Pemberian makanan pelengkap ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pemberian makanan lain sebagai tambahan kepada susu ibu. Contoh makanan lain yang dikatakan makanan pelengkap ini termasuk bijirin, puri buah atau bubur sayuran.
Mengapa perlu makanan pelengkap?
Makanan pelengkap penting atas sebab pemakanan dan tumbesaran. Dari segi pemakanan, susu ibu sahaja tidak lagi dapat menampung keperluan pemakanan si manja mulai usia kira-kira 6 bulan. Dari segi tumbesaran, bayi telah membina keupayaan untuk mengunyah dan mula menunjukkan minat terhadap makanan selain daripada susu sematamata. Justeru, adalah penting untuk memberikan makanan pelengkap kerana usia ini merupakan masa yang paling sesuai untuk menyemaikan tabiat makan yang baik.
Bilakah pemberian makanan pelengkap patut dimulakan?
Adalah sukar untuk menentukan dengan tepat masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan makanan pelengkap kerana setiap kanak-kanak mempunyai keperluan yang unik. Walau bagaimanapun, WHO mencadangkan supaya bayi diberi susu ibu sepenuhnya selama enam bulan sebelum diperkenalkan kepada makanan pelengkap. Pada usia ini juga, sistem penghadaman mereka sudah cukup matang untuk menghadamkan pelbagai makanan.
Tanda yang menunjukkan si manja sudah bersedia untuk mula mengambil makanan pelengkap termasuk:
- Boleh mengawal lidah dengan lebih baik. Lidah bayi lazimnya menolak benda pejal dari mulut dan refleks ini biasanya akan hilang dengan sendiri apabila mencapai usia 4 hingga 6 bulan.
- Boleh menutup bibir selepas sudu disuap ke dalam mulut dan mengaup makanan apabila sudu dikeluarkan daripada mulut.
- Boleh menggerakkan mulut ke atas ke bawah (keupayaan awal untuk mengunyah).
- Walaupun lebih kerap menyusu tetapi cepat lapar.
Peringatan: Perkembangan seseorang bayi tidak semestinya sepadan dengan usia kronologinya. Perkembangan dan kemahiran untuk makan sesetengah bayi mungkin terlewat, disebabkan bayi lahir tidak cukup bulan (pramatang), kurang berat badan semasa lahir, kelengahan saraf-otot atau sebab lain. Dapatkan nasihat doktor jika si manja anda sukar untuk makan.
Terus menyusukan si manja anda
Sungguhpun makanan pelengkap merapatkan jurang antara keperluan pemakanan si manja dengan jumlah yang dibekalkan oleh susu ibu, ini tidak bermakna pemberian susu ibu patut dihentikan. Sebaliknya, ibu digalakkan menyusukan si manja sehingga berusia 2 tahun atau lebih, supaya si manja mendapat makanan optimum, dan menjamin kesihatan optimum pada masa akan datang.
Bahaya memulakan pemberian makanan pelengkap terlalu awal atau terlalu lewat | |
Mula Terlalu Awal | Mula Terlalu Lewat |
|
|
Komen