Pengasuhan Positif

Memberi Permulaan Terbaik kepada Bayi dan Kanak-Kanak Petatih

Tempoh selepas anak anda dilahirkan sehingga dia mencapai hari lahirnya yang kedua merupakan baki daripada tempoh 1000 hari, dan bermula dari hari ke-271 dan seterusnya. Tempoh formatif ini kritikal kerana dalam tempoh ini sahaja anak anda akan mengalami tumbesaran dan perkembangan yang pesat. Membantu anak anda memenuhi keperluan pemakanannya amat penting untuk memastikan agar tumbesaran dan perkembangannya dioptimumkan serta membantu mengurangkan risikonya terhadap penyakit kanak-kanak yang lazim dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan pemakanan pada masa akan datang.

Susu ibu adalah Pemakanan Terbaik (0-6 bulan)

Bagi bayi baru lahir, susu ibu tiada tandingannya. Oleh kerana itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Panduan Pemakanan Malaysia menyarankan penyusuan ibu secara eksklusif dari lahir selama enam bulan dan meneruskan penyusuan ibu sehingga berumur dua tahun.

Dalam aspek pemakanan, seorang wanita yang menyusukan bayi perlu mengambil lebih makanan dan mengekalkan diet yang sihat, sama seperti yang diperlukan oleh wanita hamil. Bayi bergantung kepada ibunya untuk membekalkan nutrien yang diperlukan bagi membantu ia membesar, maka adalah penting anda terus mengambil makanan berkhasiat dan diet yang seimbang seperti semasa hamil. Nutrien yang didapati daripada diet ibu adalah penting untuk memastikan bayi mendapat susu ibu secukupnya (serta kualiti susu yang baik) dan memastikan kesihatan ibu juga tidak terancam.

Ibu yang menyusukan bayi mempunyai keperluan pemakanan yang serupa dengan ibu hamil, maka pemakanan yang baik hendaklah terus diamalkan terutama sepanjang enam bulan pertama di mana bayi bergantung sepenuhnya pada susu ibu. Penghasilan susu boleh dipengaruhi oleh apa yang anda makan, oleh itu ibu yang menyusukan bayi perlu makan secara sihat agar dapat memenuhi keperluan bayi. Elak daripada mengambil minuman yang mengandungi kafein atau alkohol sepanjang tempoh anda menyusukan bayi kerana bahan-bahan ini boleh masuk ke dalam susu ibu dan mungkin menyebabkan bayi meragam ataupun mempengaruhi perkembangannya.

Penting bagi anda mengingati bahawa pada peringkat umur ini (enam bulan pertama), bayi anda tidak memerlukan makanan tambahan, cecair, atau air. Susu ibu mengandungi khasiat yang lengkap termasuk semua nutrien penting dan antibodi yang diperlukan oleh bayi anda. Ia juga kaya dengan asid lemak penting seperti ALA dan LA yang diperlukan untuk menghasilkan DHA dan ARA (komponen penting untuk perkembangan fizikal dan mental anak anda).

Memulakan Makanan Pelengkap (6 bulan ke atas)

Apabila anak anda mencapai umur enam bulan, keperluan nutriennya juga turut meningkat. Pada lingkungan hari ke-450 dan seterusnya (ataupun apabila bayi lebih kurang 6 bulan), iaitu hampir mencecah separuh daripada tempoh 1000-hari, susu ibu sahaja tidak lagi mencukupi untuk tumbesaran dan bagi memenuhi keperluan pemakanannya. Pada masa inilah makanan pelengkap perlu dimulakan.

Makanan pelengkap mesti diberi tepat pada masanya (iaitu enam bulan, bukan lebih awal atau lebih lewat) dan mencukupi (diberi dalam jumlah, kekerapan dan ketekalan yang sesuai) untuk mencegah malpemakanan. Makanan pelengkap harus memenuhi satu pertiga daripada keperluan tenaga harian bayi apabila dia berumur enam hingga lapan bulan, separuh apabila dia berumur sembilan hingga dua belas bulan, dan lebih daripada 60% apabila dia lebih besar. Bayi hendaklah terus diberi susu ibu walaupun ia sudah mula makan makanan pelengkap.

baby-meal

Apabila anda memulakan pemberian makanan pelengkap, pastikan jenis makanan, tekstur dan ketekalan yang anda beri kepada bayi adalah sesuai bagi tahap perkembangannya. Anda perlu memberi makanan secukupnya untuk memenuhi keperluan tenaganya, dan ubah tekstur serta cara penyediaan makanan apabila dia semakin besar. Ini termasuklah tekstur dan ketekalan makanan untuk memudahkan anak anda makan tanpa tercekik. Apabila dia sudah membiasakan diri dengan makanan yang anda beri, anda boleh mempelbagaikan makanannya. Kekerapan pemberian makanan juga harus ditingkatkan perlahan-lahan apabila dia semakin membesar. Anda harus sentiasa mengikuti panduan asas Keseimbangan, Kesederhanaan, dan Kepelbagaian (SSP) untuk memastikan yang keperluan pemakanan anak anda dipenuhi.

Apakah SSP?

Diet yang seimbang harus merangkumi makanan daripada lima kumpulan makanan yang terdapat di dalam Piramid Makanan Malaysia, dalam saiz hidangan yang sederhana menurut bilangan hidangan yang diperlukan bagi setiap kumpulan makanan, dan mengandungi pelbagai jenis makanan untuk memenuhi keperluan pemakanan anda.

Mengawasi tumbesaran anak anda

Kaedah yang mudah namun berkesan untuk menentukan samada anak anda mendapat pemakanan yang mencukupi dan membesar dengan sempurna adalah dengan mengukur ketinggian dan berat badannya secara tetap. Pemantauan yang kerap amat penting, terutamanya pada peringkat bayi mulai lahir hingga 12 bulan, memandangkan mereka mengalami tumbesaran paling pesat dalam tempoh ini. Amnya, berat badan mereka meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat hingga lima bulan pertama, dan meningkat anggaran tiga kali ganda menjelang umur setahun.

baby-scale

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyaran menggunakan berat – bagi umur sebagai satu kaedah untuk menganggarkan samada anak anda kekurangan atau berlebihan berat badan menurut standard tumbesaran WHO, yang membolehkan anda menentukan samada anak anda membesar dalam julat yang normal. Dapatkan nasihat doktor bayi anda atau pakar pediatrik untuk memastikan anak anda membesar dengan sempurna dan memantau pertumbuhannya.

Artikel ini adalah kelanjutan dari “Pemakanan dalam 1000 Hari Pertama”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen