Pengasuhan Positif

Kesihatan Penghadaman & Imuniti

Apa itu sistem imun?

Sistem imun terdiri daripada pelbagai organ berbeza yang menyokong imuniti kita:

Kulit mencegah kuman daripada memasuki tubuh kita

Pelbagai organ dalaman (cth. sum-sum tulang, limpa, nodus limfa) menghasilkan sel/antibodi yang melawan patogen tertentu.

Sistem penghadaman membantu mempertahankan tubuh daripada kuman yang masuk ke salur gastrousus. Sistem penghadaman & sistem imun bekerjasama untuk memberi isyarat kepada sel imun. Usus juga merupakan organ imun terbesar dalam tubuh manusia. Mikrobiota usus, iaitu populasi mikrob dalam usus, menyumbang kepada imuniti dengan membentuk penghadang perlindungan dan memberi signal (berhubung) dengan sel imun.

Bakteria baik (mikrobiota usus) juga membantu tubuh menghadam makanan dan menyokong sistem imun. Antara kunci kesihatan penghadaman ialah:

Pengambilan diet seimbang dan tinggi nutrien (buah, sayur, bijirin penuh)

Makan makanan yang pelbagai kerana ini membekalkan vitamin, mineral dan serat pemakanan yang penting. Sesetengah sayuran juga mengandungi prebiotik (iaitu serat tidak boleh dihadam yang menjadi makanan bakteria baik). Ini menyumbang kepada kesihatan penghadaman yang optimum.

Bersenam & minum air

Ini membantu menambah baik kepelbagaian mikrobiota usus. Cuba senaman mudah seperti berjalan pantas di sekitar kawasan rumah, atau senaman dalam rumah seperti basikal senaman, yoga, tai chi dan senaman regangan ringkas. 

Minum air secukupnya untuk kekal terhidrat. Senaman dan hidrasi yang cukup membantu penghadaman makanan dan pergerakan usus yang sihat, serta mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus.

Menguruskan tekanan & tidur yang cukup

Tekanan dan kekurangan tidur boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan penghadaman dan kesejahteraan mental. Sebagai langkah pencegahan, uruskan tekanan secara berkesan dan dapatkan tidur secukupnya setiap hari.

Sertakan makanan kaya probiotik dalam diet

Ini termasuklah makanan seperti susu berkultur, yogurt yang mengandungi kultur probiotik hidup, dan makanan tertapai (cth. kimchi, sauerkraut, tempe). Kajian menunjukkan probiotik menyokong kesihatan penghadaman dan boleh mempertingkatkan sistem imun secara langsung dan tidak langsung.

Bagaimana probiotik boleh membantu:

  • Mencegah bakteria berbahaya dengan bersaing untuk nutrien.
  • Membentuk penghadang perlindungan yang mencegah bakteria berbahaya daripada memasuki tubuh.
  • Mengatur tindak balas imun tubuh terhadap jangkitan (cth. dengan menggalakkan penghasilan antibodi, memberi signal kepada sel imun).

 

Petua pengambilan probiotik:

  • Strain probiotik dalam produk atau makanan tambahan perlu terbukti secara klinikal dan disokong oleh kajian dan data bahawa ia selamat dan berkesan. Cth: Bifidobacterium lactis BB-12 dan Lactobacillus paracaseiCASEI 431.
  • Pilih produk tanpa/kurang gula.
  • Simpan produk probiotik dengan betul untuk mengoptimumkan keberkesanannya. Ini memaksimumkan kandungan strain hidup sebelum pengambilan. Sesetengah produk perlu disimpan dalam peti sejuk, dan ada juga yang tidak perlu disejukkan.
  • Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen