Pengasuhan Positif

Bahaya Dehidrasi dalam Kalangan Kanak-kanak

Dehidrasi berlaku apabila tubuh seseorang kekurangan cecair.

Ia adalah suatu keadaan yang berpotensi membawa bahaya, terutama bagi bayi dan kanak-kanak kecil. Sebagai ibu bapa, anda harus lebih berhati-hati dalam memastikan bahawa anak anda tidak mengalami dehidrasi.

Bahaya Dehidrasi

Sebagai ibu bapa, anda mesti sedar bahawa dehidrasi yang teruk boleh membawa maut. Ini disebabkan oleh kekurangan air dan elektrolit yang banyak secara tiba-tiba daripada tubuh anak anda. Disebabkan saiz tubuh mereka yang kecil, bayi dan kanak-kanak kecil sangat rentan terhadap sebarang kehilangan air dan eletrolit secara mendadak.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, WHO) menunjukkan bahawa dehidrasi (terutamanya akibat cirit birit) merupakan salah satu penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak iaitu sekitar 2.2 juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Apakah Penyebab Dehidrasi

Penyebab paling lazim termasuk:

  • Muntah-muntah
  • Cirit birit
  • Demam
  • Penyakit (kemungkinan jangkitan viral akibat kurang upaya untuk mengambil air atau makanan)
  • Terdedah kepada persekitaran panas bagi tempoh yang lama

Pelbagai jenis jangkitan bakteria dan virus yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku, contohnya rotavirus, adenovirus, Salmonella, atau Escherichia coli, dan menyebabkan kesan yang sama. Terdapat juga kes jangkitan parasit (contohnya giardiasis, disebabkan oleh Giardia lamblia) yang mengakibatkan cirit birit dan seterusnya dehidrasi. Namun, anda hendaklah sentiasa berhati-hati dan bertindak segera jika anak anda menunjukkan simptom dehidrasi.

Bila anda harus bimbang

Sebagai ibu bapa, anda harus sentiasa mengambil berat tentang keadaan fizikal anak anda, terutama apabila dia sedang mengalami salah satu daripada keadaan yang disebutkan di atas (contohnya, muntah-muntah atau cirit birit). Dehidrasi mungkin terjadi sekiranya anak anda menunjukkan salah satu tanda-tanda berikut:

  • bernafas dengan cepat
  • kadar degupan jantung meningkat
  • keresahan dan/atau kerengsaan
  • lesu/lemah
  • kulit kurang tegang (lipatan kulit yang dicubit di abdomen lambat kembali normal)

dehidrasi-bila-anda-harus-bimbang

Apa Anda Harus Lakukan

Jika anak anda mengalami dehidrasi ringan hingga sederhana, anda perlu pastikan dia dihidrasikan secepat mungkin. Anda boleh dapatkan larutan rehidrasi oral (Oral Rehydration Salt, ORS) daripada mana-mana farmasi, dan ORS hendaklah digunakan untuk menghidrasi kerana ia mengandungi kombinasi natrium dan glukosa yang betul untuk membantu usus menyerap apa yang diperlukan oleh tubuh. Anak anda juga harus diberi susu dan bubur seperti biasa jika berusia lebih dari enam bulan.

Jika anak anda mengalami dehidrasi, anda harus memastikan dia mengambil lebih banyak cecair untuk mengantikan cecair yang hilang.

Sukatan ORS dan/atau susu untuk diberi kepada anak anda dalam tempoh 4-6 jam pertama selepas terjadinya tanda-tanda dehidrasi:

sukatan-susu-bila-dehidrasi

Bagi kanak-kanak di bawah usia satu tahun, anda boleh berikan ORS sama ada menggunakan picagari oral atau sudu teh. Kanak-kanak lebih besar (melebihi satu tahun) boleh diberi ORS menggunakan cawan – biarkan sahaja dia menghirupnya dengan kerap sehingga habis.

Sekiranya pada ketika itu anak anda muntah, tunggu sekitar 10 minit sebelum anda teruskan menghidrasinya – kali ini berikan dia ORS dengan lebih perlahan-lahan (contohnya, satu sudu teh atau hirup setiap 2 minit berbanding setiap minit). Berikan dalam jumlah yang sedikit tapi kerap untuk memastikan dehidrasi dapat diperbetulkan. Cecair intravena mungkin diperlukan di hospital jika rehidrasi secara oral gagal.

Tanda-tanda bahaya

Sekiranya anak anda menunjukkan kombinasi mana-mana satu yang berikut, sila dapatkan penjagaan perubatan dengan serta merta:

  • Mata cengkung
  • Ketegangan kulit semakin kurang (lipatan kulit yang dicubit sangat lambat kembali normal)
  • Muntah-muntah – sama ada muntahnya berwarna kehijau-hijauan atau dia muntah beberapa kali dalam tempoh 24 jam
  • Demam panas – melebihi 39.4°C
  • Lapisan mulut/lidah diselaputi dengan membran mukus kering atau melekit
  • Dia sangat lesu dan kurang aktif daripada normal (terutamanya jika dia sukar bangun tidur atau tidak sedarkan diri beberapa kali)
  • Bayi – sangat resah (kerap menangis tanpa sebab dan/atau terlalu meragam sehingga tidak boleh ditenangkan)

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen