajar – boleh mengganggu metabolisme dan meningkatkan risiko penambahan berat badan.

Dalam sesetengah kes, genetik atau masalah perubatan seperti gangguan hormon mungkin menyumbang, tetapi ini jarang berlaku. Ini termasuk hipotiroidisme, di mana kelenjar tiroid kurang aktif dan melambatkan metabolisme serta menyebabkan kenaikan berat dan keletihan; sindrom Cushing, disebabkan oleh lebihan kortisol yang menyebabkan kenaikan berat badan yang cepat dan perubahan emosi; dan bagi remaja perempuan, sindrom ovari polisistik (PCOS), yang boleh menyebabkan haid tidak teratur, jerawat dan obesiti abdomen. Jika kenaikan berat badan remaja berlaku secara tiba-tiba, teruk atau disertai gejala seperti keletihan, haid tidak teratur atau perubahan pertumbuhan, pemeriksaan perubatan oleh pakar pediatrik atau endokrinologi adalah disyorkan.

Overweight girl eating unhealthy food at home

Risiko kesihatan

Obesiti semasa remaja bukan hanya menjejaskan penampilan – ia boleh membahayakan kesihatan dalam pelbagai cara.

Secara fizikal, remaja dengan berat badan berlebihan lebih cenderung mendapat tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes jenis 2 pada usia muda. Ini meningkatkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan. Berat badan berlebihan juga memberi tekanan ke atas sendi, yang boleh menyebabkan sakit lutut atau belakang, dan boleh menyebabkan apnea tidur (nafas terhenti semasa tidur), menyebabkan mereka letih dan mudah marah pada siang hari.

Secara emosi, ramai remaja dengan obesiti bergelut dengan keyakinan diri rendah, keresahan atau kemurungan. Mereka mungkin diejek atau dibuli oleh rakan sebaya, lalu menyebabkan mereka memencilkan diri dan menghabiskan lebih banyak masa tidak bergerak aktif.

Apa yang ibu bapa boleh lakukan

Mencegah dan menguruskan obesiti remaja paling berkesan apabila seluruh keluarga terlibat. Perubahan gaya hidup yang kecil tetapi konsisten memberikan kesan terbesar.

  • Jadi contoh yang baik: Anak belajar daripada apa yang mereka lihat. Makan secara seimbang, minum air dengan cukup dan lakukan aktiviti fi zikal bersama sebagai keluarga.
  • Galakkan pergerakan: Remaja memerlukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fi zikal setiap hari. Ini tidak bermakna mereka perlu ke gim. Galakkan mereka berbasikal dengan rakan, bermain badminton di taman atau menari di rumah. Jadikannya menyeronokkan, bukan satu hukuman.
  • Hadkan masa skrin: Hadkan penggunaan skrin (bukan melibatkan sekolah) kepada kurang daripada dua jam sehari dan elakkan penggunaan peranti di dalam bilik tidur. Jadual tidur yang konsisten (tabiat tidur yang baik) membantu mengawal selera makan dan tahap tenaga.
  • Makan lebih sihat bersama: Sasarkan lima hidangan buah dan sayur setiap hari, dan kurangkan makanan tinggi gula, minyak dan garam seperti makanan segera, snek masin dan minuman manis. Makanan masakan sendiri yang mudah seperti nasi dengan sayur, ikan atau ayam panggang jauh lebih sihat dan mampu milik.
  • Dapatkan bantuan pakar jika perlu: Jika remaja anda sudah berlebihan berat badan, rujuklah doktor atau pakar diet. Pasukan multidisiplin, termasuk pakar kesihatan mental jika perlu, boleh membantu dengan nasihat pemakanan, perubahan tingkah laku dan sokongan emosi.

Tiada satu penyelesaian mudah untuk obesiti remaja, tetapi setiap langkah kecil sangat bermakna. Dengan membantu remaja makan lebih sihat, tidur cukup dan bergerak aktif – serta melakukannya bersama sebagai keluarga – ibu bapa boleh menyumbang kepada kesihatan dan keyakinan anak, kini dan pada masa hadapan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.