Pengasuhan Positif

Memberi Makan Anak Yang Sakit

Memberi makan kepada kanak-kanak bukanlah mudah. Ia bertambah sukar apabila kanak-kanak sakit perut, selsema atau demam. Anak anda akan berasa tidak selesa, sengsara dan cepat marah, dan dia akan hilang selera makannya. Walaupun makanan berkhasiat dapat menyembuhnya dengan cepat, jangan dipaksa untuk makan. Tidak mengapa sekiranya dia makan kurang daripada kebiasaan. Yang pentingnya pastikan anak anda mendapat cecair secukupnya dan makan makanan yang ringan setiap hari.

Minum

Cecair amat diperlukan ketika sakit. Lebih-lebih lagi jika anak anda mengalami cirit-birit atau muntah-muntah kerana ini boleh menyebabkannya dehidrasi dan kehilangan garam yang penting dari badan.

Anda boleh tahu sekiranya kekurangan cecair apabila dia tidak membuang air kecil lebih dari 6 jam, bibirnya kering dan dia keletihan. Untuk mengelak daripada berlaku dehidrasi, berikannya:

  • Air masak atau air kosong
  • Jus buah -buahan (yang dicairkan)
  • Air glukosa atau madu
  • Air barli
  • Sup jernih
  • Cecair dalam bentuk larutan garam rehidrasi (ORS), yang disediakan mengikut arahan.

Pastikan anak anda minum sekurang-kurangnya 1.5 liter cecair sehari. Anda boleh membenarkannya minum menggunakan straw – si kecil akan berasa seronok. Ini juga dapat mengelak tumpahan dan mengurangkan masa anda untuk membersihnya.

Apabila anak anda semakin sihat dan tidak lagi muntahmuntah atau cirit-birit, anda boleh memberikannya makanan berbentuk cecair yang berkhasiat seperti sup atau bubur.

Makan

Kanak-kanak cuba mengelak makanan yang tidak disukainya semasa sihat, apatah lagi ketika sakit! Berikan anak anda makanan kebiasaan yang disukainya ketika sakit. Jangan cuba memperkenalkan makanan baru sewaktu anak sakit. Hidangkan makanan berkhasiat dalam jumlah yang sedikit dan mudah dimakan. Pilih makanan yang mudah ditelan seperti berikut:

  • Roti
  • Biskut
  • Bijirin sarapan pagi
  • Telur
  • Mi sup
  • Bubur

WAKTU PENYEMBUHAN

Anak anda adalah orang yang terbaik untuk memberitahu anda samada dia sudah bersedia untuk makan makanan pejal. Kurang selera makan bermaksud dia masih belum bersedia, jadi jangan memaksanya. Selera makannya akan bertambah baik apabila dia mula sembuh. Pada waktu itu, berikan anak anda makanan yang berkhasiat untuk membantunya mendapat semula tenaga dan mempercepatkan masa untuk sembuh sepenuhnya.

Elakkan makanan yang bergoreng dan berminyak kerana ia sukar untuk dihadam. Pilih makanan atau minuman berasaskan susu seperti kastard, aiskrim atau susu kocak. Anda juga boleh menghidangkan sup, mi atau bubur berserta sedikit daging, sayur-sayuran atau ikan sebagai khasiat tambahan untuk anak anda. Anda boleh memberikannya supplemen multivitamin dan mineral sekiranya dia tidak mahu makan selama beberapa hari, tetapi dapatkan nasihat dari doktor anda terlebih dahulu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen