Pengasuhan Positif

Memilih Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Terbaik untuk Si Kecil Anda

Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) biasanya menjadi pengalaman pertama kanak-kanak berada di luar rumah dan menandakan permulaan perjalanan mereka ke dunia luar. Persekitaran ini membentuk tumbesaran, perkembangan, dan kesihatan awal kanak-kanak, dan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk memilih TASKA atau pusat jagaan yang berkualiti tinggi.

Ia merupakan tempat bagi kanak-kanak kecil belajar, meneroka, dan membina asas kemahiran sosial. Di sini, kanak-kanak membina kebolehan kognitif, kemahiran fizikal, menyelesaikan masalah, dan daya tahan emosi yang akan membantu mereka di sekolah dan dunia sebenar. Tambahan lagi, TASKA menyokong ibu bapa dengan memastikan keperluan anak-anak dipenuhi dalam suasana yang selamat dan berstruktur semasa mereka bekerja atau menguruskan tanggungjawab lain. Banyak TASKA hari ini menyediakan laporan harian kepada ibu bapa tentang kegiatan dan keadaan anak-anak, supaya ibu bapa boleh kekal terhubung dengan kemajuan anak-anak dan yakin dengan keselesaan dan perkembangan mereka.

Di Malaysia, TASKA dikategorikan kepada TASKA di rumah (empat ke sembilan kanak-kanak) dan TASKA institusi/tempat kerja/komuniti (10 atau lebih kanak-kanak) tapi bukan mudah untuk memilih tempat terbaik. Namun, terdapat tiga aspek utama yang anda boleh pertimbangkan bagi memastikan TASKA yang selamat, memupuk, dan menyokong perkembangan si kecil anda: pekerja TASKA yang prihatin dan layak, suasana yang selamat dan menggalakkan, dan aktiviti yang sesuai mengikut perkembangan dan usia kanak-kanak.

Pekerja TASKA (pengurus, penyelia, pengasuh/pendidik awal kanak-kanak, dan pekerja am) yang prihatin dan berkelayakan:
Pastikan mereka bukan saja berkelayakan, malah mesra dan penyayang. Mereka juga perlu mengambil kursus wajib iaitu Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak, satu latihan asas  bagi mereka yang bekerja dengan kanak-kanak kecil, dan jika lulus, mereka secara automatik berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Bagi menjamin keselamatan dalam kes kecemasan dan memastikan pengendalian makanan yang selamat, mereka juga perlu mendapat latihan CPR dan bantuan kecemasan, sijil pengendalian makanan, dan suntikan tifoid.

Apabila menilai mutu TASKA, lihat pada nisbah kanak-kanak dan pengasuh/pendidik awal kanak-kanak. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyarankan nisbah 3:1 bagi bayi, 5:1 bagi kanak-kanak berumur satu ke tiga tahun, dan 10:1 bagi kanak-kanak tiga ke empat tahun. Pengasuh/pendidik awal kanak-kanak yang cukup akan menjamin setiap kanak-kanak menerima perhatian dan selamat. Perhatikan juga bagaimana mereka berinteraksi dengan kanak-kanak – mereka harus berkomunikasi dengan mesra, sabar, dan penuh galakan bagi mencipta suasana di mana kanak-kanak rasa dihargai dan selamat.

Suasana yang selamat dan menggalakkan:
TASKA perlu menjadi tempat selamat yang menggalakkan penerokaan, perkembangan dan tumbesaran. Kemudahan yang disediakan perlu bersih, selamat untuk kanak-kanak, dan dilengkapi dengan perabot, mainan, dan kelengkapan yang sesuai mengikut umur. Soket elektrik perlu ditutup, bahan berbahaya perlu dikunci, dan lantai perlu bebas daripada bahaya tergelincir. Kawasan mainan luar, jika ada, perlu selamat dan terjaga, serta menyediakan ruang secukupnya untuk membina koordinasi dan kekuatan fizikal dengan bermain secara selamat.

Kebersihan ialah aspek penting keselamatan dan kesihatan. Pastikan pekerja dan kanak-kanak mengamalkan amalan kebersihan, seperti membasuh tangan, terutamanya sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan tandas, dan sebelum dan selepas bermain atau aktiviti lain. Garis panduan atau polisi bagi menguruskan penyakit juga sama penting – tanya tentang prosedur TASKA tersebut dalam menguruskan kanak-kanak sakit bagi mengelakkan jangkitan tersebar.

Dari segi keselamatan, adalah penting untuk memilih TASKA yang berdaftar dan mendapat surat perakuan daripada JKM dan mengesahkan yang ia mematuhi piawai minima dan protokol keselamatan. Ini termasuklah pemeriksaan oleh pegawai daripada tiga agensi termasuk JKM, pelan perhubungan kecemasan, dan polisi atau garis panduan pengambilan kanak-kanak. Idealnya, TASKA ini juga mempunyai Polisi Perlindungan Kanak-kanak sendiri.

Aktiviti yang sesuai untuk mengikut perkembangan dan usia kanak-kanak:
Ibu bapa sentiasa mahukan TASKA terbaik yang menawarkan aktiviti seimbang dan berstruktur yang memupuk pertumbuhan sosial, kognitif, dan fizikal, namun aktiviti terbaik untuk kanak-kanak adalah bermain tanpa had dan struktur. Sama ada permainan individu atau berkumpulan, serta sesi dalam atau luar rumah, semuanya perlu diterapkan ke dalam jadual kegiatan TASKA. Kemahiran kognitif, motor kasar dan halus, pemikiran kreatif, penyelesaian masalah, serta daya tahan emosi kanak-kanak boleh dikembangkan melalui bermain.

Cari TASKA yang menggalakkan kreativiti dan sifat berdikari dengan membenarkan kanak-kanak terlibat dengan tugasan dan cabaran yang sesuai dengan perkembangan dan umur. Contohnya, projek seni, bercerita, teka-teki mudah, dan muzik adalah cara bagus untuk menyokong perkembangan menyeluruh. Disiplin dan bimbingan haruslah berdasarkan pengukuhan positif yang mengajar kanak-kanak tentang kawalan diri dan empati. Perlu ada dasar yang konstruktif untuk mengatasi masalah seperti menggigit, memukul, atau membuli.

Selain itu, tanya tentang jadual tidur siang dan kegiatan alternatif jika kanak-kanak enggan tidur bagi memastikan TASKA tersebut menghormati pilihan kanak-kanak. Jika masa skrin disertakan, pastikan ia terhad, bermatlamat, dan seimbang dengan aktiviti yang lain.

Senarai semak untuk lawatan anda
Apabila anda melawat TASKA yang berpotensi, gunakan senarai semak ini untuk menilai setiap aspek. Antara soalan yang boleh ditanya termasuklah:

  • Adakah TASKA ini berlesen dan berdaftar dengan JKM serta mendapat surat perakuan JKM?
  • Apakah kelayakan dan pengalaman pekerja ?
  • Adakah TASKA ini mengekalkan nisbah kanak-kanak dan pengasuh mengikut Akta 308 AKTA Taman Asuhan Kanak-kanak 1984?
  • Adakah kemudahannya selamat, bersih, dan sesuai untuk kanak-kanak?
  • Adakah terdapat permainan yang mencukupi serta pelbagai aktiviti yang menyokong setiap aspek perkembangan?
  • Apakah polisi bagi menangani penyakit dan kecemasan?
  • Adakah pelan makanannya berkhasiat seperti yang dicadangkan oleh KKM?

Periksa kemudahan dan perhatikan interaksi pengasuh/pendidik awal kanak-kanak dan kanak-kanak. Lihat pada suasana secara amnya: Adakah ia mesra dan mengalu-alukan? Adakah kanak-kanak melibatkan diri dan gembira? TASKA perlu sesuai dengan keperluan kanak-kanak, bukan sekadar mudah bagi ibu bapa.

Memilih TASKA memerlukan penilaian teliti terhadap kelayakan pekerja, piawaian keselamatan, dan tawaran aktiviti untuk perkembangan kanak-kanak. Walaupun khidmat jagaan kanak-kanak amat penting, ingatlah bahawa ia bukan pengganti bagi peranan anda dalam hidup anak-anak. Dengan membuat pilihan bijak, anda menjamin si kecil anda akan menerima jagaan, sokongan, dan rangsangan yang perlu untuk membesar, tapi anda juga perlu sentiasa prihatin dan melibatkan diri. Pastikan anda menilai dan mengambil tahu apa-apa kemaskini daripada TASKA tersebut atau JKM dan sentiasa proaktif dalam memantau keadaan anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.