Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, biasanya keluarga akan mengutamakan kemudahan dalam penyediaan makanan. Dengan jadual yang sibuk dan senarai tugasan yang panjang, makanan sejuk beku, makanan segera, makanan bungkus, dan makanan penghantaran sering menjadi pilihan utama. Walaupun pilihan mudah ini boleh menjimatkan masa, biasanya ia bukan pilihan yang paling sihat. Namun, makan secara sihat tidak semestinya memakan masa. Dengan beberapa strategi bijak, anda boleh mengimbangi antara kemudahan dan pemakanan sihat, serta memastikan diet keluarga anda terkawal.
Tip pemakanan sihat dan mudah
- Tumpukan kepada perkara asas
Apabila merancang hidangan, adalah penting untuk mengutamakan Keseimbangan, Kesederhanaan, dan Kepelbagaian (Balance, Moderation, and Variety, BMV). Pemakanan seimbang merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan yang bersesuaian – sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, protein berasaskan tumbuhan atau tanpa lemak, produk tenusu – bagi memastikan pengambilan tenaga, vitamin, dan mineral yang mencukupi untuk kesihatan. Kesederhanaan adalah kunci untuk memastikan anda tidak makan secara berlebihan. Walaupun makanan tersebut sihat, jumlah dan saiz hidangan perlu dikawal untuk menjaga pemakanan anda.
Kepelbagaian dalam hidangan pula penting kerana ia memastikan anda memperoleh nutrien berbeza di samping menjadikan hidangan anda menyeronokkan. Dengan memakan pelbagai jenis buah, sayur, protein dan bijirin daripada kumpulan makanan yang sama serta merangkumi kumpulan makanan lain sepanjang minggu, anda dapat mengelakkan jurang nutrisi dan tidak jemu dengan makanan yang sama. Rujuk Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan untuk mencapai BMV.
- Masakan mudah di rumah
Bukan semua hidangan harus disiapkan sendiri, tetapi anda boleh menggabungkan makanan bungkus dan masakan rumah untuk menjimatkan masa. Contohnya, membeli beberapa lauk-pauk daripada kedai makan dan memasak nasi sendiri di rumah serta hidangkan dengan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut. Hidangan satu periuk yang mudah juga adalah pilihan yang bagus – masukkan kesemua bahan dalam satu periuk, biarkan masak, dan makan malam sudah pun siap.
Peralatan dapur moden seperti periuk tekanan, periuk perlahan, dan penggoreng udara dapat mengurangkan masa memasak serta membolehkan anda menyediakan hidangan sihat. Peralatan ini sesuai untuk keluarga sibuk yang ingin memasak hidangan sihat dengan cepat tanpa perlu meluangkan masa berjam-jam di dapur.
Perancangan adalah penting untuk mencapai keseimbangan antara kemudahan dan pemakanan sihat. Luangkan masa pada hujung minggu untuk menyediakan bahan-bahan atau hidangan untuk seminggu lebih awal. Sediakan senarai barangan runcit mingguan yang mengutamakan pilihan sihat, serta beli stok sayur-sayuran dan protein tanpa lemak untuk hidangan pantas. Jangan lupa tentang keselamatan makanan – simpan hidangan yang siap sedia di ruang sejuk beku jika anda tidak merancang untuk menikmatinya dalam masa terdekat.
- Manfaatkan makanan bungkus
Kadangkala, makanan bungkus atau makanan siap sedia dimakan adalah pilihan yang lebih praktikal. Apabila anda membuat pilihan ini, terdapat cara untuk menjadikannya lebih sihat:
- Pilih dengan teliti:Pilih makanan panggang, kukus atau bakar, dan elakkan yang digoreng. Jika anda memesan makanan segera, pilih hidangan tambahan atau snek yang lebih sihat, seperti salad atau sayur kukus untuk pemakanan yang seimbang.
- Kawal saiz hidangan:Saiz hidangan di kebanyakan restoran adalah terlalu besar. Oleh itu, pesan saiz hidangan yang kecil atau berkongsilah hidangan bersaiz besar dengan orang lain. Dengan ini, anda dapat mengelakkan makan berlebihan dan mengurangkan pengambilan kalori. Anda juga boleh membungkus makanan berlebihan bagi mengawal saiz hidangan serta mengurangkan pembaziran makanan, tetapi pastikan makanan berlebihan disimpan dengan betul.
- Bandingkan label makanan:Jika anda ingin membeli makanan siap sedia dimakan dari kedai, ambillah sedikit masa untuk baca label makanan. Bandingkan kandungan pemakanan antara pilihan berbeza dan pilihlah makanan yang rendah garam, minyak, dan gula.
Akhirnya, yang paling penting adalah nilai pemakanan dan kandungan makanan, bukan sama ada makanan itu dimasak di rumah atau dibeli dari kedai. Dengan memberi perhatian kepada apa yang anda makan dan membuat pilihan bijak, anda boleh menikmati kemudahan hidup moden tanpa mengorbankan kesihatan keluarga anda. Pemakanan sihat sentiasa dapat dicapai – anda hanya perlu tahu bagaimana untuk mencarinya dan menerapkannya dalam kehidupan anda.

