Pengasuhan Positif

Panduan Tentang Respiratory Syncytial Virus (RSV) Untuk Ibu Bapa

Respiratory Syncytial Virus (RSV) ialah sejenis virus yang mudah berjangkit dan menyerang paru-paru serta saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan penyakit serius di kalangan bayi dan kumpulan yang berisiko tinggi. Untuk menjaga kesihatan keluarga, adalah penting untuk memahami cara RSV merebak, tanda-tanda jangkitan, dan langkah bagi melindungi anak anda.

Apa itu RSV dan mengapa ia penting?

  •  RSV merupakan salah satu punca utama jangkitan salur pernafasan di kalangan kanak-kanak, serta penyebab utama kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak kecil.
  • Hampir semua kanak-kanak akan dijangkiti RSV menjelang usia dua tahun. Bagi kebanyakan kanak-kanak, jangkitan ini hanya menyebabkan gejala ringan seperti selesema. Namun, bagi sesetengah bayi – terutamanya yang berumur bawah enam bulan, bayi pramatang, atau yang mempunyai masalah jantung atau paru-paru – jangkitan boleh menjadi lebih serius dan memerlukan rawatan di hospital.
  • Walaupun RSV biasanya meningkat semasa musim sejuk di negara beriklim sederhana, virus ini beredar sepanjang tahun di Malaysia dan kawasan tropika lain.

Bagaimana RSV merebak?

  • RSV merebak melalui titisan pernafasan apabila individu yang dijangkiti batuk atau bersin.
  • Ia juga boleh merebak melalui sentuhan langsung (seperti berciuman) atau tidak langsung (menyentuh permukaan tercemar seperti mainan atau tombol pintu, kemudian menyentuh mata, hidung atau mulut).
  • Virus ini boleh hidup di permukaan keras selama beberapa jam.
  • Pesakit biasanya boleh berjangkit selama tiga hingga lapan hari, tetapi bayi dan individu dengan sistem imun yang lemah boleh terus menyebarkan virus selama beberapa minggu, walaupun selepas gejala berkurangan.

Apakah gejala RSV?

Gejala biasanya muncul empat hingga enam hari selepas terdedah kepada virus dan boleh menjadi ringan atau teruk.

  • Gejala ringan (biasanya seperti selesema pada kanak-kanak lebih besar/orang dewasa):
    • Hidung berair atau tersumbat
    • Batuk
    • Demam ringan
    • Bersin
    • Sakit tekak
    • Mudah meragam atau lesu
  • Gejala teruk (terutamanya pada bayi):
    • Demam panas
    • Batuk berterusan atau semakin teruk
    • Bunyi semput ketika bernafas (wheezing)
    • Pernafasan laju atau sukar (otot dada kelihatan tertarik semasa menarik nafas)
    • Bibir atau kuku kebiruan (tanda kekurangan oksigen)
    • Kurang makan atau menyusu hingga menyebabkan dehidrasi
    • Terlalu letih, mengantuk luar biasa atau nafas terhenti seketika (apnea)

Siapa yang paling berisiko mendapat RSV teruk?

  • Bayi, terutamanya yang berumur bawah 6 bulan
  • Bayi pramatang
  • Kanak-kanak dengan penyakit jantung sejak lahir atau penyakit paru-paru kronik
  • Kanak-kanak dengan sistem imun yang lemah (cth: disebabkan rawatan kemoterapi atau kekurangan imun)
  • Warga emas, terutamanya yang berumur lebih 65 tahun

Apakah komplikasi yang boleh berlaku?

Komplikasi paling teruk bagi bayi ialah apabila jangkitan merebak ke salur pernafasan bawah, yang boleh menyebabkan:

  • Bronkiolitis: Keradangan dan penyumbatan pada salur udara kecil di paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas.
  • Pneumonia: Jangkitan dan keradangan paru-paru.
  • Otitis media: Jangkitan telinga tengah apabila RSV merebak ke ruang di belakang gegendang telinga.

Apabila komplikasi ini berlaku, sesetengah kanak-kanak mungkin memerlukan rawatan di hospital untuk mendapatkan sokongan oksigen, cecair intravena (IV), atau bantuan pernafasan di unit rawatan rapi bagi kes yang lebih teruk.

Bagaimana RSV dirawat?

Tiada ubat khusus untuk merawat RSV, dan antibiotik tidak berkesan kerana RSV ialah virus. Rawatan lebih tertumpu kepada penjagaan sokongan.

  • Penjagaan di rumah (untuk kes ringan):
    • Pastikan pengambilan cecair mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi (susukan bayi sedikit demi sedikit dengan kerap).
    • Gunakan semburan air garam (saline) dan penyedut hidung untuk membersihkan hingus, terutamanya sebelum waktu menyusu dan tidur.
    • Redakan demam dengan dos paracetamol yang sesuai mengikut umur.
    • Gunakan pelembap udara wap sejuk (humidifier) bagi membantu pernafasan.
  • Pencegahan adalah kunci utama:
    • Basuh tangan dengan kerap dan betul.
    • Elakkan tempat sesak dan orang sakit, terutamanya semasa musim kemuncak RSV.
    • Jauhkan bayi daripada asap rokok atau vape kerana ia boleh merengsakan salur pernafasan.
    • Bersihkan permukaan yang kerap disentuh seperti mainan, tombol pintu dan meja.
    • Terdapat pilihan imunisasi RSV yang baru. Dapatkan nasihat daripada doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut.

Langgani surat berita pengasuhan kami.