Pengasuhan Positif

Mari kita Bermula Dari Asas

Kebanyakan kanak-kanak mendapat ruam sekali sekala. Ia boleh menjadi gatal dan merengsakan, tetapi ia biasanya akan hilang sendiri. Malangnya, dalam sesetengah kes, ruam tidak hilang atau kulit boleh menjadi begitu meradang sehinggakan rawatan perubatan diperlukan.

Ekzema adalah masalah biasa yang menyebabkan kulit menjadi radang. Kegatalan boleh menjadi semakin teruk, yang boleh menjadi suatu gangguan, terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak. Menggaru akan menjadikan masalah bertambah buruk. Hakikatnya, kerosakan kepada kulit semasa ekzema sering berlaku disebabkan menggaru. Kulit yang terjejas boleh menyebabkan belahan yang dalam dan menyakitkan, yang juga dikenali sebagai rekahan. Kecacatan pada kulit boleh membenarkan lembapan keluar dan kuman masuk ke dalam dan ia akan menyebabkan kulit menjadi radang. Kadangkala, lepuh kecil dan berisi cecair juga boleh terbentuk.

Apa yang menyebabkan ekzema atopik?

Ekzema atopik adalah disebabkan oleh hubungan antara genetik dan faktor persekitaran. Ia bukannya keadaan yang terjadi hanya dengan satu agen atau faktor penyebab, tetapi ia dipercayai disebabkan kecacatan pada fungsi sekatan atau halangan pada kuit (lliang luar kulit) dan rangsangan yang terlalu aktif oleh sistem imunisasi badan terhadap perengsa atau alergen dalam persekitaran (seperti debu, kulat, debunga dan bulu haiwan). Rangsangan inilah yang menyebabkan gejala-gejala ekzema, yang juga dikenali sebagai ekzema atopik. Ekzema atopik adalah jenis ekzema yang paling biasa terjadi. Kajian menunjukkan bahawa ekzema atopik boleh menjejaskan dua orang dalam setiap 10 orang di Malaysia dan kira-kira 10% – 14% kanak-kanak di bawah umur 14 tahun (10), terutamanya dalam masyarakat urban.

Antara cara lain yang boleh menyebabkan gejala ekzema bertambah buruk adalah apabila bersentuhan dengan bahanbahan yang kasar atau kesat yang boleh menyebabkan kulit menjadi rengsa. Pendedahan kepada haba (berpeluh) atau suhu sejuk (udara kering), atau jangkitan pada bahagian atas pernafasan juga boleh menyebabkan erupsi terjadi. Tekanan juga boleh memburukkan lagi keadaan.

Tahukah anda?

Insiden ekzema semakin meningkat, dengan sebanyak satu daripada empat orang kanak-kanak terjejas oleh ekzema. Di Malaysia, kelaziman ekzema atopik dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah adalah di antara 12 hingga 13 peratus pada tahun 2001 – sila rujuk kajian ISAAC. Satu penjelasan yang berpotensi kepada peningkatan ini adalah kekerapan mandi dan penggunaan sabun dan detergen. Pencemaran udara daripada urbanisasi yang pesat juga boleh menyebabkan kulit anak anda menjadi gatal dan meradang, atau memburukkan ekzemanya.

Sesetengah pakar berpendapat kanak-kanak berkecenderungan menghidapi ekzema atopik kerana faktor-faktor genetik, yang bermakna mereka mewarisi ciri-ciri yang menjadikan mereka lebih terdedah kepada keadaan tersebut. Kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga ekzema, asma atau demam alergi adalah lebih cenderung untuk menghidapi ekzema atopik. Kira-kira separuh daripada kanak-kanak yang mendapat ekzema juga akan menghidapi demam alergi atau asma. Walau bagaimanapun, ia tidak berjangkit dan tidak boleh berjangkit daripada orang-ke-orang.

Perhatikan tanda-tanda

Tanda-tanda dan gejala-gejala ekzema atopik biasanya muncul dalam tempoh beberapa bulan pertama kehidupan, dan hampir selalu sebelum kanak-kanak mencecah usia lima tahun. Ini termasuk:

  • Tompokan kulit yang merah kecoklatan-kelabu
  • Bersisik atau kulit retak
  • Bonjol kecil mungkin muncul di pipi, dahi, atau kulit kepala (juga boleh merebak ke tangan dan kaki, di depan bengkokkan siku, belakang lutut, dan di pergelangan kaki, pergelangan tangan, muka, leher dan bahagian atas dada)
  • Gatal-gatal yang boleh menjadi teruk (hampir selalu).

Menggaru kulit boleh menyebabkan ia menjadi tebal dan merah atau berdarah dan berkerak, sekali gus mewujudkan luka yang boleh dijangkiti kuman.

Tetapi, ramai pesakit tidak dapat menahan rasa gatal, menyebabkan kitaran gatal-dan-garu, dan akhirnya menjadi berdarah dan sakit.

Faktor-faktor yang memburukkan lagi ekzema

Kebanyakan orang yang mengalami ekzema akan mendapati bahawa gejala mereka menjadi lebih teruk oleh aspek kebiasaan dalam kehidupan harian seperti mandi secara kerap, sabun, detergen, cuaca panas atau terlalu panas di atas katil pada waktu malam. Minyak wangi, losyen kulit yang berpewangi, dan produk berbau kuat juga boleh merengsakan kulit dan menyebabkan kulit anak anda menjadi gatal dan rengsa, atau menjadikan ekzemanya bertambah teruk.

Menghadapi ekzema

Kerana tiada cara untuk mengubati ekzema, matlamat utama rawatan adalah untuk melegakan ketidakselesaan dengan mengurangkan rasa gatal dan meningkatkan hari tanpa-radang untuk pesakit.

Kajian Kesan Ekzema kepada Pesakit mencadangkan 62% pengasuh sentiasa risau tentang keradangan seterusnya.

Secara tradisi, rawatan hanya fokus pada merawat keradangan apabila ia berlaku, dengan pakar perubatan memberi dos steroid topikal jangka pendek dan menasihatkan untuk menggunakan pelembap kulit untuk mengekalkan kelembapan kulit.

Apabila berlakunya keradangan ekzema, doktor perlu mempreskripsikan steroid untuk mengawal dan meredakan kulit kembali kepada remisi (apabila tompokan merah dan kudis susut). Ia tidak dinasihatkan untuk penggunaan jangka panjang kerana ia mempunyai kesan sampingan.

Adalah sangat penting untuk bertindak secara aktif untuk memastikan kulit kekal lembap, walaupun apabila ekzema pesakit terkawal.

Penggunaan emolien atau pelembap kulit akan memberi perlindungan untuk melindungi kulit anak anda daripada kehilangan air dan kerosakan tambahan, sementara mengekalkan kulit lembut.

Ibu bapa perlu memilih pelembap kulit dengan formulasi yang betul, dan yang lebih penting, berkesan untuk merawat keadaan si anak dan mencegah kulit daripada memasuki kitaran garu-gatal.

Selain daripada rawatan, terdapat beberapa cara bantu diri yang lain yang membolehkan kanak-kanak yang mengalami ekzema berlatih untuk menjauhi kegatalan tersebut. Mereka harus mengelak daripada memakai bahan-bahan kasar yang boleh merengsakan kulit seperti bulu biri-biri tulen, poliester atau akrilik. Sebaliknya, gunakan bahan-bahan yang lembut dan halus seperti kapas

Cuba elakkan anak anda daripada mandi dengan air yang panas dengan lama kerana ini boleh mengeringkan kulit mereka. Mandi dengan kerap menggunakan air suam adalah dibenarkan untuk mencuci badan selepas bersenam kerana peluh boleh menjadi perengsa kulit. Selepas mandi, segera sapukan losyen pada kulit anak anda semasa ia masih lembap, untuk membantu mengekalkan kelembapan pada kulit

Jika anak anda mempunyai ekzema, ia adalah idea yang baik untuk memastikan kukunya pendek kerana kuku yang lebih panjang lebih cenderung untuk mencederakan kulit anak anda apabila dia menggaru.

Menguruskan faktor-faktor gaya hidup ini boleh membantu mengawal gejala ekzema dan mengurangkan kekerapan keradangan.

24906165

Adakah ekzema akan hilang?

Berita baiknya, tanda-tanda ekzema akan hilang dalam kebanyakan kanak-kanak sebelum mereka mencecah umur untuk ke sekolah. Lebih separuh daripada kanak-kanak yang mengalami ekzema pada zaman kanakkanak akan kehilangan tanda-tanda ekzema apabila mereka telah menjadi remaja.

Walau bagaimanapun, sesetengah kanak-kanak akan mempunyai ekzema sehingga menjadi dewasa. Keredaan boleh berlaku dan boleh berterusan selama bertahuntahun. Kulit kering dan rengsa dari keadaan tersebut juga boleh berkekalan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen