Pengasuhan Positif

Apabila Hukuman Time-Out Tidak Berguna

Adakah anak kecil anda membuat anda naik angin dengan perangai buruknya? Adakah anda mendapati bahawa kaedah disiplin time-out ataupun sudut diam tidak lagi berkesan seperti dahulu? Pada hakikatnya, anda perlu sedar bahawa jika sudut diam tidak lagi berkesan, ia kemungkinan besar bererti anda tidak melakukannya dengan betul atau tidak memberi ganjaran secukupnya bagi tingkah laku yang baik, ataupun kedua-duanya sekali.

Hukuman sudut diam tidak harus menjadi kaedah pilihan pertama dalam pengurusan tingkah laku. Meskipun ia satu bentuk disiplin bertujuan untuk mengurangkan tingkah laku, kajian psikologi menunjukkan bahawa kesan ganjaran dan hukuman adalah tidak sekata – ganjaran lazimnya meningkatkan tingkah laku manakala hukuman tidak semestinya mengurangkan tingkah laku.

Jeritan meminta perhatian

Ingatlah bahawa anak kecil anda biasanya dahagakan perhatian anda. Jika anda tidak meluangkan masa secukupnya, dia mungkin berpuas hati mendapat perhatian negatif dengan berkelakuan buruk. Daripada menunggu perkara ini berlaku, sebaliknya anda harus fokuskan kepada penerapan ganjaran untuk menguruskan tingkah laku.

Ganjaran jauh lebih berkesan untuk meneguhkan ataupun menggalakkan tingkah laku yang anda inginkan daripada bergantung kepada hukuman untuk menghalang atau menghentikan tingkah laku buruk. Kewajaran di sebalik tindakan ini adalah ia dapat mengelakkan tingkah laku buruk daripada kerap berlaku, kerana ia digantikan dengan tingkah laku baik yang diteguhkan dengan ganjaran.

Tahukah anda?

Hukuman mempunyai tiga kesan sampingan utama: kemarahan, ketakutan, dan keinginan dendam. Jika anda bertujuan menggunakan hukuman, bersedia untuk berhadapan dengan kesan sampingan tersebut dan ketahui bagaimana untuk menguruskannya. Jika tidak, ia boleh membawa kepada lebih banyak masalah.

Positif lebih baik

Oleh kerana hukuman seperti sudut diam tidak sentiasa berkesan, jangan takut untuk mengubah kaedah pengasuhan anda! Mulalah dengan memberi lebih tumpuan kepada teknik pengurusan yang menjurus kepada tingkah laku positif untuk memperkukuhkan tingkah laku yang anda ingin galakkan.

Beritahulah anak anda secara jelas apa yang anda inginkan atau harapkan – berhati-hati agar tidak menyatakan tingkah laku yang anda tidak inginkan. Beri perhatian kepada sebarang perubahan positif tidak kira sekecil manapun (seperti menggunakan kain napkin dan bukan lengan baju untuk membersihkan mulut selepas makan , walaupun hanya sekali). Beri komen positif mengenainya kerana kanak-kanak cenderung untuk meningkatkan tingkah laku yang memberikan mereka lebih perhatian.

Pengarahan semula dan peneguhan tingkah laku

Kata-kata seperti “Tidak”, “Bukan” atau “Jangan” sering digunakan secara berlebihan (contohnya, “Jangan lari!’, “Jangan pegang tu!’, “Jangan! Letak balik!”), dan anak anda mungkin akhirnya tidak mengendahkan kata-kata tersebut. Sebaliknya, arah semula tenaga dan perhatiannya kepada perkara ataupun hal lain yang lebih wajar. Anda boleh melakukannya dengan mudah dengan mencadangkan aktiviti yang mungkin lebih disukainya.

Contohnya, jika anak anda mula melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya semasa anda keluar membeli-belah, beritahunya anda memerlukan bantuannya dan minta dia memilih barang runcit atau untuk mengatur barangan di dalam troli. Ini memberi anda peluang untuk meneguhkan perlakuan yang lebih diinginkan, malah membantu mengalih perhatiannya daripada berkelakuan tidak wajar, kepada sesuatu yang lebih wajar.

Gunakan ganjaran, bukan hukuman

Memberi ganjaran bagi tingkah laku baik membantu meneguhkannya. Ganjaran boleh diberikan dalam pelbagai bentuk termasuklah memberi makanan kegemaran, peluang bermain, hadiah ataupun perhatian positif. Sebagai alternatif, anda juga boleh mempertimbangkan penggunaan pujian dan kata-kata penggalak sebagai ganjaran kepada anak kecil anda. Pastikan bahawa anda spesifik dan ikhlas dengan pujian anda, contohnya, daripada berkata “Bagus”, katakan “Bagusnya anda berkongsi permainan anda dengan adik anda.”

Apabila memberi dia barang sebagai ganjaran, anda juga harus mempertimbangkannya. Tempoh yang terlalu lama antara kelakuan dan ganjaran boleh membuat dia hilang semangat. Sebaliknya, terlalu kerap mendapat ganjaran boleh membuat dia sentiasa mengharapkan sesuatu ganjaran setiap masa. Sering kali, pengiktirafan mudah bagi tingkah laku tersebut sudah memadai.

Awas!

Kaedah ganjaran boleh gagal apabila disalahgunakan sebagai rasuah. Contohnya, jika anak anda mula berperangai tidak baik semasa pergi membeli belah dan anda cuba membuat dia berkelakuan baik dengan memberi dia lollipop, ia sama seperti memberi ‘ganjaran’ bagi tingkah laku salah. Tindakan ini akan menggalakkan dia untuk berkelakuan buruk di masa akan datang kerana dia akan mengkaitkan tingkah laku buruknya dengan ‘ganjaran’ (atau, lebih tepat lagi, ‘rasuah’).

Membawa ganjaran ke tahap seterusnya

Memandangkan pemberian ganjaran setiap masa bukanlah satu idea yang baik, anda mungkin ingin mempertimbangkan penggunaan kaedah berbeza yang dikenali sebagai ekonomi token. Kaedah ini membantu memberi motivasi dan menggalakkan anak kecil anda untuk mengekalkan tindakan atau tingkah laku tertentu dengan membolehkan dia mendapat ganjaran kecil (iaitu token seperti setem pelekat) setiap kali dia melakukannya (contohnya, memberus gigi atau menyimpan permainannya sebelum tidur).

Setelah dia mengumpul sejumlah pelekat, dia kemudiannya boleh ‘menukarnya’ dengan ganjaran utama, mungkin menonton wayang pilihan sendiri atau sesuatu yang dia inginkan.

Akhir sekali, ingatlah bahawa untuk memastikan keberkesanan sesuatu ganjaran, ia haruslah merupakan sesuatu yang dihargai atau diingini oleh anak anda. Apa yang anda fikir sebagai ganjaran baik tidak semestinya apa yang dia inginkan. Oleh itu, pastikan anda mendapat pandangannya apabila mempertimbangkan ganjaran yang hendak diberi. Ia juga penting untuk menghentikan pemberian ganjaran barangan dan ekonomi token secara beransur-ansur apabila tingkah laku tersebut sudah menjadi kebiasaan. Anda tidak mahu anak-anak Awas! anda bergantung kepadanya.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen