Pengasuhan Positif

Menangani Sakit Tekak Anak Anda

Sakit tekak dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah lazim yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Anda perlu tahu bagaimana untuk menangani penyakit ini kerana ia menyerang tanpa mengira umur.

Perlu diingatkan bahawa sakit tekak lazimnya adalah tanda awal bagi penyakit lain seperti selesema atau jangkitan saluran pernafasan akut. Sakit tekak lazimnya disebabkan oleh virus, seperti rhinovirus ketika selesema. Sakit tekak juga boleh disebabkan oleh bakteria, contohnya jangkitan tekak oleh kumpulan bakteria Streptokokus A (strep throat). Penyebab lain termasuk alahan, iritasi akibat merokok, pencemaran dan udara yang kering. Tidak kira apa penyebabnya, anda perlu awasi tanda dan simptom anak anda, termasuk:

  • Bayi yang enggan makan atau menangis ketika menyusu.
  • Demam yang tidak diketahui sebabnya.
  • Bersin, hidung berhingus dan batuk.
  • Kelenjar di lehernya bengkak.
  • Tekak atau bahagian belakang dalam mulutnya merah (akibat inflamasi).
  • Nafas berbau.
  • Kanak-kanak mengadu
  • A child that complains of
    • tekak sakit
    • tekak gatal
    • sukar bercakap, makan, atau menelan

sakit-tekak

Apa yang anda perlu lakukan

Pertama sekali anda perlu menentukan tahap keterukan penyakit anak anda. Jika penyakitnya ringan, anda boleh cuba perkara berikut untuk membantu mengurangkan kesakitannya:

  • Jika anak anda berusia lebih daripada enam bulan, anda boleh beri dia minum minuman sejuk atau menghisap ais krim batang. Elak daripada memberi sebarang jus sitrus kerana ia boleh menyebabkan sakit tekaknya menjadi lebih teruk.
  • Pastikan dia cukup hidrasi – walaupun sakit untuk menelan air, anak anda perlukan banyak cecair, terutamanya jika demam. Jika bayi anda sukar untuk menelan, cuba ubahkan penyusuannya dengan memberi sukatan yang lebih sedikit tetapi lebih kerap.
  • Guna alat pengewap atau pelembap udara untuk melembapkan udara di dalam bilik anak anda. Ini akan mencegah tekaknya menjadi kering ketika tidur. Namun, anda perlu pastikan bahawa penapis di dalam alat tersebut sentiasa bersih untuk mencegah pembiakan kuman.
  • Bagi anak yang lebih besar, biar dia berkumur dengan air garam kerana ia akan membantu mengurangkan sakit tekaknya. Selain itu, dia boleh menghisap lozenges untuk membantu melegakan tekak dan mengebaskan kesakitan buat sementara waktu.

sore-throat-what-you-should-do

Walau bagaimanapun, bawalah dia berjumpa seorang doktor atau pakar pediatrik dengan serta merta jika keadaan menjadi semakin teruk atau tidak bertambah baik. Tanda-tanda dan simptom lain yang memerlukan dia dibawa berjumpa doktor ialah:

  • Dia sukar menelan atau bernafas
  • Sakit tekaknya melebihi satu minggu
  • Air liur yang berlebihan
  • Bahagian belakang tekaknya diselaputi nanah
  • Terdapat darah di dalam air liur atau kahak
  • Dia mengalami dehidrasi, contohnya, mulut kering, lebih mengantuk atau penat, kurang membuang air kecil, dan kelesuan.

Antibiotik hanya diperlukan jika doktor membuat diagnosis bahawa disebabkan oleh bakteria, seperti strep throat. Antibiotik tidak memberi manfaat kepada sakit tekak yang disebabkan oleh virus atau iritasi udara. Kebanyakan sakit tekak akan pulih sendiri dalam masa 1-2 minggu.

Ambil tindakan pencegahan

Berikut adalah beberapa tabiat kebersihan diri yang harus diajar kepada anak anda:

  • Membasuh tangan dengan kerap – membantu mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Pastikan anda juga kerap mencuci tangan!
  • Tidak berkongsi makanan, peralatan, dan cawan/gelas dengan kanak-kanak/orang dewasa lain, lebih-lebih lagi jika seseorang itu sakit atau sedang menghidap sakit tekak.
  • Elakkan anak anda daripada menyentuh atau berada berdekatan dengan mereka yang menghidap selesema atau penyakit saluran pernafasan akut lain.
  • Elak daripada terdedah kepada asap.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen