Pengasuhan Positif

Alergi Protein Susu Lembu

Peringkat awal usia bayi sering kali merupakan masa yang mencemaskan bagi kebanyakan ibu bapa baharu. Biasanya, dalam tempoh ini juga kebanyakan alergi makanan berlaku, dan yang paling lazim ialah alergi protein susu lembu atau cows’ milk protein allergy (CMPA). Alergi makanan berlaku apabila sistem imun anak anda silap memberi tindak balas kepada beberapa jenis protein makanan seperti yang terdapat di dalam susu lembu, dan menyebabkan simptom-simptom lazim. Kebanyakan kanak-kanak dapat mengatasi alergi apabila mereka mencapai usia sekitar lima tahun.

Membezakan CMPA daripada Intolerans Laktosa

Intolerans laktosa dan CMPA sukar dibezakan kerana kedua-duanya mempunyai banyak tanda dan simptom yang sama seperti cirit-birit, kembung perut, dan sakit perut. Namun, CMPA berbeza daripada intolerans laktosa yang berlaku apabila sistem penghadaman tidak boleh menghadam laktosa dengan sempurna akibat kekurangan enzim laktase. Dengan intolerans laktosa, laktosa dalam susu kekal di dalam kolon dan menjadi bahan makanan kepada bakteria pula. Ini kemudiannya menyebabkan peningkatan asid dan gas dan boleh mengakibatkan pelbagai simptom berkait dengan intolerans laktosa.

Mengenali Tanda-tanda CMPA

Perlu diingatkan bahawa walaupun anak anda mungkin mengalami tindak balas serta-merta, adakalanya tindak balas tersebut timbul lewat sedikit. Tindak balas serta-merta lebih lazim terjadi semasa pemberian makanan pelengkap manakala tindak balas lewat adalah lebih sukar untuk dikenali. Tanda-tanda dan simptom lazimnya termasuk menangis berlebihan dan kesukaran tidur. Penambahan berat badan dan pertumbuhan yang lembab sering terjadi akibat diagnosis yang lambat.

Tanda-tanda dan simptom yang perlu anda perhatikan termasuk:

tanda-tanda-alahan-protein-lembu

Walau bagaimanapun, terdapat kes-kes yang jarang berlaku di mana terjadinya tindak balas yang lebih teruk, termasuk kesukaran bernafas atau anak anda secara tiba-tiba rebah atau kelihatan seolah-olah tidak dapat mengawal/koordinasi kaki dan tangannya. Jika ini berlaku, jangan berlengah lagi dan terus ke hospital terdekat.

Awasi Tanda-tanda

Sukar untuk mengenal pasti jika simptom-simptom yang disebut adalah disebabkan oleh alergi protein susu lembu, terutama apabila terdapat masalah lain yang boleh menunjukkan tanda-tanda atau simptom yang sama. Dapatkan bantuan pakar kanak-kanak untuk membuat diagnosis yang sempurna; jika perlu, dia akan merujuk anda kepada pakar alergi kanak-kanak.

Berikut adalah beberapa maklumat penting yang anda harus dapatkan terlebih dahulu kerana ia boleh membantu apabila anda berjumpa dengan pakar kanak-kanak. Soalan-soalannya ialah:

  • Tahukah anda apa yang mencetuskan simptomsimptom?
  • Bilakah simptom tersebut bermula?
  • Berapa cepatnya simptom bermula dan berapa lamakah simptom tersebut bertahan?
  • Berapa kerapkah simptom tersebut berlaku?
  • Setiap kali berlaku, adakah terdapat tanda-tanda atau simptom yang sama ?
  • Adakah dia mengalami masalah alergi lain, contohnya ekzema atau asma?
  • Adakah anda atau pasangan atau anak-anak lain mengalami alergi?

Dalam kebanyakan kes, penyimpanan diari makanan untuk anak anda atau diri anda adalah berguna jika anda menyusukan bayi secara eksklusif. Sekiranya anda mempunyai banyak soalan untuk ditanya kepada pakar kanak-kanak anak anda, tuliskan semua soalan anda sebelum berjumpanya dan jangan lupa untuk membawa bersama diari makanan.

Dapatkan Nasihat Pakar

Selepas menentukan sama ada anak anda menghidapi CMPA atau tidak, pakar kanak-kanak boleh memberi anda nasihat tentang bagaimana untuk menguruskan keadaannya. Walaupun prinsip utama pengurusan CMPA lazimnya adalah untuk menghindarkan daripada makan makanan yang mengandungi protein susu lembu dalam diet anak anda, langkah ini harus dilakukan dengan bimbingan seorang pakar kanak-kanak. Anda juga mungkin memerlukan mendapat nasihat pakar pemakanan tentang makanan gantian yang tidak mengandungi protein susu lembu.

Dengan bekerja rapat bersama kumpulan penjagaan kesihatan anak anda, anda dapat merangka satu pelan pengurusan untuk mengendali apa-apa masalah berkaitaan CMPA yang mungkin berlaku. Pemantauan berkala juga disarankan kerana ini akan membantu memastikan anak anda sihat dan membesar dengan baik.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen