Pengasuhan Positif

Melindungi Diri daripada JE

Ensefalitis Jepun (Japanese Encephalitis, JE) adalah sejenis jangkitan virus kepada otak yang boleh menjejaskan manusia dan binatang.

JE ialah penyakit endemik (penyakit yang sentiasa ada di suatu tempat, walaupun tanpa pengaruh luar) di Sarawak, maka vaksinasi JE diwajibkan di sana. Bagaimanapun, sekali-sekala kes JE boleh berlaku di negeri lain. JE merebak ke manusia menerusi gigitan nyamuk Culex yang sudah dijangkiti.

Kecil tapi membawa maut

Penyebab JE ialah virus daripada keluarga Flaviviridae yang berkait dengan virus denggi, demam kuning dan virus Nil barat. Penyakit ini boleh menyebabkan gejala serius dan boleh membawa maut, terutamanya kepada bayi dan anak kecil.

Awasi tanda-tanda ini:

  • Permulaan demam panas yang mendadak
  • Sakit kepala
  • Kejang leher
  • Disorientasi
  • Koma
  • Sawan
  • Kelumpuhan spastik

JE adalah sejenis penyakit yang boleh menyebabkan keradangan akut pada otak. Kadar kematian boleh mencecah 3 dalam setiap 10 orang. Terdapat 50% kemungkinan bahawa pesakit itu menderita penyakit neurologi atau psikiatri yang kekal. Pesakit yang terselamat mungkin mengalami masalah intelek, perlakuan atau neurologi yang kekal seperti kelumpuhan, sawan yang berulang atau kehilangan kebolehan bercakap.

Pencegahan kunci utama

Memandangkan JE ialah penyakit yang berbahaya, ia penting untuk mengambil langkah pencegahan. Oleh kerana JE dibawa oleh nyamuk, perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah mengelakkan gigitan nyamuk. Apa yang anda boleh lakukan adalah:

  • Gunakan penyembur pencegah nyamuk yang mengandungi 20-30% DEET atau 20% Picaridin pada mana-mana kulit yang terdedah, terutamanya pada waktu malam. Guna penghalau nyamuk itu mengikut keperluan yang disyorkan oleh arahan penggunaan produk tersebut.

  • Pakai warna neutral dan elakkan pakaian gelap. Memakai lengan/seluar panjang mengurangkan kawasan kulit yang terdedah kepada gigitan nyamuk.

  • Anda boleh merendam terlebih dahulu atau menyembur lapisan luar pakaian dengan permethrin (sejenis racun serangga) bagi menghalau nyamuk.
  • Memasang layar pintu/ tingkap yang bertindak sebagai penghalang nyamuk.

  • Guna kelambu katil, jika perlu.
  • Kerap bersihkan laman rumah daripada sebarang sampah kerana sampah berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk (contohnya, longgokan daun, bekas atau barangan yang mungkin menakung air, longkang yang tidak mengalir, dsb.). Pancuran air hiasan mungkin cantik tetapi berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk. Bagi mencegah perkara ini berlaku, pastikan air mengalir (air yang tidak bergerak sesuai untuk pembiakan larva nyamuk) dan isi pancuran air dengan ikan yang boleh makan larva nyamuk. Sebagai alternatif, anda juga boleh merawat pancuran air hiasan dengan racun larva.

Vaksinasi terbukti berkesan

Buat masa sekarang masih tiada penawar bagi JE, dan rawatan dilakukan agar tekanan cecair dalam otak tidak meningkat. Semasa meletusnya wabak JE pada tahun 1999, terdapat 154 kes yang dilaporkan dan 56 kematian. Pada tahun 2001, vaksinasi JE mula diwajibkan di Sarawak, dan telah banyak mengurangkan kes JE.

Menjelang 2017, hanya 10 kes dilaporkan, yang bermaksud banyak nyawa telah diselamatkan (kadar kematian disebabkan JE adalah lebih kurang 3 dalam setiap 10 orang).

Keputusan-keputusan tersebut membuktikan vaksinasi JE ialah pertahanan terbaik terhadap virus itu, dan harus dipertimbangkan jika anda tinggal berdekatan kawasan yang mempunyai populasi nyamuk yang tinggi atau merancang untuk ke Sarawak atau negara lain di mana JE adalah endemik. Vaksinasi bukan sahaja selamat dan berkesan; vaksinasi mampu menyelamatkan nyawa anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen