Pengasuhan Positif

Menangani Sembelit Kanak-kanak

Hampir semua orang pernah mengalami sembelit dan ianya turut merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh kanak-kanak. Menurut Akademi Pediatrik Amerika Syarikat, sembelit didefinasikan sebagai kelewatan atau kesukaran membuang air besar yang berlarutan selama dua minggu atau lebih, dan menyebabkan ketidakselesaan yang ketara kepada seorang kanak-kanak.

Lazimnya, seorang kanak-kanak dikatakan mengalami sembelit sekiranya kekerapan membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu (atau kurang daripada biasa). Selain itu, mereka mungkin menunjukkan kombinasi simptom-simptom lain seperti:

  • Najis keras, kering dan kecil
  • Sakit perut dan kembung
  • Berdarah semasa membuang air besar
  • Kesakitan dan kesukaran semasa meneran
  • Tercirit

Sembelit anak anda mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor, iaitu:

  • Menahan najis kerana:-
    • tertekan dengan latihan menggunakan bekas najis
    • keengganan menggunakan tandas yang tidak biasa
    • takut dengan pengalaman pahit yang pernah dialami ketika menggunakan bilik air
    • saiz mangkuk tandas yang tidak sesuai – kedua-dua belah kaki terjuntai dan berasa seperti akan jatuh ke dalam lubang tandas. Ini menyebabkan sfinkter anus tidak rehat sepenuhnya bagi membenarkan pembuangan najis yang sempurna.
  • Diet yang kurang serat atau tidak cukup air (atau kedua-duanya).
  • Kurang aktiviti fizikal.
  • Kesan sampingan sesetengah ubat (contohnya, suplemen zat besi dalam dos yang tinggi atau ubat tahan sakit berasaskan narkotik).

Tercirit

Pakar kesihatan tidak menganggap tercirit (pada seluar dalam atau seluar) sebagai satu masalah perubatan melainkan kanak-kanak tersebut berusia sekurang-kurangnya 4 tahun. Tercirit adalah di luar kawalan kanak-kanak dan tidak dilakukan dengan sengaja.

Sembelit Dalam Kalangan Bayi

Bayi normal yang masih menyusu mungkin akan membuang air besar hanya sekali dalam seminggu. Bagi sesetengah bayi lain pula, mereka mungkin mempunyai usus yang lambat bergerak, oleh yang demikian, mereka tidak mengosongkan usus dengan begitu kerap. Najis yang keras sekali sekala adalah biasa dan ini tidak semestinya bermakna anak anda mengidapi sembelit.

child-drinking

Jika anak anda mengalami sembelit, strategi-strategi berikut boleh membantu:

  • Sediakan banyak sayur dan buah segar (seperti prun, aprikot, dan pir), bijirin tinggi serat, roti penuh gandum, dan pelbagai jenis kekacang. Makanan yang mengandungi probiotik, seperti yogurt juga boleh merangsang kesihatan penghadaman. Asid lemak omega-3 juga terkenal sebagai sumber perangsang usus yang sihat (cth. sardin, kacang walnut, dan kacang soya).
  • Galakkan aktiviti fizikal seperti melakukan sekurangkurangnya 60 minit senaman berintensiti sederhana sehari (contohnya berjalan pantas, berlari, atau berbasikal). Untuk bayi, mereka boleh mendapatkan lebih senaman dengan memberikan lebih masa untuk berbaring secara meniarap (“tummy time”) atau anda boleh membantu melakukan urutan lembut pada perut mereka. Aktiviti fizikal akan membantu pergerakan usus.
  • Beri kanak-kanak berusia 2 hingga 3 tahun 1 atau 2 gelas air kosong sehari. Bagi yang berusia 4 hingga 18 tahun pula, 6 hingga 8 gelas sehari.

child-exercise

Anda harus mendapatkan nasihat pakar pediatrik jika sembelit anak anda berlarutan.

  • Pakar pediatrik boleh menyarankan ubat yang sesuai untuk mengurangkan simptom anak anda memandangkan terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat sembelit dengan berkesan (contohnya, pelawas, perangsang dan pelincir najis). Dengan pengawasan yang sempurna, ubat-ubatan tersebut selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak.
  • Latihan membuang air besar merupakan satu komponen rawatan yang penting. Ambil kesempatan terhadap “refleks gastro kolik” yang terjadi secara fisiologi pada setiap manusia. Ia adalah satu refleks semulajadi badan untuk membuang air besar selepas mengambil hidangan utama. Galakkan anak anda duduk di atas mangkuk tandas yang mempunyai saiz yang sesuai baginya atau gunakan tempat duduk tandas kanak-kanak setiap kali selepas makan. Matlamat strategi ini adalah untuk menggalakkan tabiat membuang air besar secara tetap. Pada mulanya mereka mungkin sedikit keberatan tetapi dengan strategi mengalihkan perhatian dan pemberian ganjaran (contohnya, menggunakan “carta bintang”), ia berkesan bagi kebanyakan kanak-kanak.

Berkayuh sambil bertimba

Diet yang sihat dan seimbang bukan sahaja membantu mempertingkatkan kesihatan penghadaman, ia juga membantu membekalkan nutrisi yang optimum, mengekalkan berat badan dan meningkatkan kesihatan keseluruhan anak anda. Malah, ia juga membantu mencegah permulaan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, obesiti, dan kegagalan buah pinggang.

Masalah sembelit yang kronik boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius (contohnya, penyakit Shortsegment Hisrchprung, hipotiroidisme, hiperkalsemia dan Colonic dysmotility), tetapi ianya jarang berlaku.

Harus diingatkan bahawa, bayi dan kanak-kanak kecil selalunya tidak boleh menerangkan apa yang mereka rasa. Oleh itu, tidak kira apa pun simptom yang dialami oleh mereka, sila hubungi doktor anda dengan segera sekira ianya merisaukan anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen