Influenza, atau flu, ialah penyakit pernafasan berjangkit yang boleh membawa kepada komplikasi serius. Malangnya, beberapa mitos masih berterusan, menghalang orang ramai untuk mendapatkan vaksin. Mari kita betulkan salah faham yang sering tersebar untuk membantu anda membuat keputusan yang tepat untuk diri sendiri dan keluarga anda.
Mitos: “Influenza tidak serius, jadi saya tidak perlukan vaksin.”
Fakta: Ini adalah mitos yang berbahaya. Influenza boleh menjadi penyakit serius, walaupun bagi individu yang sihat. Ia boleh membawa kepada komplikasi seperti radang paru-paru,bronkitis, dan boleh memburukkan keadaan sedia ada seperti asma dan penyakit jantung. Setiap tahun, influenza menyebabkan ribuan kemasukan ke hospital dan kematian. Mendapatkan vaksin adalah cara paling berkesan untuk melindungi diri daripada penyakit teruk dan membantu melindungi orang di sekeliling anda, termasuk anak kecil, warga emas, dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Mitos: “Suntikan influenza boleh menyebabkan saya terkena influenza.”
Fakta: Suntikan influenza tidak mungkin menyebabkan anda terkena influenza. Vaksin ini mengandungi virus yang tidak aktif (mati) yang tidak boleh menyebabkan penyakit. Jika anda mendapat vaksin semburan hidung, ia mengandungi virus hidup yang dilemahkan yang direka untuk menghasilkan tindak balas imun tanpa menyebabkan influenza. Sebarang kesan sampingan ringan, seperti demam ringan atau sengal otot, hanyalah tanda bahawa badan anda sedang membina imuniti, dan bukannya kerana influenza.
Mitos: “Vaksin influenza mempunyai kesan sampingan yang teruk.”
Fakta: Kesan sampingan serius daripada vaksin influenza sangat jarang berlaku. Kesan sampingan yang paling biasa adalah ringan dan sementara, termasuk sakit, kemerahan, atau bengkak di tempat suntikan. Sesetengah orang juga mungkin mengalami sakit kepala atau demam ringan. Gejala ini biasanya hanya berlaku sehari dua. Manfaat mencegah influenza dan komplikasinya jauh melebihi risiko kecil kesan sampingan ringan ini.
Mitos: “Saya tidak boleh divaksin jika saya hamil.”
Fakta: Suntikan influenza adalah selamat dan sangat disyorkan untuk wanita hamil pada mana-mana peringkat kehamilan. Wanita hamil berisiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi berkaitan influenza. Vaksinasi bukan saja melindungi bakal ibu daripada penyakit teruk tetapi juga memberikan imuniti pasif kepada bayi baru lahir untuk beberapa bulan pertama ketika mereka masih terlalu kecil untuk divaksin. Suntikan influenza semasa hamil dianggap selamat untuk kedua-dua ibu dan bayi.
Mitos: “Semua vaksin influenza adalah sama.”
Fakta: Walaupun semua vaksin influenza melindungi daripada influenza, terdapat beberapa jenis vaksin berbeza. Suntikan influenza biasa melindungi kita daripada tiga atau empat jenis virus. Vaksin dos tinggi boleh diberi kepada warga tua berumur 65 tahun ke atas bagi menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat. Terdapat juga vaksin semburan hidung yang boleh diberi kepada individu sihat berusia antara 2 hingga 49 tahun yang tidak hamil (tetapi ia tidak boleh didapati di Malaysia buat masa ini). Doktor anda boleh membantu menentukan vaksin terbaik untuk anda berdasarkan umur dan status kesihatan anda.

Dengan memahami dan menangkis mitos-mitos biasa ini, kita boleh membuat keputusan yang tepat mengenai pencegahan influenza dan melindungi diri, keluarga, serta komuniti daripada akibat serius influenza. Vaksinasi tahunan masih lagi cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko jatuh sakit akibat influenza dan komplikasi teruk yang mungkin timbul. Rujuk doktor atau penyedia penjagaan kesihatan anda untuk maklumat lanjut mengenai influenza dan vaksin influenza.
Rujukan:

