Pengasuhan Positif

Kepentingan Adab

Pendekatan pengasuhan berubah mengikut masa. Dulu, ibu bapa lebih tegas dan tidak ragu-ragu menggunakan hukuman fizikal jika anak mereka biadab.

Hari ini, pendekatan ibu bapa biasanya lebih longgar, dan anak-anak boleh menjadi terlalu manja atau biadab. Ini bukan bermakna ibu bapa harus kasar terhadap anak-anak mereka. Bagaimanapun, adab bukan datang secara semula jadi. Ibu bapa perlu mengajar dan menunjukkannya kepada anak- anak, lalu membantu mereka memupuk kemahiran sosial untuk bergaul dengan orang lain.

Permulaan asas

Dari 18 bulan, anak anda mula sedar akan perasaan orang lain. Anda boleh beransur- ansur mengajarnya adab yang wajar dengan umur dan fasa perkembangannya.

  • Minta tolong dan berterima kasih: Ajarkan anak anda untuk berkata ‘Tolong’ dan ‘Terima kasih’ semasa meminta dan menerima pertolongan, dan frasa- frasa lain seperti ‘Maafkan saya’ dan ‘Bolehkah saya?’ Gunakan perkataan- perkataan ini secara kerap dalam perbualan anda dan pujinya apabila dia menggunakannya. Dia mungkin kurang memahami maksudnya lagi, tetapi dia akan sedar orang rasa gembira apabila mendengar perkataan-perkataan tersebut.

  • Bertegur sapa dan perbualan: Tunjukkan anak anda cara menyapa orang dengan betul dalam budaya anda. Ajarkannya untuk berjabat tangan atau bersalaman semasa menyapa orang. Pandang orang dan cakap dengan lembut semasa berbual. Jelaskan mengapa bahasa kasar tidak elok dan tidak harus digunakan. Ajarkan cara untuk mendengar atau bercakap dengan baik dalam perbualan menerusi kaedah bercerita atau berlakon.
  • Adab di meja makan: Jadikan membasuh tangan sebelum makan sebagai amalan. Ajarnya untuk menutup mulut dan tidak bercakap semasa mengunyah. Gigit sedikit demi sedikit dan makan perlahan- lahan. Bermain dengan makanan dan meludah makanan dilarang sama sekali. Apabila dia sudah cukup matang, beritahunya untuk menunggu orang lain sebelum makan. Jangan cuba capai makanan yang jauh, tapi minta bantuan orang lain untuk mengambilnya. Pupuk adab- adab ini pada setiap waktu makan, dan lebih penting lagi, anda sendiri harus amalkannya!

  • Waktu bermain: Ajarkan anak anda untuk berkongsi makanan dan bergilir-gilir semasa bermain dengan kawan-kawan atau adik- beradik. Ejek-mengejek harus ditegah. Pupuklah sikap kesukanan yang baik dalam anak anda: merendah diri semasa menang dan menyokong orang lain apabila kalah. Orang dewasa tidak harus membangkitkan kemarahan anak-anak dengan mengejek, merendahkan, atau membandingkan mereka dengan pencapaian orang lain.

  • Hormat orang tua: Orang dewasa harus menjadi contoh dalam perkara ini. Sentiasa menyapa dan memperakui kehadiran orang lebih tua seperti ibu bapa, keluarga, guru dan orang luar. Gunakan panggilan yang wajar untuk mereka seperti ‘Encik’, ‘Cik’, ‘Pak Cik’, ‘Mak Cik’ atau gelaran lain. Bagaimanapun, anak-anak mungkin akan berwaspada dengan kehadiran orang baharu. Orang dewasa yang perlu menyapa kanak-kanak terlebih dahulu dengan kasih dan hormat agar kanak- kanak itu rasa selamat dan selesa dengan mereka. Apabila ibu bapa memberi keutamaan kepada orang lebih tua, contohnya, semasa menghidangkan makanan atau memberikan tempat duduk, anak-anak akan turut mencontohi amalan itu.

Mengajarkan adab kepada anak

Mungkin sukar untuk mengajarkan adab kepada anak anda. Beberapa cadangan berikut boleh membantu anda:

  • Bapak borek, anak rintik: Ibu bapa banyak mempengaruhi perlakuan anak mereka. Anak belajar dengan memerhati dan meniru anda, jadi sentiasalah menjaga tingkah laku dan bahasa anda. Contohnya, semasa memandunya ke sekolah, elakkan melanggar peraturan trafik dan memaki trafik yang teruk. Mereka memerhatikan cara anda bercakap dan bertindak balas terhadap orang lain. Jika orang dewasa sukar meminta maaf apabila membuat kesalahan, jangan harap anak-anak akan meminta maaf dengan ikhlas. Nilai moral mengajar kita membuat perkara yang betul. Kemahiran sosio- emosional pula mengajar kita melakukannya dengan ikhlas.
  • Komunikasi dengan anak: Luangkan masa untuk bercakap dan bertanya tentang harinya, contohnya semasa makan malam. Jadikan waktu keluarga menyeronokkan dan kekalkan nada suara yang mesra. Ini peluang baik untuk anak anda mengamalkan adab perbualannya dan memupuk kemahiran komunikasinya.
  • Ajarkan empati: Empati ialah meletakkan diri anda dalam situasi orang lain. Beritahu anak anda peraturan penting ini – layan orang lain sebagaimana anda mahu dilayan. Apabila dia belajar untuk berempati, dia akan belajar untuk berfikir di luar keperluan sendiri dan memahami tujuan beradab baik.
  • Elakkan kandungan tidak wajar: Kanak-kanak mudah dipengaruhi dan cenderung untuk meniru apa yang dilihat di TV atau dalam talian. Awasi rancangan TV atau permainan videonya, dan tentukan jika ia sesuai. Hadkan waktu skrin mengikut umurnya.

Mengajarkan adab kepada anak anda dari kecil akan membantunya bergaul dengan orang lain dengan baik. Mulakan dengan menjadi sopan, sensitif dan menghormati perasaan orang lain. Anda harus beritahu anak anda apa yang anda mahu dan tidak mahu. Apabila dia berkelakuan baik, galakkan amalan itu dengan pujian, pelukan, senyuman dan sebagainya. Tumpukan pada perkara baik yang mereka lakukan dengan memuji mereka, bukannya menghukum kesilapan mereka. Ibu bapa harus menjadi teladan bagi anak mereka. Ingatlah, adab membentuk peribadi.

 

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen