Pengasuhan Positif

Kenali Usus Anak Anda

Anda mungkin pernah terdengar istilah ‘kesihatan usus’ dan ‘kesihatan penghadaman’ – kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama dan merupakan komponen kesihatan keseluruhan yang penting.

Kesihatan penghadaman yang sihat bermaksud seluruh sistem penghadaman, termasuklah salur gastrousus, berfungsi dengan baik. Sistem penghadaman bukan hanya untuk menghadam dan memproses makanan, tetapi ianya penting untuk kesihatan kita yang menyeluruh!

Pembantu usus

Komuniti mikroorganisma yang pelbagai di dalam usus dipanggil mikrobiota. Kandungan bakteria baik boleh ditambah dengan mengambil probiotik, iaitu bakteria hidup untuk manfaat kesihatan. Mikrobiota usus yang sihat boleh menyokong sistem imun kita, oleh itu, penting untuk kita mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus yang sihat, iaitu lebih kurang 85% bakteria baik dan 15% bakteria tidak baik.

Sistem penghadaman

1. Sistem penghadaman anak anda terdiri daripada sekumpulan organ, bermula dengan mulut. Mengunyah membantu menghancurkan makanan secara fizikal dan mencampurkannya dengan air liur, yang mengandungi enzim yang membantu proses penghadaman.

2. Di dalam perut, makanan yang ditelan bercampur dengan jus gastrik dan enzim lain yang dihasilkan oleh perut, hati, pankreas dan pundi hempedu. Ini membantu menghancurkan lagi makanan.

3. Makanan kemudiannya memasuki usus kecil di mana air, protein, karbohidrat dan lemak diserap. Usus kecil dan besar yang mengandungi mikrobiota usus berperanan penting dalam menyokong penghadaman, serta mengawal sistem imun dan ‘berhubung’ dengan otak menerusi sistem saraf enterik (ENS). Saki-baki makanan kemudiannya memasuki usus besar, di mana lebih banyak air diserap oleh badan. Sesetengah mikroorganisma dalam mikrobiota usus boleh menghasilkan enzim tambahan untuk menguraikan nutrien yang berbaki seperti karbohidrat.

Sisa proses penghadaman, termasuklah ketulan makanan yang besar yang tidak dapat dihadam (kerana itulah mengunyah dengan betul sangat penting!), dikeluarkan dari badan sebagai najis.

Apakah Sistem Saraf Enterik?

Sistem saraf enterik (Enteric nervous system, ENS) ialah sekumpulan saraf atau neuron yang berhubung dengan seluruh sistem penghadaman dan saling bekerjasama untuk menghadam makanan dan menyerap nutrien yang kemudian diagihkan ke bahagian yang diperlukan dalam sistem peredaran darah. Semua nutrien yang diserap semasa proses penghadaman ini digunakan untuk membekalkan anak anda dengan tenaga dan bahan yang diperlukannya untuk tumbesaran dan pemulihan.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan otak boleh memberi kesan ke atas usus dan sebaliknya; contohnya, rasa tertekan boleh menyebabkan penghadaman yang lemah atau kekembungan, manakala, ketidakselesaan atau sakit perut yang kerap boleh meningkatkan rasa resah atau tekanan.

Mudahnya menjaga kesihatan penghadaman

Kesihatan penghadaman yang baik penting untuk mengelakkan kekurangan bekalan nutrien dan tenaga yang diperlukan  oleh  badan anak anda yang  sedang  membesar. Bagi meningkatkan kesihatan penghadamannya, kuatkan sistem imun dan kurangkan masalah penghadaman seperti sembelit dan cirit-birit. Gaya hidup sihat ialah kuncinya – anak anda harus makan makanan sihat dan berkhasiat serta dapatkan tidur yang cukup. Anda juga harus menggalakkan sekurang- kurangnya sejam aktiviti bermain secara fizikal dan memberikan air yang mencukupi untuk diminum setiap hari berdasarkan tahap aktiviti dan cuaca.

Mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus anak anda juga penting. Seimbangkan mikrobiota usus dengan memberikan anak anda makanan ditapai yang kaya dengan probiotik seperti kimchi, tempe, yogurt dan minuman susu berkultur.

Mengutamakan kesihatan penghadaman anak anda ialah langkah yang bijak. Ingat, sistem penghadaman yang sihat penting untuk penghadaman makanan yang berkesan, penyerapan nutrien yang cekap, kurangnya masalah sistem = penghadaman dan juga meningkatkan fungsi sistem imun.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen