Pengasuhan Positif

Kekurangan Mikronutrien: Apa yang Ibu Bapa Harus Tahu & Lakukan

Malaysia dianggap syurga makanan, tetapi percayakah anda kekurangan mikronutrien wujud?

Ya, kekurangan mikronutrien, satu contoh malpemakanan, berlaku terutamanya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Maka, adalah penting untuk mengenal pasti masalah ini dan mengambil langkah untuk mencegahnya.

Malpemakanan merujuk kepada pemakanan berlebihan atau kekurangan pemakanan. Berlebihan pemakanan mudah berlaku akibat berlebihan makan, lalu menyebabkan pengambilan tenaga berlebihan dan akhirnya mengakibatkan obesiti. Kekurangan pemakanan merujuk kepada pengambilan makanan yang tidak mencukupi lalu menyebabkan pengambilan tenaga, protein dan mikronutrien yang tidak mencukupi. Akibatnya, seorang kanak-kanak boleh mengalami tumbesaran dan perkembangan yang terjejas (iaitu kekurangan berat badan, kebantutan, atau susut badan) dan juga kekurangan mikronutrien.

Menurut pakar pemakanan Dr Tee E Siong, kekurangan mikronutrien disebabkan pengambilan vitamin dan/ atau mineral yang tidak mencukupi dan berlaku secara beransur-ansur. Kekurangan ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang kurang pemakanan, tetapi kanak-kanak yang kelihatan sihat juga boleh mengalami kekurangan mikronutrien tertentu.

“Ini menjadikannya sukar untuk dikesan memandangkan seseorang yang obes pun boleh menghadapi kekurangan mikronutrien. Ia tidak bermakna jika si anak kenyang tetapi anda gagal memberikannya pemakanan sihat, kerana badannya mungkin masih ‘lapar’ untuk nutrien – sebab inilah kekurangan nutrien sering dirujuk sebagai ‘kelaparan tersembunyi’,” kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Apakah mikronutrien?

Mikronutrien ialah nutrien yang badan kita perlukan dalam kuantiti kecil, dalam jumlah mili- atau mikrogram. Antaranya:

  • Mineral utama (iaitu, kalsium, sodium, potasium, fosforus) dan mineral surih (contohnya, zat besi, iodin, zink, selenium)
  • Vitamin (beberapa vitamin B dan vitamin, C, A, D, E, K).

Pakar pemakanan Dr Roseline Yap menekankan kesan buruk kekurangan mikronutrien bagi kanak- kanak boleh menjadi teruk, tetapi biasanya tidak dikesan sehingga berlaku kerosakan yang tidak dapat dipulih. Apabila kesan menjadi ketara, kerosakan pada tumbesaran dan perkembangan kanak- kanak itu sudah pun berlaku.

Penyelidikan mengaitkan kekurangan mikronutrien dengan kemerosotan dalam perkembangan kognitif dan motor. Kanak-kanak bukan sahaja ‘mudah terdedah’ kepada kekurangan mikronutrien semasa kecil, tetapi juga semasa remaja. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil langkah pencegahan agar anak mereka tidak menghadapi ‘kelaparan tersembunyi’.

Situasi di Malaysia

Dr Roseline menyatakan terdapat peningkatan prevalens berlebihan berat badan dan obesiti di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam kalangan kanak-kanak. Malah, prevalens masalah kekurangan pemakanan seperti pengambilan tenaga dan nutrien lain termasuk kekurangan mikronutrien masih berlaku dalam kalangan segmen komuniti tertentu, terutamanya lapisan sosio ekonomi yang lebih rendah.

“Tinjauan Pemakanan Asia Tenggara (SEANUTS) Malaysia ialah kajian terhadap kanak-kanak di Malaysia. Keputusannya membimbangkan kerana kekurangan mikronutrien seperti zat besi, vitamin D dan kalsium dikesan dalam kanak-kanak Malaysia. Malah, seramai satu pertiga kanak-kanak gagal mencapai pengambilan mikronutrien yang disarankan,” kata Bendahari Kehormat NSM.

Tambahnya, walaupun prevalens kekurangan pemakanan lebih rendah berbanding negara Asia lain, tumbesaran yang lemah seperti kebantutan dan kekurangan berat badan masih berleluasa dalam kalangan kanak-kanak Malaysia. Begitu juga masalah kekurangan mikronutrien seperti anemia, kekurangan vitamin A dan vitamin D. Katanya, hasil kajian sedemikian harus diambil berat dan intervensi khusus harus dilaksanakan untuk menangani kekurangan mikronutrien.

Mengapakah kekurangan mikronutrien berlaku?

Bagaimana dan mengapakah kekurangan mikronutrien berlaku di negara yang dianggap syurga makanan? Terdapat beberapa kemungkinan:

  • Kekurangan ilmu. Ibu bapa/ penjaga tiada kesedaran berkenaan kepentingan pemakanan, lalu gagal memberikan si anak makanan sihat.
  • Mengisi perut anak dengan makanan tidak sihat. Makanan tinggi dengan tenaga mengandungi lemak atau karbohidrat diproses atau gula dan biasanya rendah kandungan mikronutrien. Walaupun makanan ini boleh mengisi perut, ia pilihan tidak baik kerana hanya memberikan tenaga tanpa nutrien yang penting untuk badan, terutamanya mikronutrien yang diperlukan.
  • Kerap makan di luar. Hidangan masakan rumah ialah pilihan terbaik tetapi ibu bapa yang sibuk kadangkala mungkin terpaksa makan di luar. Makanan luar biasanya tidak sihat kerana penggunaan lemak/minyak, garam, dan gula yang berlebihan.

Hasil daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 (NHMS) terhadap kesihatan remaja menunjukkan hanya 1 dalam 3 remaja mengambil sarapan, 6 dalam 10 orang mengambil makan tengahari di luar selain rumah, dan 1 dalam 5 orang mengambil makanan disediakan di rumah semasa waktu rehat sekolah. Malah, 1 dalam 3 remaja melaporkan pilihan makanan mereka dipengaruhi oleh media sosial seperti YouTube, Facebook, dan Instagram. Oleh itu, perlakuan atau pengaruh seperti ini boleh membawa kepada pengambilan makanan tidak sihat, lalu menyebabkan kekurangan mikronutrien.

“Kesimpulannya, ibu bapa perlu periksa makanan yang mereka berikan kepada si anak secara konsisten. Kesedaran berkenaan apa yang masuk ke dalam badan anak mereka harus lebih tinggi – perut penuh tidak bermaksud anak anda mendapat pemakanan yang mereka perlukan, terutamanya jika makanan tidak sihat dihidangkan,” kata Dr Tee.

Kesan buruk kekurangan mikronutrien

Pengambilan mikronutrien yang tidak mencukupi berpotensi memberikan impak besar kepada tumbesaran dan perkembangan sihat seorang kanak-kanak, terutamanya semasa tempoh tumbesaran yang penting. Kesan kekurangan mikronutrien tidak jelas pada awalnya tetapi kesannya akan beransur-ansur berlaku, lalu membawa kepada simptom fizikal atau tanda klinikal. Paling teruk, apabila simptom sudah jelas, kerosakan sebenarnya sudah berlaku. Beberapa kesan atau akibat ini tidak dapat dipulihkan contohnya kebantutan atau fungsi kognitif yang tidak berkembang.

Berikut adalah beberapa kekurangan mikronutrien yang dikenal pasti memberi kesan kepada kanak-kanak:

Oleh itu, penting untuk anak anda mendapatkan pemakanan yang sepatutnya sejak kecil, untuk perkembangan fizikal dan mental
yang optimum, dan kesihatan jangka panjang anak anda.

Bagaimana harus kita mencegahnya?

Dr Tee mengingatkan ibu bapa berkenaan tabiat memberikan hidangan tidak berkhasiat yang mengandungi sedikit, tiada langsung atau tidak seimbang nutrien kepada anak mereka. Penyebab biasa ialah makanan/minuman yang penuh gula, makanan diproses, snek yang tinggi lemak, garam atau perisa (contohnya, kentang goreng, kerepek, pelbagai snek), snek bergoreng, hot dog, burger. Katanya lagi, penting untuk ibu bapa mempelajari asas pemakanan sihat kerana kejahilan pasti membawa kesan buruk.

Sebagai permulaan, ibu bapa harus mengambil kira perkara berikut:

Mempelajari asas pemakanan sihat. Gunakan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan pengambilan makanan harian.
Satu lagi konsep berguna ialah BMV, yang merujuk kepada keseimbangan (balance) (adanya makanan daripada kesemua lima kumpulan makanan Piramid Makanan Malaysia dalam diet harian), kesederhanaan (moderation) (kuantiti sederhana mengikut jumlah hidangan setiap kumpulan makanan yang disarankan), dan kepelbagaian (variety) (pelbagaikan makanan dalam
setiap kumpulan makanan).

Dr Tee mencadangkan agar ibu bapa:

  • Memberi anak pemakanan yang seimbang dan pelbagai termasuk buah dan sayuran, terutamanya semasa makan di luar.
  • Merujuk Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan kepada amaun makanan utama yang disyorkan dalam setiap hidangan.
  • Pastikan anak banyak minum air sambil mengurangkan pengambilan minuman bergula.
  • Memberikan snek sihat dan kurangkan pilihan tidak berkhasiat seperti piza, pastri, kek, kentang goreng, sosej, hot dog.
  • Berusaha sedaya upaya untuk menghidangkan masakan rumah untuk anak sekurang-kurangnya sekali sehari.
  • Kepelbagaian ialah kuncinya, jadi cubalah memasak atau memesan hidangan berbeza setiap hari.
  • Semasa makan di luar, elakkan makanan yang banyak lemak, gula atau garam. Pilih makanan dikukus, dipanggang, dibakar, direbus atau digril.

Dengan mengikuti perkara asas tersebut, anda mampu memberikan nutrien yang penting kepada anak anda. Dr Tee juga mencadangkan ibu bapa memberi makanan kaya nutrien seperti susu kepada kanak-kanak membesar. Susu dan produk tenusu ialah sumber yang penuh nutrien, terutamanya kalsium dan protein. Benarkan anak anda bermain di luar untuk mendapatkan Vitamin D, yang boleh disintesiskan oleh badannya apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Menyelesaikan masalah cerewet. Carilah alternatif untuk masukkan makanan yang tidak disukainya ke dalam hidangannya. Sambil memetik susu sebagai contoh, Dr Roseline berkata, sesetengah kanak-kanak mungkin tidak menyukai bau atau rasa susu. Asalkan anak anda tidak mempunyai alahan atau intoleransi susu, anda boleh masukkan dalam dietnya dalam cara berbeza. Cara paling mudah ialah smoothie susu dengan buah. Susu juga boleh dijadikan pengganti atau bahan tambahan dalam resipi, contohnya telur hancur dengan susu, pengganti santan, menggunakan susu untuk penkek/puding, atau ditambah dalam stew ayam/ kambing. Jika anda mengesyaki anak anda alah kepada protein susu, berundinglah dengan pakar alahan/ imunologi untuk mempelajari cara mengendalikannya sambil memberikannya nutrien diperlukan.

Pastikan anak anda ambil lebih banyak buah dan sayuran. Kita tahu faedah kesihatannya tetapi masih ramai kanak-kanak tidak menyukainya. Dr Roseline mencadangkan petua ringkas iaitu mengisar dan memasukkan sayur dengan bahan lain untuk membuat bebola daging atau daging burger buatan sendiri. Hidangan buatan sendiri lebih sihat berbanding nuget, burger, sosej atau bebola daging yang diproses. Buatlah resipi sendiri dengan mencampur dan mengisar ayam atau daging dengan sayur. Sebagai alternatif, sayur dicincang dan dicampurkan dengan sedikit kuah salad untuk menjadikannya sedap.

Mulakan sejak awal

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif, mengingatkan ibu bapa agar tidak bergantung kepada suplemen, serta mengamalkan pemakanan sihat untuk memenuhi keperluan pemakanan anak. “Diet sihat seharusnya memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak, jadi salurkanlah masa dan usaha anda dalam memastikan anak anda mengambil makanan sihat. Suplemen mungkin berguna untuk penggunaan jangka pendek, terutamanya jika pemakanannya terjejas oleh penyakit. Ini hanya dilakukan oleh doktor pakar.”

Tambahnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mereka mendapat mikronutrien yang mencukupi daripada pemakanan mereka, “Perlu adanya tindakan segera daripada ibu bapa untuk mengambil langkah sewajarnya. Kerana apa pun, hanya terdapat satu peluang untuk mereka memberikan khasiat mencukupi untuk menggalakkan tumbesaran dan perkembangan anak mereka yang optimum. Jika mereka terlepas peluang ini, anak mereka boleh mengalami kekurangan mikronutrien yang boleh membawa kesan serius dan tidak boleh diundur.”

Jadi, ibu bapa harus mengawasi keperluan pemakanan anak mereka. Mula dengan membaca tentang pemakanan sebanyak mungkin demi memberikan anak anda makanan berkhasiat yang diperlukannya untuk membesar dengan sihat dan kuat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen