Cacar air, yang disebabkan oleh virus varisela-zoster (varicella-zoster virus, VZV), ialah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan sering dikaitkan dengan zaman kanak-kanak. Walaupun ramai yang pernah menghidapinya, terdapat beberapa salah tanggapan berterusan yang boleh menyebabkan keputusan yang salah. Mari kita bongkar kebenaran di sebalik beberapa mitos mengenai cacar air.

Mitos: “Cacar air ialah penyakit yang ringan.”
Fakta: Salah satu mitos paling berbahaya ialah anggapan bahawa cacar air hanyalah penyakit ringan. Walaupun kebanyakan kes pada kanakkanak sihat mudah dirawat, VZV boleh menyebabkan komplikasi serius malah mengancam nyawa. Ini termasuk jangkitan bakteria sekunder, radang paru-paru (pneumonia), dan radang otak (ensefalitis). Individu dengan sistem imun yang lemah, bayi, serta wanita hamil berisiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit teruk. Malah dalam kes yang kelihatan ringan, kegatalan melampau boleh menyebabkan parut dan jangkitan sekunder. Menganggap ia “sekadar cacar air” boleh menyebabkan kelewatan mendapatkan rawatan sewajarnya apabila komplikasi berlaku.
Mitos: “Anda imun seumur hidup selepas menghidap cacar air.”
Fakta: Selepas menghidap cacar air, biasanya seseorang mendapat imuniti seumur hidup terhadap penyakit itu, tetapi virus tersebut tidak hilang. VZV akan kekal tersembunyi dalam sel saraf dan boleh aktif semula selepas bertahun-tahun, lalu menyebabkan kayap (herpes zoster). Kayap muncul sebagai ruam yang menyakitkan, biasanya pada satu sisi tubuh, dan boleh mengakibatkan sakit saraf berpanjangan (neuralgia pasca herpetik) selama berbulan atau bertahun. Jadi, walaupun anda tidak akan dijangkiti cacar air semula, ancaman penyakit berkaitan VZV masih wujud.
Mitos: “Parti cacar air adalah cara selamat untuk bina imuniti.”
Fakta: Idea mengadakan “parti cacar air” – iaitu dengan sengaja mendedahkan kanakkanak yang tidak divaksin kepada individu yang dijangkiti – ialah amalan yang tidak bertanggungjawab. Mitos ini beranggapan jangkitan semula jadi lebih baik daripada vaksinasi. Seperti yang dijelaskan, cacar air tidak semestinya ringan; mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit yang boleh jadi teruk adalah tidak wajar sedangkan telah ada vaksin yang selamat dan berkesan. Komplikasi boleh timbul secara tiba-tiba dan tahap keterukan penyakit tidak dapat dijangka. Mengambil risiko dengan jangkitan sengaja hanya akan mendedahkan kanakkanak kepada bahaya sakit teruk, kemasukan hospital, atau kematian.
Mitos: “Cacar air hanya dialami oleh kanak-kanak.”
Fakta: Walaupun lebih kerap berlaku dalam kalangan kanakkanak, cacar air boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur. Malah, orang dewasa yang mendapat cacar air cenderung mengalami penyakit lebih teruk dengan risiko komplikasi lebih tinggi seperti pneumonia yang boleh mengancam nyawa. Ruam pada orang dewasa juga mungkin lebih meluas. Mitos ini mendatangkan rasa selamat yang palsu kepada orang dewasa, lalu membuatkan mereka kurang mengambil langkah pencegahan atau mendapatkan vaksin jika tidak pasti status imuniti mereka.
Mitos: “Anda tidak boleh dijangkiti cacar air daripada pesakit kayap.”
Fakta: Mitos ini tidak benar. Walaupun pesakit kayap mengalami pengaktifan semula VZV, bukan cacar air, namun lepuhan berair pada ruam kayap mengandungi virus varisela-zoster yang aktif. Oleh itu, jika individu yang tidak divaksin atau tidak pernah menghidap cacar air bersentuhan secara langsung dengan cecair daripada ruam kayap, mereka boleh dijangkiti cacar air. Risiko jangkitan lebih rendah berbanding cacar air aktif kerana kayap biasanya kurang berjangkit, tetapi penularan masih boleh berlaku terutamanya jika ruam tidak ditutup
Cacar air bukan sekadar ruam kanak-kanak; ia adalah penyakit serius yang boleh menyebabkan akibat teruk. Memahami dan membetulkan mitos ini penting untuk melindungi kesihatan awam dan menggalakkan vaksinasi. Vaksin cacar air (varisela) adalah cara paling berkesan dan selamat untuk mencegah cacar air serta komplikasinya. Vaksin ini disyorkan untuk kebanyakan kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa yang belum pernah dijangkiti atau divaksin. Rujuk doktor anda untuk menentukan jadual vaksinasi yang sesuai untuk anda dan keluarga. Melindungi diri dan komuniti daripada VZV adalah langkah mudah tetapi sangat berkesan ke arah kesihatan yang lebih baik.

