Pengasuhan Positif

Tingkatkan Imuniti, Lindungi Diri

Kajian menunjukkan bahawa pengambilan probiotik berpotensi memberi pelbagai manfaat kesihatan kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Dengan pandemik COVID-19 yang masih berterusan, lebih ramai ibu bapa menyedari kepentingan untuk meningkatkan sistem imuniti dalam kalangan anak-anak mereka untuk menjamin tahap kesihatan yang optimal.

Imuniti vs pandemik

Kementerian Kesihatan Malaysia kini sedang memberikan vaksinasi percuma untuk mengelakkan penyebaran COVID-19. Rancangan ini dijalankan dalam tiga fasa:

  • Fasa 1: pekerja di sektor kesihatan dan perkhidmatan penting
  • Fasa 2: warga emas, golongan berisiko dan kurang upaya
  • Fasa 3: populasi umum dewasa

Namun begitu, semasa artikel ini ditulis, vaksin untuk COVID-19 tidak diperuntukkan lagi untuk kanak-kanak bawah 12 tahun kerana ujian klinikal dalam kalangan mereka lagi masih sedang berjalan dan tiada lagi keputusan yang dibuat oleh pihak yang terbabit. Situasi ini merisaukan kebanyakan ibu bapa kerana kanak-kanak akan kembali ke alam persekolahan yang membolehkan mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Maka, amat penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mempunyai tahap kesihatan yang optimal. Ibu bapa berperanan untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat seperti memakan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, kerap bersenam, minum air yang mencukupi, mengawal tahap tekanan serta mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi.

Kesihatan penghadaman meningkatkan imuniti

Antara cara lain yang berpotensi meningkatkan sistem imuniti anda dan anak-anak anda adalah dengan menumpukan perhatian kepada sistem penghadaman anda. Ini kerana usus (termasuklah saluran gastrousus) merupakan organ pertahanan barisan hadapan badan kita yang dibantu oleh kumpulan mikroorganisma atau mikrobiota usus yang terdiri daripada bakteria, virus, yis, dan sebagainya untuk melawan dan mencegah sebarang jangkitan.

Mikrobiota usus mempunyai peranan yang besar dalam sistem imun kita. Pelbagai mekanisme yang boleh dimainkan oleh mikrobiota usus seperti membantu pengurangan protein/kimia yang bersifat inflamasi atau radang, memberi amaran kepada sel imun badan jika terdapat patogen yang boleh menyebabkan sebarang penyakit, serta bertindak balas dengan melawan patogen yang menyebabkan pelbagai penyakit. Adalah penting untuk anda mempunyai nisbah yang seimbang di antara mikrobiota yang baik dan yang tidak baik untuk memastikan sistem imuniti yang optimal.

Namun, adakalanya badan kita akan mengalami keadaan yang digelar ‘disbiosis’ iaitu ketika berlakunya ketidakseimbangan antara mikrobiota usus baik dan tidak baik. Ini akan melemahkan atau mengganggu fungsi normal sistem imuniti dan penghadaman kita, lalu menyebabkan pelbagai gejala seperti cirit-birit, muntah, sakit perut berlaku. Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan disbiosis termasuklah:

  • Pengambilan makanan yang tidak sihat: Pengambilan makanan rendah serat yang kerap, berlebihan karbohidrat, makanan yang diproses, makanan bergula dan sayuran berkanji (seperti ubi kentang), serta perubahan diet yang mendadak. Punca lain termasuklah pemanis tiruan dan produk makanan yang mengandungi banyak bahan tambahan (cth: pengawet, pewarna makanan, dll.).
  • Tahap kebersihan gigi yang teruk: Kebersihan mulut yang tidak dijaga boleh menyebabkan masalah seperti karies atau penyakit gusi.
  • Ubat-ubatan tertentu: Pengambilan antibiotik yang berpanjangan tanpa indikasi klinikal berupaya membunuh mikrobiota usus sama ada yang baik atau tidak baik. Pengambilan antibiotik mestilah dibuat oleh doktor yang sesuai dengan indikasi klinikal untuk merawat sebarang jangkitan bakteria sahaja. Ubatan lain yang diambil secara berpanjangan berpotensi untuk mempengaruhi ketidakseimbangan mikrobiota usus, termasuklah ubat perencat asid, ubat tahan sakit dan steroid.
  • Tekanan atau stres yang berpanjangan: Tekanan atau stres yang berpanjangan boleh menyebabkan pengeluaran sesetengah hormon yang menjejaskan mikrobiota usus yang baik dalam usus, lalu berlakunya disbiosis. Sesetengah hormon juga berupaya mengganggu sistem imuniti dan boleh menyebabkan berlakunya keradangan dalam badan kita. Amat penting untuk kita mencari jalan untuk menyelesaikan atau mengurangkan tekanan atau stres semasa pandemik ini. Tekanan juga boleh mempengaruhi kesihatan kanak-kanak, dan amat penting untuk mereka mendapat masa yang cukup untuk bersenam, bermain serta rehat/tidur.

Malah, kita boleh mengurangkan atau mencegah disbiosis dengan memakan makanan yang kaya dengan probiotik seperti minuman susu kultur, yogurt dan makanan tertapai (cth: keju, tempe, kimchi, dll.) dalam diet harian kita. Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang mampu memberi manfaat kepada kesihatan badan kita.

Terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa probiotik boleh memberi manfaat kepada tahap kesihatan seseorang. Satu kajian tempatan oleh penyelidik di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada tahun 2018 mendapati penyambilan probiotik dalam bentuk minuman susu kultur (dengan strain Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus casei) berupaya memberikan peningkatan pada kesihatan penghadaman dan menunjukkan pengaruh positif pada sistem imun kita.

Fokus kepada pencegahan

Probiotik berpotensi untuk membantu meningkatkan sistem imuniti kanak-kanak. Ini satu perkara yang penting dan berguna kepada kanak-kanak untuk memastikan mereka mempunyai daya tahan serta tahap kesihatan yang optimal dalam membendung sebarang jangkitan semasa pandemik COVID-19. Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang penting untuk memastikan anak-anak berada di tahap kesihatan yang baik.

Pada masa yang sama, ambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan anak anda mempunyai kesihatan penghadaman yang baik. Apabila sistem imun ditingkatkan, ini bukan saja mampu menurunkan risiko COVID-19, malah risiko penyakit-penyakit lain seperti batuk, selsema, dan sebagainya. Di kala pandemik ini, setiap cara perlindungan, pencegahan dan daya ketahanan adalah perlu dan amat berguna!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen