Kanak-kanak hari ini sememangnya berbeza. Tidak seperti ibu bapa mereka, kanak-kanak ini dilahirkan pada era di mana kita sentiasa berhubung dan maklumat tersedia di hujung jari.
Menurut kajian oleh Tanisha N et al, sekitar 95.9% kanak-kanak prasekolah menggunakan peranti digital di Malaysia dengan umur purata pendedahan pada umur 3.9 tahun.1 Kajian sama juga melihat pada persepsi ibu bapa terhadap risiko penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak.1 90% ibu bapa menganggap bahawa terdapat risiko kerosakan penglihatan, manakala 81.3% pula risau tentang pendedahan radiasi dan 71.9% berasa terdapat risiko gaya hidup tidak aktif. Risiko ketagihan peranti pula merisaukan 86.3% ibu bapa, manakala 74% dan 71% ibu bapa masing-masing setuju bahawa terdapat risiko kandungan tidak elok dan kebergantungan berlebihan. Sesetengah ibu bapa menganggap pendedahan kepada peranti mendatangkan kesan positif, terutamanya dari segi intelek, manakala 62.6% ibu bapa setuju bahawa peranti boleh menggalakkan pembelajaran secara kreatif dan interaktif.
Namun begitu, menatap skrin berjam-jam boleh mendatangkan kesan negatif. Ini berkait rapat dengan cahaya biru buatan yang dipancarkan oleh peranti tersebut. Walaupun tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan retina, pendedahan kepada cahaya biru daripada skrin peranti didapati boleh mengganggu ritma sirkadia, menyebabkan tidur lambat, mengurangkan mutu tidur, menjejaskan keawasan pada hari berikutnya, mengurangkan tempoh tidur REM (rapid eye movement), dan menurunkan melatonin.2 Penggunaan berpanjangan juga boleh menyebabkan mata kering, penglihatan kabur, dan sakit kepala.3 Ia juga dikaitkan dengan kelesuan pada siang hari.4 Ini kemudiannya menjejaskan kemampuan untuk menumpukan perhatian dan menyerap pelajaran dalam kelas, lalu menyebabkan prestasi buruk di sekolah dan masalah psikologi.5,6
Walaupun kesannya boleh dilihat dalam setiap kumpulan umur, penurunan melatonin lebih ketara di kalangan kanak-kanak, yang biasanya mempunyai diameter anak mata yang lebih besar daripada orang dewasa dalam keadaan gelap dan terang.7 Pendedahan kepada peranti pada umur 24 bulan pula dikaitkan dengan pembacaan lebih rendah pada 36 bulan, lalu menyebabkan pendedahan skrin lebih tinggi pada 60 bulan dan peningkatan risiko obesiti.8,9
Menangani gajah di depan mata: kelebihan peranti yang disangka vs keburukan yang ditemui
Kanak-kanak, terutamanya yang berumur bawah 2 tahun, memerlukan contoh teladan dan interaksi sebenar untuk mempelajari dan mengamalkan sesuatu. Contohnya, seorang kanak-kanak mungkin boleh belajar huruf, perkataan, dan nombor daripada aplikasi telefon atau tablet. Namun, dia tak boleh menggunakannya dalam dunia sebenar. Biasanya, kanak-kanak ini cuma akan meniru apa yang dipelajarinya. Aplikasi ini juga tidak mampu mengajar kemahiran berfikir aras tinggi, pengawalaturan perasaan, ketekunan melakukan tugas, kawalan impuls, dan pemikiran kreatif dan anjal. Kebanyakan aplikasi pembelajaran tiada manfaat yang terbukti dan dibangunkan tanpa input daripada pakar perkembangan kanak-kanak atau pendidik.
Sebaliknya, kanak-kanak yang belajar daripada orang-orang di sekitarnya akan mampu menggunakan perkataan yang dipelajari untuk menyampaikan keperluan dan permintaannya dengan berkesan. Melalui interaksi secara langsung, dia boleh mempelajari batasan dan kesan tindakannya. Melalui percubaan dan kegagalan, dia boleh memupuk pemikiran kreatif dan anjal, yang sebaiknya diajar melalui permainan fizikal tanpa struktur dan interaksi antara ibu bapa dan anak.
Kekurangan tidur dan kualiti tidur yang buruk mempunyai kesan yang besar ke atas prestasi kanak-kanak, serta tumbesaran dan perkembangannya. Cahaya biru daripada skrin didapati boleh menurunkan penghasilan melatonin, hormon yang menyebabkan rasa mengantuk, dan mengganggu fasa tidur REM. Bagi menjamin tidur yang bermutu, jangan benarkan anak anda menggunakan peranti sejam sebelum waktu tidur.
Pendedahan skrin juga dikaitkan dengan peningkatan risiko obesiti, sebahagiannya kerana kanak-kanak tidak sedar yang dia sudah kenyang kerana matanya tertumpu pada skrin. Jangan benarkan waktu skrin semasa makan. Ironinya, ramai ibu bapa yang memberikan kanak-kanak peranti semasa makan kerana alasan ini – agar mereka boleh memberi anak mereka makan tanpa meragam. Namun, ini penyelesaian jangka pendek dan hanya akan mendatangkan masalah jangka panjang.
Mata kanak-kanak mudah letih. Tumpukan perhatian pada tanda-tanda keletihan mata, contohnya mata berair, kerap menggosok mata, atau mengerdipkan mata. Ambil peranti daripada mereka selepas satu jam dan galakkan mereka melakukan kegiatan lain yang tidak memerlukan mereka memberi sepenuh tumpuan. Contohnya bermain di luar, berbasikal, berenang, atau melukis. Walaupun terdapat beraneka alat bantu penglihatan di pasaran untuk mengurangkan silau dan pendedahan cahaya biru, ini direka untuk mereka yang meluangkan masa yang panjang melihat skrin. Alat ini tidak boleh membantu perkembangan sosial dan mental kanak-kanak. Penyelesaiannya bukanlah kaca mata cahaya biru, tapi peranti itu sendiri. Kanak-kanak antara dua dan lima tahun sepatutnya hanya didedahkan kepada skrin selama satu jam sehari.
Akhir sekali, yang paling penting. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Sebagai ibu bapa, kita tidak patut melekat dengan peranti kita kerana ini mengehadkan interaksi dengan anak-anak. Simpan telefon semasa makan dan apabila bermain dengan anak-anak. Dengan ini, barulah mereka boleh mendapat manfaat melalui interaksi dua hala.
Pada kurun ke-21 ini, di mana maklumat berada di hujung jari kita, adalah penting untuk memastikan yang sumber maklumat tidak membahayakan kita dan anak-anak kita. Juga penting untuk kita memantau dan memeriksa kandungan yang ditonton oleh anak-anak kita. Ingat semasa kita masih kecil? Bagaimana ibu bapa kita akan berjalan di tepi semasa kita belajar menggunakan basikal atau kasut beroda? Kita perlu melakukan perkara sama untuk anak-anak kita. Bukan hanya dengan kegiatan fizikal, malah kegiatan dalam talian juga. Luangkan masa dan bimbing mereka agar mereka boleh berkembang secara seimbang dan membesar dengan kebolehan untuk membuat keputusan yang tepat.
Rujukan
- Tanusha N, Leelavathi M, Azimah NM. Parent’s perception of digital device use among their preschool children and its associated factors in Kota Setar, Kedah. Med J Malaysia. 2023 Nov;78(6):763-767. PMID: 38031218.
- Chang AM, Aeschbach D, Duffy JF, Czeisler CA. Evening use of light-emitting eReaders negatively affects sleep, circadian timing, and next-morning alertness. Proc Natl Acad Sci U S A 2015;112:1232-7.
- Klamm J, Tarnow KG. Computer Vision Syndrome: A Review of Literature. Medsurg Nurs 2015;24:89-93.
- Hale L, Guan S. Screen time and sleep among school-aged children and adolescents: a systematic literature review. Sleep Med Rev. 2015;21:50–58 [PubMed]
- Beebe DW. Cognitive, behavioral, and functional consequences of inadequate sleep in children and adolescents. Pediatr Clin North Am. 2011;58(3):649–665 [PubMed]
- Falbe J, Davison KK, Franckle RL, et al. Sleep duration, restfulness, and screens in the sleep environment. Pediatrics. 2015;135(2). Available at: pediatrics.org/cgi/content/full/135/2/e367[PubMed]
- Higuchi S, Nagafuchi Y, Lee SI, Harada T. Influence of light at night on melatonin suppression in children. J Clin Endocrinol Metab. 2014;99(9):3298–3303 [PubMed]
- Longitudinal Associations Between Screen Use and Reading in Preschool-Aged Children. Brae Anne McArthur, PhD; Dillon Browne, PhD; Sheila McDonald, PhD; Suzanne Tough, PhD; Sheri Madigan, PhD Paediatrics volume 147 issue 6 June 2021
- Cox R, Skouteris H, Rutherford L, Fuller-Tyszkiewicz M, Dell’ Aquila D, Hardy LL. Television viewing, television content, food intake, physical activity and body mass index: a cross-sectional study of preschool children aged 2-6 years. Health Promot J Austr. 2012;23(1):58–62 [PubMed]

