Tidak kira sama ada ini kali pertama anda bergelar ibubapa atau tidak, mempunyai seorang bayi bermakna anda tidak akan cukup tidur dan akan sentiasa bimbang. Walaupun pengalaman penjagaan kesihatan dan keselamatan si kecil anda lama kelamaan menjadi lebih mudah, tidak salah jika anda lebih berhati-hati. Luangkan masa untuk membaca tip-tip berikut; anda mungkin mempelajari sesuatu yang baru.
Jaga anak anda dengan berhati-hati
Bayi baru lahir adalah lemah dan jika anda tidak biasa menjaga bayi baru lahir, anda mungkin rasa bimbang atau tidak selesa. Walau bagaimanapun, tiada apa yang perlu dibimbangkan selagi anda mengamalkan beberapa langkah berjaga-jaga yang mudah. Perkara paling penting yang perlu anda ingat ialah:
- Sistem imun bayi baru lahir belum matang, bermakna mereka mudah mendapat jangkitan. Cuci tangan menggunakan sabun dan air atau sanitasi tangan sebelum menyentuh bayi anda. Pastikan orang lain juga mengambil langkah yang sama.
- Bayi baru lahir juga mudah mendapat kecederaan otak jika digoncang terlalu kuat. Ini bermakna anda perlu berhati-hati dan elak daripada menggoncang mereka, tidak kira sama ada untuk berseronok atau disebabkan kekecewaan. Menggoncang terlalu kuat akan menyebabkan pendarahan di dalam otak atau kematian – jangan terlalu kasar.
- Otot leher bayi baru lahir belum cukup kuat untuk menyokong kepala mereka, oleh itu, sentiasa sokong leher dan kepala bayi baru lahir setiap kali anda mengangkatnya. Anda perlu menyokong kepalanya apabila mendukung, menegakkan atau ketika meletakkannya ke atas tilam.
- Jauhkan bayi daripada saudara mara atau kawan-kawan yang sakit. Sistem imun bayi anda masih belum berupaya untuk menangani jangkitan serius.
- Sentiasa awasi persekitaran bayi anda untuk memastikan tiada apa yang boleh membahayakannya. Terdapat pelbagai jenis keadaan merbahaya yang boleh berlaku contohnya bahaya terjatuh (contohnya apabila menukar lampin di atas meja yang tinggi, tangga harus mempunyai pagar keselamatan, dll), bahaya tercekik (contohnya beg plastik atau objek kecil hendaklah dijauhkan dari kanak-kanak, dll), bahaya elektrik (contohya menutup semua punca elektrik, kabel dalam keadaan baik, dll), bahaya fizikal(contohnya perabut yang mempunyai sudut/bucu tajam hendaklah ditutup, balkoni dan tingkap rendah hendaklah sentiasa ditutup dan dikunci, dll).
Keselamatan harian
Bagi mengurangkan kemungkinan bayi tercedera, pastikan anda mengambil langkah-langkah tambahan. Jangan menganggap bahawa dia akan selamat jika ditinggalkan bersendirian – jangan lupa bahawa anak anda masih kecil dan tidak boleh menjaga dirinya sendiri! Keselamatannya bergantung sepenuhnya kepada anda, oleh itu pastikan anda mengambil berat dan ketahui apa yang anda boleh lakukan untuk memastikan keselamatannya terjaga. Beberapa perkara penting yang anda perlu fikirkan ialah:
- Apabila anda mandikan bayi, sentiasa pastikan bahawa kawasan sekeliling adalah pada suhu yang sederhana dan selesa untuk mengelakkan kesejukan. Air mandian haruslah cukup panas dan tidak terlalu sejuk, dan tidak kira apa alasannya, jangan sekali-kali tinggalkan bayi anda di dalam besin mandi tanpa pengawasan. Jika anda terpaksa meninggalkan bilik mandi atas sebab-sebab tertentu, balut bayi dengan tuala dan bawanya bersama anda.
- Jika anda mengambil keputusan untuk mengkhatankan bayi anda, pastikan anda kerap memeriksa bahagian yang dikhatan. Berjumpa dengan pakar pediatrik dengan serta merta jika luka tidak pulih dengan sempurna.
- Jaga tunggul tali pusat bayi dengan baik dengan memastikan ia sentiasa bersih dan kering. Ini bermakna anda harus elak daripada merendam tunggul di dalam air sehingga tertanggal. Salah satu cara untuk memastikan ianya bersih adalah dengan menggunakan alkohol untuk mengesat kawasan tersebut. Lama kelamaan, warna tunggul tali pusat bayi anda akan berubah – dari kuning ke perang atau hitam. Jangan bimbang kerana ia adalah normal, tetapi dapatkan nasihat pakar pediatrik jika kawasan tersebut menjadi merah atau berbau busuk.
- Sekiranya anda pernah mendengar mengenai sindrom bayi mati mengejut (Sudden Infant Death Syndrome, SIDS), maka tentu anda tahu kepentingan bayi tidur telentang. Berhati-hati agar tiada barang-barang seperti alas katil gebu, selimut, ambal kulit biri-biri, anak patung, bantal, dan lain-lain ditinggalkan di dalam katil bayi kerana ia boleh menyebabkan bayi lemas. Pastikan anda menukar kedudukan kepala bayi dari masa ke semasa setiap malam untuk mencegah terjadinya kesan leper sebelah pada kepalanya.
Melihat dunia luar
Memang mustahil untuk anda ‘mengkuarantin’ bayi anda di rumah! Bawalah dia keluar untuk melihat dunia – ia baik untuk anda berdua. Namun, pastikan bayi sentiasa diletakkan dengan selamat di dalam kereta sorong/pembawa bayi/kereta tolak. Ingatlah, ini bukan perlumbaan. Cuba elakkan jalan yang kasar atau beralun (contohnya menolak kerusi tolak melalui kaki lima yang kasar boleh menyebabkan kerusi bergoncang).
Satu lagi aspek keselamatan yang tidak harus diabaikan ialah penggunaan kerusi keselamatan kereta yang sesuai untuk bayi anda. Jangan membawa bayi anda keluar tanpa menggunakan kerusi keselamatan anak-kanak yang sesuai bagi umurnya dan pastikan ia digunakan dengan betul.
Akhir sekali, sebelum anda membawa si kecil anda keluar berjalan, beri perhatian kepada perkara berikut:
- Adakah cuaca terlalu sejuk atau panas? Pastikan dia memakai pakaian yang sesuai. Bawa kipas angin mudah alih jika anda ke tempat yang panas dan jangan bawa dia keluar terlalu lama di bawah matahari terik. Jika anda ke tempat yang sejuk, pastikan bayi memakai pakaian yang selesa dan sesuai.
- Sentiasa bersedia! Pastikan anda membawa beg yang mengandungi semua keperluan bayi, contohnya lampin, pakaian tambahan, tisu basah, botol susu jika tidak menyusu susu ibu, dll.
- Adakah dia sihat? Jangan bawa dia keluar berjalan jika dia tidak sihat kerana anda mungkin memudaratkan keadaannya.
Kulit bayi
Kulit bayi baru lahir lazimnya berkedut dan diselaputi dengan selaput perlindungan yang akan mengelupas sendiri dalam tempoh satu minggu selepas kelahiran. Anda tidak perlu tergesa-gesa megupasnya dengan menggosok atau merawatnya menggunakan losyen, krim atau ubat-ubatan.
Pada peringkat awal, elak daripada menggunakan produk-produk bayi memandangkan sistem imunnya masih berkembang. Pastikan sabun pencuci pakaian adalah mesra bayi – tidak mengandungi bahan pewangi dan pewarna. Sentiasa pastikan baju, alas tilam dan selimut bayi dicuci berasingan. Langkah-langkah berjaga-jaga ini adalah penting terutama jika keluarga anda mempunyai sejarah masalah kulit, alahan, atau asma – melindungi sistem imun bayi anda di peringkat awal juga melindunginya daripada alergen-alergen.
Ingatlah bahawa kulit bayi baru lahir adalah lembut dan sensitif, maka pastikan ianya sentiasa lembab dengan memandikan bayi anda dengan air suam tidak lebih daripada 5 minit. Jika mahu, anda boleh sapukan sedikit losyen bayi atau pelembab sejurus selepas mandi ketika kulitnya masih lembab.
Masalah kulit yang mungkin timbul
Salah satu masalah kulit yang biasa dialami ialah ruam lampin. Ruam lampin biasanya kelihatan seperti kulit merah di sekeliling kawasan lampin bayi anda, lazimnya akibat iritasi kulit terhadap lampin. Ruam lampin mungkin disebabkan lampin yang:
- terlalu kecil atau ketat
- dipakai terlalu lama
Anda boleh mengurangkan masalah dengan membolehkan kawasan lampinnya ‘bernafas’ (biarkan kawasan lampin terdedah pada angin seberapa lama yang boleh). Anda juga harus pastikan lampinnya ditukar secepat mungkin – elakkan daripada membiarkan bayi anda memakai lampin basah terlalu lama.
Masalah-masalah kulit lain yang mungkin dihadapai oleh bayi anda termasuklah dermatitis atopik atau ekzema, dermatitis seborea atau keruping buaian, milia (bintik-bintik putih pada bahagian atas kulit), jangkitan yis (pada lidah dan mulut, atau kawasan lampinnya), jaundis, dan selaran matahari.
Perlindungan daripada penyakit berbahaya
Sentiasa pastikan bahawa bayi anda mendapat semua vaksin yang diwajibkan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (National Immunisation Plan, NIP). Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan NIP sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencegah penyakit utama dikalangan kanak-kanak (seperti tuberkulosis, difteria, pertusis, tetanus, campak dan sindrom rubella kongenital). Vaksin-vaksin tersebut diberi oleh kerajaan secara percuma untuk kanak-kanak pada peringkat umur yang berlainan.
Namun, terdapat vaksin lain yang disarankan di Malaysia yang tidak diwajibkan dan bukan sebahagian daripada NIP. Vaksin-vaksin yang disarankan ini telah terbukti sangat berkesan dalam mencegah komplikasi berbahaya yang mungkin terjadi akibat daripada jangkitan yang disebabkan oleh bakteria pneumokokus, Neisseria meningitidis, dan rotavirus.
Vaksin adalah selamat
Vaksin-vaksin telah melalui ujian keselamatan yang rapi dan menyeluruh oleh US Food and Drug Administration (FDA) sebelum diluluskan dan proses ini mengambil masa bertahun-tahun. Ini memastikan bahawa vaksin yang diberi lesen adalah selamat digunakan. Malah, apabila sesuatu vaksin digunakan, US Centers for Disease Control (CDC) dan FDA akan terus memantau sebarang kesan yang tidak diingini melalui Sistem Laporan Kesan Buruk Vaksin atau Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). Jika sesuatu kesan buruk dikesan, siasatan lanjut akan dijalankan. Bergantung kepada keadaan, tindakan yang diambil termasuk amaran tambahan dicetak pada label/bungkusan vaksin atau lesen vaksin ditarik balik.
Walau bagaimanapun, seperti ubat-ubatan lain, vaksin juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Selalunya, kesankesan tersebut tidak serius (seperti kesakitan di bahagian yang disuntik, keresahan, atau demam yang tidak teruk) dan lazimnya hanya untuk beberapa hari. Kini, semakin jarang berlakunya tindak balas teruk terhadap vaksin.
Sekiranya anda pernah dengar bahawa vaksin menyebabkan autisme, anda tidak perlu bimbang kerana ia hanyalah satu mitos yang tidak berasas. Kaitan antara autisme dan vaksinasi adalah hasil daripada satu kajian di Britain yang salah. Walau bagaimanapun, kajian oleh Dr Andrew Wakefield ini telah ditarik balik oleh jurnal yang menerbitkannya dan 10 daripada 12 penulis terbitan tersebut telah menarik diri daripada dikaitkan dengan kajian tersebut. Artikel beliau telah menyebabkan penurunan kadar vaksinasi yang mendadak bagi mumps/beguk, campak dan rubella (MMR) di United Kingdom, sehingga mengakibatkan peningkatan kejadian demam campak sekaligus banyak kematian direkodkan pada tahun-tahun berikutnya. Hasil pemantauan di banyak negara juga tidak menjumpai sebarang kaitan antara vaksinasi MMR dan peningkatan autisme di kalangan kanak-kanak.
Manfaat vaksinasi adalah amat penting. Ia bukan sahaja terbukti sebagai satu kaedah mengawal (malah juga membasmi) penyakit, ia juga kaedah paling berjaya dan kos efektif untuk mengawal penyakit. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat! Tambahan pula, vaksinasi membantu meminimumkan atau menghapuskan trauma mental/fizikal akibat penderitaan yang disebabkan oleh penyakit berjangkit. Tiada ragu-ragu lagi bahawa kaedah paling berkesan untuk melindungi semua orang, dari bayi, kanak-kanak, wanita hamil, pesakit kanser dan juga mereka yang lemah daya tahanan diri, ialah melalui kesan kelompok.
Tahukah anda?
Kesan kelompok merupakan satu bentuk imuniti yang berlaku apabila vaksinasi terhadap sebahagian besar populasi memberi perlindungan secukupnya kepada individu yang belum mendapat vaksinasi atau imuniti.
Tanda-tanda amaran
Kini setelah anda ketahui tentang perkara-perkara asas untuk memastikan bayi anda selamat, anda juga harus lebih peka terhadap beberapa tanda yang tidak boleh diabaikan. Tanda-tanda tersebut boleh menyedarkan anda tentang kemungkinan si kecil anda menghidap penyakit serius. Tanda-tanda berikut memerlukan penilaian profesional dan rawatan oleh pakar pediatrik bayi anda:
- Demam dengan suhu melebihi 38°C
- Ruam yang tidak diketahui sebabnya, terutama jika dia juga mengalami demam
- Cirit birit melebihi 12 jam
- Muntah-muntah yang berulang atau muntah-muntah lebih daripada 12 jam
- Darah di dalam najis atau muntah
- Bahan asing terlekat pada hidung, telinga, atau mana-mana ronga di tubuh
- Tangisan yang berterusan, atau bayi merengek atau merintih
- Enggan makan atau selera makan berkurangan secara drastik
- Ubun-ubunnya (bahagian lembut di atas kepala) tenggelam, terutama jika bibirnya juga kering, jarang kencing, menangis tanpa keluar air mata, atau air kencingnya berwarna kuning gelap – ini menandakan dia mungkin mengalami dehidrasi
- Perubahan mood secara tiba-tiba, iaitu dia merengsa dan meragam
- Matanya berwarna merah jambu, berair, atau ‘melekit’, menunjukkan kemungkinan dia mengalami jangkitan mata
- Discaj daripada telinga, mata, pusat, atau kemaluan yang tidak diketahui sebabnya
Komen