Pengasuhan Positif

Langkah Berjaga-jaga untuk Alahan Makanan Kanak-kanak

Lebih kurang 4% kanak-kanak terjejas dengan alahan makanan, yang biasanya dicetuskan oleh telur, kacang, susu lembu, soya, tepung gandum, ikan, dan kekerang. Mujurlah, kebanyakan kanak-kanak akan pulih daripada alahan apabila dewasa. Namun, masalah ini tidak patut diabaikan semasa kanak-kanak, kerana tindak balas alahan boleh mengancam nyawa, manakala mengelakkan kumpulan makanan tertentu secara keseluruhan boleh menghalang anak anda daripada mendapat khasiat secukupnya.

Kenapa sesetengah kanak-kanak alah kepada makanan tertentu?
Punca sebenar belum benar-benar difahami. Namun, faktor seperti sejarah keluarga, genetik, dan masa pengenalan makanan boleh mempengaruhi risiko alahan. Biasanya, makanan tidak dianggap sebagai penceroboh oleh sistem imun. Tapi apabila kanak-kanak yang mempunyai alahan mengambil makanan tertentu, sistem imun mereka bertindak balas berlebihan dan mencetuskan siri tindak balas yang menyebabkan gejala alahan pada sistem pernafasan, kulit, dan sistem pencernaan.

Sistem imun mengenal pasti makanan sebagai ancaman -> Menghasilkan imunoglobulin E, yang melekat pada alergen -> Sel imun merembeskan histamin dan bahan kimia lain yang menyebabkan keradangan ->

Gejala alahan mula muncul

Pengawasan untuk ibu bapa
Alahan makanan tidak sepatutnya menghalang anak anda daripada mendapat zat makanan yang sepatutnya untuk tumbesaran dan perkembangan sihat. Dengan rancangan yang berhati-hati dan strategi penyediaan makanan, anda boleh memastikan hidangan mereka selamat dan berkhasiat. Namun begitu, ibu bapa perlu sedar bahawa pendedahan tanpa sengaja boleh terjadi, terutamanya apabila anak anda tidak diawasi. Adalah penting untuk bersedia berhadapan dengan kemungkinan ini dengan mengambil langkah-langkah keselamatan agar anak anda dilindungi daripada tindak balas yang mengancam nyawa.

Strategi penyediaan makanan

  • Simpan stok: Sentiasa simpan bahan bebas alergen dalam stok bagi mengelakkan kehabisan pilihan makanan yang selamat. Sertakan pengganti yang sesuai untuk memenuhi keperluan pemakanan anak anda, contohnya, menggunakan soya diperkaya bagi menggantikan susu, dan beras perang bagi menggantikan tepung gandum.
  • Pisahkan: Simpan makanan bebas alergen secara berasingan daripada yang mengandungi alergen dalam pantri dan peti sejuk untuk mengelakkan pencemaran silang. Simpan dalam bekas tertutup untuk mengurangkan pendedahan kepada alergen dalam udara.
  • Periksa label: Alergen dalam jumlah yang sedikit juga masih boleh mencetuskan tindak balas. Jadikan tabiat untuk memeriksa jika terdapat alergen dalam label makanan semasa membeli barang dapur dan setiap kali sebelum anak anda makan.
  • Elakkan sentuhan silang: Jangan guna alatan dapur yang sama untuk makanan bebas alergen dan yang mengandungi alergen. Sentiasa basuh tangan, alatan, dan permukaan memasak dengan teliti menggunakan sabun dan air. Antara amalan yang baik adalah menyediakan hidangan bebas alergen dahulu bagi mengurangkan risiko sentuhan silang.

Langkah keselamatan tambahan

  • Pengenalan perubatan: Pastikan anak anda memakai gelang perubatan dengan maklumat alahan makanannya apabila keluar rumah. Ini membolehkan penjaga lain atau pekerja perubatan untuk mengenal pasti masalahnya dan bertindak balas dengan pantas jika berlaku kecemasan.
  • Ubatan alahan: Doktor anak anda mungkin memberi preskripsi ubatan seperti antihistamin dan adrenalin bagi tindak balas alahan ringan hingga teruk. Simpan di tempat yang mudah diakses di rumah, sekolah, dan lokasi lain yang sering anak anda lawati.
  • Penyuntik adrenalin automatik: Alat yang menyerupai pen ini merupakan penyuntik automatik yang mengandungi adrenalin bagi merawat tindak balas alahan teruk. Anak anda perlu membawa dua alat ini pada setiap masa, dengan dos yang telah ditentukan berdasarkan berat badannya.
  • Penjaga lain: Maklumkan kepada guru anak anda dan penjaga lain tentang langkah-langkah pengawasan. Sediakan arahan ringkas dan khusus tentang makanan yang perlu dielak dan ajar mereka cara yang betul untuk menggunakan penyuntik adrenalin automatik.

Berjaga-jaga dengan tindak balas alahan teruk!

Tindak balas alahan teruk, atau anafilaksis, ialah keadaan yang mengancam nyawa yang memerlukan rawatan segera. Gejala yang perlu diawasi ialah:

  • Kesukaran bernafas
  • Berdehit (wheezing) atau batuk berterusan
  • Lidah atau kerongkong bengkak
  • Suara serak atau sukar bercakap
  • Pening berterusan dan pitam

Jika mana-mana gejala ini muncul beberapa minit atau jam selepas anak anda makan, berikan adrenalin segera dan panggil ambulans. Anafilaksis boleh berlaku lebih daripada sekali; oleh itu, adalah penting anak anda berada di bawah pengawasan teliti oleh pengamal perubatan sehingga keadaannya bertambah baik.

Menyediakan makanan untuk kanak-kanak dengan alahan mungkin sukar, tapi terdapat cara mudah untuk memastikan hidangan mereka bebas alergen tanpa mengabaikan keperluan pemakanannya. Dengan mengutamakan langkah keselamatan lain, ibu bapa boleh menguruskan alahan makanan dengan berkesan dan melindungi kesejahteraan anak mereka di rumah dan apabila berjauhan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.