Pengasuhan Positif

Kekalutan Hari Pertama

Permulaan sekolah di tadika ataupun pusat asuhan adalah detik yang menarik bagi anak dan juga ibu bapa, ia bukan mudah, lebih-lebih lagi bagi si manja. Detik permulaan ini merupakan detik penyesuaian dan juga boleh merupakan detik yang membimbangkan. Ditinggalkan di sekolah tanpa ibu di dalam bilik yang penuh dengan kanak-kanak lain boleh menyebabkan kekhuatiran bagi si manja pada kali pertama.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang menakutkan. Jika anda mengambil langkah untuk menyediakan diri anda dan si manja untuk menempuh pengalaman baru ini, anda boleh mengurangkan sedikit kebimbangan anda sendiri dan juga si manja. Bantu anak anda menyesuaikan diri dalam persekitaran baru supaya dia boleh menerima situasi dan rasa keseronokan di sekolah, belajar dan berkenalan dengan kawan baru.

Buat Pilihan Yang Betul

Pilih tadika yang dapat memenuhi keperluan anak anda supaya dia dapat mengembangkan bakat dan keupayaannya. Ia penting untuk anda memastikan persekitaran pembelajaran selesa dan sesuai dengan personaliti atau keperibadian anak anda. Pastikan sama ada tadika menganjurkan hari terbuka atau hari orientasi untuk anda dan juga si manja. Ini memberi peluang baik untuk anda memerhatikan perjalanan kelas dan melihat bagaimana guru tadika mengendalikan kanak-kanak. Anda juga boleh berbincang dengan guru-guru tentang pembelajaran prasekolah, aktiviti harian dan juga perkara lain yang boleh menimbulkan kemusykilan anda. Sebaik-baiknya, bawa anak anda bersama agar dia dapat melihat dan mengalami persekitaran baru tetapi merasa selamat kerana anda berada di sisinya.

Jadikan Persekolahan Topik Menarik

Sentiasa bersemangat bila bercakap tentang prasekolah. Jelaskan kepada si manja mengapa dia perlu memulakan persekolahan, dan terangkan segala aktiviti menyeronokkan yang akan dinikmati mereka. Memang wajar si manja menyuarakan kebimbangan dan kegundahan, tetapi jangan diketepikan begitu sahaja. Sebaliknya, bincangkan dengan sabar untuk menghilangkan rasa takutnya.

Biasakan Dengan Rutin

Aturkan jadual tidur dan sarapan pagi si manja beberapa minggu sebelum hari pertama prasekolah. Ini akan membantu peralihan bila sekolah bermula. Anda juga boleh main sekolah olok-olok dengan si manja, dan mengatur jadual seperti yang akan dialami oleh si manja di tadika bagi membiasakannya dengan situasi di sekolah.

Tunggu Si Manja

Bila tiba hari pertama, luangkan beberapa jam pertama untuk bersama si manja di tadika. Tetapi jangan tunggu sepanjang hari sematamata untuk memerhatikannya. Si manja perlu membiasakan diri dengan ketiadaan anda. Memanjakan anak anda di saat ini tidak akan membantu menyenangkan situasi. Dan apabila menjemput si manja dari sekolah, pastikan anda datang awal! Ini akan membuat si manja merasa selamat.

Bualkan Tentang Sekolah

Tanya si manja bagaimana pengalaman hari pertama di sekolah. Tunjukkan minat terhadap aktivitinya. Anda juga patut memuji si manja kerana berjaya melalui hari pertama di sekolah. Ini akan membolehkan si manja tahu bahawa dia sudah melakukan yang terbaik. Dia akan berminat untuk ke sekolah semula.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen