Penyakit meningokokal invasif atau Invasive meningococcal disease (IMD) ialah jangkitan bakteria akut disebabkan oleh Neisseria meningitidis. Walaupun ia tidak berlaku sekerap selsema biasa, ia bukanlah satu jangkitan yang anda boleh ambil ringan! Ia mengancam nyawa apabila tidak didiagnos dan dirawat dengan segera. Dalam sesetengah kes, kematian berlaku dalam masa kurang daripada 24 jam selepas dimasukkan ke hospital.
Dengan kemudahan perjalanan udara dari satu bahagian dunia ke benua yang lain, maka mudah bagi penyakit tersebut untuk menular dari kawasan atau negara asal (khususnya jaluran meningokokal di Afrika) ke seluruh dunia. Musim haji tahunan juga dikaitkan dengan wabak penyakit meningokokal, lalu menyebabkan syarat imunisasi wajib bagi semua bakal haji.
Sukar dikesan
Penyakit meningokokal tidak mudah didiagnos dengan pantas disebabkan simptom awalnya seakan-akan seperti penyakit biasa lain tetapi sedang menjejaskan otak atau saraf tunjang (meningitis meningokokal) dan darah (septisemia).
Simptom lazim dalam bayi termasuk:
- Demam panas
- Menangis tidak berhenti-henti
- Sukar ditenangkan
- Terlalu mengantuk atau rengsa
- Kurang aktif atau lembab
- Tidak menyusu dengan baik
- Ubun membonjol (bahagian lembut atas kepala bayi)
- Tubuh dan leher bayi tegang
Kanak-kanak melebihi umur dua tahun mungkin menunjukkan tanda-tanda dan simptom berikut:
- Demam panas secara tiba-tiba
- Sakit kepala yang teruk
- Leher tegang
- Muntah-muntah atau mual diiringi sakit kepala
- Kebingungan atau sukar menumpukan perhatian
- Sawan
- Mengantuk atau sukar terjaga dari tidur
- Sensitif kepada cahaya
- Hilang minat pada makanan dan minuman
- Ruam purpura (seperti lebam) (satu simptom septisemia)
Tahukah Anda
Anda boleh menggunakan ‘ujian gelas’ untuk memeriksa sama ada ruam yang dialami itu adalah tanda septisemia atau tidak. Ruam biasa akan menjadi pucat (atau beransur hilang) jika ditekan dengan gelas.
Ini ialah tanda septisemia meningokokal. Walau bagaimanapun, jangan tunggu sehingga ruam terbentuk sebelum melakukan ujian ini. Jika anak anda sakit dan keadaannya semakin teruk, dapatkan bantuan perubatan dengan segera!
Siapa yang paling berisiko?
Bayi dan kanak-kanak petatih (sehingga umur 5 tahun). Dua per tiga kes global (sistem imun kurang matang).
Remaja dan orang dewasa muda (di antara 15 -24 tahun) dengan gaya hidup sosial yang lebih interaktif (iaitu berkongsi makanan atau minuman dengan orang lain), tinggal di asrama (keadaan tempat tinggal yang sesak menggalakkan penularan bakteria).
Warga emas.
Berita terkini
Jangan jadi statistik
Walaupun pengesanan awal bermaksud anda memberi anak anda 90% peluang untuk hidup, terdapat beberapa potensi kehilangan upaya kekal seperti amputasi jari, ibu jari, tangan atau kaki (akibat embolisasi bahan septik pada kapilari di anggota-anggota tersebut) atau parut yang lebih teruk akibat graf kulit.
Perkara paling baik ialah untuk mencegah IMD dengan mendapatkan imunisasi terhadapnya. Walaupun memberi anak anda imunisasi merupakan cara pencegahan terbaik, pastikan juga kebersihan diri diamalkan kerana ia membantu meminimumkan penularan bakteria. Cuba elakkan daripada berkongsi makanan atau minuman dan juga berus gigi.
Dapatkan nasihat pakar kanak-kanak atau doktor dengan segera agar dapat mengetahui pilihan yang terdapat untuk melindungi keluarga anda dan diri anda daripada ancaman IMD. Ingat, hanya kerana ia bukan penyakit yang berleluasa, tidak bermakna anda harus mengambil risiko, dengan harapan ia tidak terjadi kepada anda. Ambil tindakan dengan mendapatkan imunisasi.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen