Pengasuhan Positif

Apa Yang Saya Perlu Tahu Jika Anak Saya Dimasukkan ke Hospital Akibat Pneumonia?

Menyaksikan anak anda dimasukkan ke hospital boleh menjadi pengalaman yang traumatik. Satu penyakit yang biasa dikaitkan dengan kemasukan ke hospital ialah pneumonia, yang mempunyai kadar prevalens sebanyak 28%-39% dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun di Malaysia. Semua ibu bapa yang prihatin pasti ingin ambil tahu tentang kesihatan anak mereka, terutamanya dalam situasi yang mengancam nyawa seperti ini; jadi, ada beberapa perkara yang perlu anda ketahui jika anak anda dimasukkan ke hospital akibat pneumonia.

Apa itu pneumonia, dan bagaimana ia didiagnosis?

Pneumonia ialah jangkitan paru-paru oleh virus, bakteria, atau kulat. Paru-paru kita terdiri daripada jutaan kantung udara kecil yang dipanggil alveoli, dan dalam kes pneumonia, alveoli dipenuhi cecair atau nanah akibat keradangan. Akibatnya, individu yang dijangkiti akan mengalami sesak nafas disebabkan kekurangan oksigen.

Kanak-kanak yang mengalami pneumonia akan menunjukkan pelbagai gejala daripada demam dan batuk hinggalah muntah dan kesukaran bernafas. Semasa janji temu, doktor akan membuat diagnosis selepas meneliti sejarah lengkap dan membuat pemeriksaan fizikal. Ibu bapa boleh membantu dengan memberi maklumat berkenaan sebarang perbezaan yang mereka perasan pada anak mereka dan bila ia terjadi. Kadangkala, X-ray dada, ujian darah, dan kultur kahak dilakukan untuk pengesahan. Doktor akan melihat keputusan ujian dan membuat diagnosis sebelum merancang rawatan.

Adakah anak saya akan dimasukkan ke hospital?

Sejurus selepas kes pneumonia disahkan, pakar pediatrik akan menentukan jika anak anda memerlukan intervensi segera di hospital atau rawatan boleh dijalankan di rumah. Biasanya, kemasukan ke hospital hanya dikhususkan untuk kanak-kanak yang bernafas dengan laju, sukar bernafas, mempunyai kepekatan oksigen rendah, dehidrasi, kurang makan, kerap muntah, dan mempunyai penyakit lain seperti asma, anemia, atau penyakit kekurangan imuniti. Begitu juga dengan kanak-kanak yang mendapat komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Kadangkala, jika ibu bapa resah atau kurang yakin untuk menjaga anak yang dijangkiti di rumah, ini juga boleh menjadi sebab mereka dimasukkan awal ke hospital. Kemasukan ke hospital memastikan rawatan dan prosedur dapat dimulakan secepat mungkin untuk pesakit.

Bagaimana anak saya akan dirawat?

Di dalam wad, pengamal perubatan akan merawat pneumonia anak anda bergantung pada gejala dan puncanya. Lazimnya, rawatan terdiri daripada cecair oral atau intravena untuk memulihkan hidrasi, antipiretik seperti paracetamol untuk menurunkan suhu badan, dan oksigen tambahan untuk menambah baik pengedaran oksigen ke seluruh badan. Antibiotik mungkin diberi jika terdapat petanda jangkitan bakteria. Mereka juga akan memantau suhu, kadar pernafasan, kepekatan oksigen, dan pengambilan cecair untuk menilai perkembangan pemulihan anak anda.

Kebanyakan kes pneumonia disebabkan oleh virus, jadi antibiotik hanya akan diberi jika doktor pasti bahawa jangkitan tersebut berpunca daripada bakteria. Rawatan antibiotik perlu diselesaikan untuk mengelak daripada terjadinya rintangan antibiotik. Oleh itu, tempoh berada di hospital bergantung pada jenis rawatan dan bagaimana anak anda bertindak balas kepadanya. Tempoh yang biasa selalunya dalam tiga ke tujuh hari.

Komplikasi pneumonia
Segelintir kanak-kanak dengan pneumonia mudah mendapat komplikasi, terutamanya mereka yang mempunyai imuniti yang lemah atau lambat menerima rawatan. Antara komplikasi tersebut ialah:
· Efusi pleura: Pengumpulan cecair secara berlebihan dalam rongga pleura, ruang di antara paru-paru dan dinding dada
· Empiema: Pengumpulan nanah dalam rongga pleura akibat jangkitan yang merebak daripada paru-paru
· Abses paru-paru: Pembentukan rongga yang dipenuhi nanah dalam paru-paru
· Pneumonia nekrotik: Kematian tisu paru-paru disusuli dengan pembentukan rongga
· Sepsis: Keadaan yang mengancam nyawa apabila kuman telah merebak ke dalam darah dan boleh menjangkiti organ-organ lain seperti hati, otak, dll.

Bagaimana saya dan anak saya mungkin terjejas?

Tidak dapat disangkal bahawa rawatan di hospital boleh menyelamatkan nyawa, namun ramai kanak-kanak, malah keluarga mereka tidak suka berada di hospital. Berada di hospital boleh menukar anak anda yang periang menjadi sedih dan muram. Tempat dan rutin yang asing memberi tekanan kepada si kecil, kerana mereka tidak dapat mengawal apa yang terjadi ke atas mereka. Bagi kanak-kanak yang bersekolah, kemasukan ke hospital juga menyebabkan mereka terlepas sesi persekolahan dan interaksi bersama rakan sebaya, yang akhirnya akan menganggu pembelajaran mereka.

Bagi ibu bapa pula, kemasukan anak ke hospital memaksa mereka mengatur semula jadual, terutamanya yang berkaitan kerja. Ibu bapa perlu memohon cuti untuk memastikan anak mereka kembali sihat. Ini menjadi cabaran bagi mereka yang memperoleh pendapatan secara harian atau bagi ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak-anak lain untuk dijaga di rumah. Selain itu, kerisauan terhadap kesihatan dan prognosis anak mereka sepanjang berada di hospital boleh menjadi beban emosi ke atas mereka.

Bagaimana saya dapat mencegah anak saya daripada pneumonia?

Kesulitan yang timbul akibat kemasukan ke hospital dapat dielakkan dengan mengambil beberapa langkah awal. Pertama, ibu bapa perlu memastikan status vaksinasi anak mereka sentiasa mengikut jadual. Vaksin terhadap jangkitan yang boleh membuatkan kanak-kanak menghidap pneumonia seperti pneumokokus, Haemophilus influenzae jenis b, dan pertusis boleh didapati melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PIK). Vaksin pneumokokus juga boleh didapati di hospital atau klinik swasta, bagi mereka yang tidak layak untuk PIK. Vaksinasi influenza juga membantu mengurangkan lagi risiko jangkitan. Tambahan lagi, mengajar anak anda untuk mengelakkan pergaulan rapat dengan individu yang sakit dan kerap membasuh tangan juga akan melindungi mereka daripada jangkitan.

Memahami sebab di sebalik keputusan doktor boleh mengurangkan kegelisahan ibu bapa semasa anak mereka dimasukkan ke hospital. Pneumonia mempunyai pelbagai gejala klinikal dan kaedah rawatan, jadi ibu bapa digalakkan untuk berunding dengan doktor bagi mengetahui perkembangan pemulihan anak mereka. Pendekatan “mencegah lebih baik daripada merawat” dengan cara memastikan kanak-kanak mendapat vaksin pada waktunya boleh membantu ibu bapa mengelakkan masalah melibatkan kemasukan ke hospital.

Langgani surat berita pengasuhan kami.