Pengasuhan Positif

Pemakanan dalam 1000 Hari Pertama

Masa depan kesihatan anak anda dipengaruhi oleh pemakanan di peringkat awal kehidupannya

Pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia menekankan kepentingan pemakanan yang baik bagi 1000 hari pertama kehidupan anak anda. Tempoh 1000 hari pertama kehidupan anak anda bermula dari konsepsi (Hari ke 0) dan berterusan sepanjang tempoh kehamilan (Hari ke 0-270) sehinggalah hari lahir anak anda yang kedua (Hari ke 1000).

Pemakanan yang sempurna sepanjang tempoh 1000 hari ini amat penting. Sepanjang tempoh kritikal dalam kehidupan anak anda ini, berlakunya tumbesaran dan perkembangan yang sangat pesat dalam beberapa perkara penting seperti perkembangan kognitif (otak) serta tumbesaran dan perkembangan fizikal. Dengan memastikan anda membekalkan pemakanan yang sempurna dalam tempoh 1000 hari ini, anda juga secara tidak langsung menentukan masa depan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan anak anda.

Selain itu, satu bidang baharu perubatan yang dikenali sebagai Asal usul Perkembangan Kesihatan dan Penyakit atau Developmental Origins of Health and Disease (DOHaD), telah menjumpai bukti baharu yang menunjukkan bagaimana tekanan persekitaran (contohnya, merokok dan berlebihan berat badan) dan pemakanan yang tidak sempurna semasa kehamilan dan di peringkat awal zaman kanak-kanak boleh menyebabkan kanak-kanak mudah 1000 6 Rencana mendapat penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung apabila dewasa. Terdapat kemungkinan besar, kerentanan kepada penyakit tidak berjangkit ini juga boleh diturunkan kepada anak-anak mereka sendiri pula.

Artikel ini menerangkan keperluan untuk memastikan pemakanan yang sempurna semasa 1000 hari pertama dan kesan-kesannya jika keperluan pemakanan tersebut tidak dipenuhi. Ia juga menerangkan bidang baharu yakni teori DOHaD.

Kepentingan pemakanan semasa kehamilan (Hari ke 0-270)

Pemakanan yang sempurna adalah penting bermula sejak konsepsi lagi (Hari ke 0) dan sepanjang kehamilan (anggaran selama 30-40 minggu atau 270 hari). Pemakanan sihat adalah kritikal kerana tenaga dan nutrien yang diambil dalam tempoh ini disalurkan ke arah memelihara janin untuk menyokong tumbesaran dan perkembangannya yang pesat. Ingatlah bahawa sumber tunggal nutrien bagi janin anda adalah apa yang anda sendiri makan dan minum.

nutrition-during-pregnancy

Satu contoh tumbesaran yang pesat adalah fakta bahawa kebanyakan perhubungan otak sudahpun mula terbentuk dalam beberapa tahun pertama kehidupan, bermula dari dalam rahim lagi. Tiub saraf mula terbentuk 16 hari selepas konsepsi, dan pada lebih kurang minggu ke-lapan kehamilan, beberapa sel saraf bercabang untuk berhubung di antara satu sama lain dan membentuk laluan-laluan asas saraf. Proses ini berterusan sehingga kelahiran, apabila otak membesar menjadi saiz satu per empat otak orang dewasa. Oleh itu, amatlah penting bagi semua wanita hamil untuk memberi lebih perhatian dalam memastikan pengambilan pemakanan mereka merangkumi kesemua nutrien yang diperlukan. Maka, pemakanan yang sempurna yang bermula dari kehamilan (dan sehingga tahun kedua kehidupan) adalah sangat diperlukan untuk perkembangan otak yang optimum. Inilah masanya asas kepada kebolehan kognitif masa depan anak anda mula dibentuk.

pregnancy-scale

Juga, dengan memastikan keperluan pemakanan ibu hamil dipenuhi, berat badan semasa kehamilannya akan meningkat pada kadar yang wajar. Ianya turut memastikan janin membesar dan berkembang dengan sempurna. Malnutrisi (terlebih atau kekurangan nutrien) semasa kehamilan boleh menyebabkan samada berat lahir bayi rendah atau terlalu tinggi. Kedua-dua keadaan mempunyai kesan buruk, seperti:

  • Bayi yang kecil yang kurang berat lahir selalunya menghadapi komplikasi yang menjejaskan organorgan utama mereka. Hasilnya, mereka lebih mudah rentan apabila terdedah kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kajian telah membuktikan bahawa apabila mereka dewasa, mereka berdepan dengan risiko tinggi menghidap penyakit diabetes Jenis 2, hipertensi, dan penyakit jantung koronari.
  • Bayi yang besar dengan berat lahir yang tinggi kemungkinan akan membesar menjadi dewasa yang berlebihan berat badan/obes, dan juga akan mendedahkan mereka kepada risiko lebih tinggi terhadap diabetes Jenis 2, hipertensi, dan penyakit jantung koronari apabila dewasa.

Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk memenuhi keperluan pemakanan kedua-dua ibu dan juga janin. Bacalah bahagian seterusnya (muka surat 9) mengenai nutrien-nutrien penting semasa kehamilan dan maklumat mengenai peningkatan berat badan yang sewajarnya bagi ibu-ibu hamil, rujuk kepada artikel bertajuk “Tambahkan Berat Badan Secara Sihat ketika Hamil” di muka surat 24.

Kepentingan pemakanan semasa peringkat tumbesaran bayi dan awal kanak-kanak (Hari ke 271 – 1000)

Pemakanan terus memainkan peranan penting dari sejak bayi anda dilahirkan sehingga beberapa tahun pertama kehidupannya, memandangkan ia adalah tempoh paling penting bagi perkembangan fizikal dan mental (yang dikenali sebagai “tahun-tahun formatif”), merentangi tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran sehingga hari lahirnya yang kedua.

Ini adalah tempoh kritikal kerana anak anda tidak akan mengalami lagi kadar tumbesaran dan perkembangan yang begitu pantas sepanjang hayatnya – ia juga tempoh di mana asas kebolehan kognitif masa depan, kejayaan di sekolah, dan produktiviti ditetapkan.

mom-playing-with-child

Dalam tempoh tumbesaran yang pantas ini, bayi-bayi di bawah umur dua tahun juga mudah mendapat malnutrisi jika ibu-ibu tidak membekalkan pemakanan yang sempurna. Malnutrisi merangkumi kedua-dua kurang dan berlebihan nutrien. Jika anak anda tidak diberi jumlah makro- dan mikronutrien yang mencukupi semasa tempoh tumbesaran yang kritikal ini, dia mungkin berhadapan dengan beberapa kesan negatif yang tidak boleh diundur balik, termasuk:

  • Kurang nutrien: dikaitkan dengan lebih daripada satu pertiga beban penyakit global bagi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Membekalkan bayi dan kanak-kanak kecil dengan pemakanan yang sempurna memperbaiki peluang mereka bagi kehidupan dan menggalakkan tumbesaran dan perkembangan yang sihat, maka menurunkan kadar morbiditi dan mortaliti, risiko penyakit kronik, dan menggalakkan perkembangan keseluruhan yang baik. Kanak-kanak kecil yang menghidapi kurang nutrien juga menghadapi halangan terhadap perkembangan tingkah laku dan kognitif yang boleh menjurus kepada masalah pembelajaran di masa akan datang.
  • Berlebihan nutrien: ia boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi berlebihan berat badan atau obes, seterusnya meningkatkan risiko mereka membesar menjadi orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes juga. Akibatnya, ia akan meningkatkan risiko mereka mendapat penyakit tidak berjangkit lain seperti diabetes, hipertensi, dan penyakit jantung.

Maka adalah penting untuk membantu anak anda memenuhi keperluan tenaga dan nutriennya melalui amalan pemakanan yang wajar untuk memberi dia permulaan yang terbaik. Bayi harus disusukan dengan susu ibu secara eksklusif dari sejak lahir sehingga berumur enam bulan, dan ibu yang menyusukan bayi perlu memastikan dietnya mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk menentukan penghasilan susu ibu yang berkualiti. Apabila anda beralih ke fasa pemberian makanan pelengkap semasa anak anda berumur enam bulan, pemakanan terus memainkan peranan yang kritikal. Baca bahagian seterusnya di muka surat 11 tentang bagaimana untuk memberi permulaan terbaik kepada anak anda dari sejak lahir sehingga dua tahun.

DOHaD secara ringkas

Salah satu kesan kurang nutrien yang mudah dilihat adalah tumbesaran yang terbantut, atau ketinggian yang tidak sejajar dengan umur. Keadaan ini disebabkan kekurangan nutrien lantas membuat tubuh kanak-kanak yang sedang membesar itu mengorbankan tumbesarannya (dan seterusnya perkembangan) untuk hidup. Kekurangan nutrien boleh berlaku semasa perkembangan janin, apabila ibu mengalami malnutrisi atau semasa peringkat awal kanak-kanak. Kebantutan lazimnya menyebabkan kesan kekal yang boleh membawa maut disebabkan organ-organ penting yang tidak matang sepenuhnya.

DOHaD secara ringkas

Kini kita faham bahawa penyakit tidak berjangkit berakar umbi dari awal kehidupan seorang kanak-kanak. Permulaan kehidupan yang tidak sihat dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap beberapa penyakit tidak berjangkit, termasuk penyakit jantung, obesiti, diabetes dan beberapa jenis kanser. Menurut teori DOHaD, beberapa faktor persekitaran mempengaruhi perubahan perkembangan pada masa awal kehidupan (masa konsepsi, dan/atau semasa janin, bayi dan awal zaman kanak-kanak) boleh menyebabkan impak jangka panjang pada kesihatan dan risiko penyakit di masa akan datang.

husband-caring-for-wife

Faktor-faktor persekitaran yang dimaksudkan termasuklah corak pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup sedentari, merokok dan juga stres. Perhatian khusus telah diberikan kepada kesan buruk yang disebabkan oleh kekurangan nutrien yang berlaku dari masa konsepsi sehingga kelahiran. Turut ditunjukkan adalah kesan-kesannya boleh merentasi generasi dan dapat dilihat biarpun dua generasi kemudian.

Maka, teori tersebut menekankan kepentingan pemakanan yang sempurna dan gaya hidup sihat dalam kehidupan awal kanak-kanak, dari sejak konsepsi sehingga awal zaman kanak-kanak bagi mengurangkan risiko terhadap pelbagai penyakit tidak berjangkit.

Menjamin masa depan anak anda

Tempoh 1000 hari adalah tempoh di mana keperluan nutrien anak anda secara khususnya adalah lebih tinggi. Ia adalah tempoh tumbesaran yang pantas bagi kesemua organ dan merupakan peluang keemasan bagi anda memastikan bahawa masa depan, tumbesaran, dan perkembangan anak anda dimaksimumkan. Pemakanan yang sempurna dan mencukupi bagi ibu (semasa kehamilan dan menyusukan bayi) dan anak (dari sejak lahir sehingga berumur dua tahun) adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, pemakanan yang mencukupi dalam tempoh 1000 hari ini amat penting jika anda ingin anak anda mencapai potensi maksimumnya dan menjalani kehidupan dewasa yang lebih sihat.

mom-playing-with-baby

Bantu membentuk masa depan anak anda menjadi lebih sihat dan berjaya dengan pemakanan yang sempurna. Untuk maklumat lanjut tentang pemakanan sihat semasa kehamilan dan enam bulan pertama kehidupan anak anda, beralihlah ke muka surat seterusnya. Lebih banyak maklumat tentang bagaimana untuk memastikan anak anda mendapat pemakanan yang betul sehingga 1000 hari juga terkandung di dalam bahagian seterusnya.

Terus membaca…

Mendapat Pemakanan yang Betul sejak dari Mula
Memberi Permulaan Terbaik kepada Bayi dan Kanak-Kanak Petatih
Tiada Peluang Kedua

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen