Sindrom usus iritabel atau Irritable bowel syndrome (IBS) merupakan gangguan fungsi, ini bermakna simptomnya tidak mempunyai punca fizikal atau organik yang boleh dikesan. Dalam kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak, IBS didefinasikan sebagai kumpulan simptom-simptom termasuk kejang, sakit perut, tabiat air besar yang tidak tentu (cirit-birit, sembelit), intolerans makanan, dan kembung. Punca sebenar IBS tidak diketahui dan ia mungkin disebabkan oleh gabungan beberapa faktor.
Terdapat banyak mitos megenai IBS, maka penting untuk anda mengambil perhatian bahawa:
- IBS bukan faktor risiko bagi penyakit gastrousus lain yang serius, seperti penyakit debu inflamatori (penyakit Crohn atau kolitis ulseratif) atau kanser kolon.
- Jangka hayat penghidap IBS adalah sama seperti orang lain yang tidak menghidap IBS.
- IBS tidak menjejaskan organ lain di dalam tubuh seperti jantung, hati atau buah pinggang.
Namun begitu, IBS memberi kesan kepada kualiti hidup kerana ia mengganggu keupayaan seorang penghidap untuk menjalani kehidupan yang normal, sihat dan sejahtera.
Bila Harus Mendapatkan Bantuan
Beberapa simptom IBS adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak dan tidak perlu dikhuatiri jika ia dialami sekali sekala. Tabiat membuang air besar anak anda yang tidak teratur – dan selalunya diikuti dengan ketidakselesaan dan kejang – mungkin satu-satunya cara untuk anda mengesan sesuatu masalah.
Ketakaturan membuang air besar yang perlu diberi perhatian:
- Sakit perut lega selepas membuang air besar
- Terlalu kerap atau terlalu jarang membuang air besar berbanding dahulu
- Ketekalan najis yang cair atau keras dan berketul.
Bawa anak anda berjumpa doktor jika beberapa ketakaturan ini kerap berlaku, sehingga mengganggu kehidupan hariannya. Pakar boleh mengenal pasti sama ada anak anda menghidapi IBS melalui simptomsimptom yang ditunjukkan serta mengkaji kemungkinan jika ia berpunca daripada penyakit lain.
Tip-tip Bagi Kanak-kanak yang Mengalami IBS
Pada masa ini, tidak ada ubat untuk merawat IBS tetapi simptomnya boleh dikawal dan/atau dicegah. IBS memberi kesan yang berbeza bagi lain-lain orang, maka tiada satu rawatan yang berkesan bagi setiap orang. Oleh itu, selain daripada ubat-ubatan, kebanyakan usaha untuk merawat simptom IBS berfokus kepada gaya hidup, diet dan mengurangkan stres.
- Makanlah lebih serat dan masukkan serat yang berbagai jenis ke dalam diet anda. Serat membantu menyerap air daripada kolon, menjadikan najis lebih lembut dan mudah dibuang. Dalam sesetengah penghidap, terutamanya kanak-kanak yang sangat kecil, serat boleh menjadikan simptom lebih teruk, maka penting untuk bertanya kepada doktor anak anda sama ada pengambilan serat adalah berkesan baginya.
- Elakkan pengambilan gula dan gula tiruan yang berlebihan seperti sorbitol (terdapat dalam gula-gula getah atau minuman berkarbonat), yang boleh meningkatkan pengeluaran gas, kembung, kekejangan, dan cirit-birit.
- Makan diet yang seimbang dan banyak minum air. Elak atau kurangkan minuman berkafein dan berkarbonat.
- Jangan biarkan anak anda makan berlebihan, terutamanya hidangan yang tinggi kandungan lemak.
- Cuba elakkan daripada makan secara tergesa-gesa. Luangkan masa untuk duduk makan bersantai dan berbual bersama keluarga.
- Galakkan aktiviti fizikal secara tetap untuk mengawal pembuangan air besar dan memperbaiki penghadaman. Aktiviti fizikal dan juga teknik relaks atau hobi juga boleh membantu mengurangkan stres seorang penghidap. Terapi tingkah laku juga mungkin berkesan bagi sesetengah penghidap IBS.
- Perubahan diet atau gaya hidup anak anda perlu dilakukan secara beransur-ansur untuk memberi masa tubuhnya menyesuaikan diri.
- Galakkan tabiat yang tetap dalam kehidupan harian, dengan waktu makan yang sempurna dan tidur yang mencukupi.
- Galakkan anak anda untuk mempunyai keyakinan diri dan ambil bahagian sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti konstruktif dan bernilai seperti membaca buku yang menarik dan bersukan.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen