“Mak… B-O-L-A ialah bola!” Jamie kata dengan bangga menunjukkan kepandaiannya kepada anda. Anda melihat contengan pada buku anak anda. Tiada satu pun huruf yang boleh dibaca, namun anda tetap memberikan pelukan. Anak anda nampak seronok walaupun baru dua bulan ke tadika. Lebih penting lagi, dia berminat belajar membaca dan menulis. Ini terbukti daripada buku kerja sekolah yang dibawa pulang setiap hari. “Dia pandai. Dia seharusnya dapat membaca dan menulis dengan baik tidak lama lagi,” kata suara hati anda.
Persoalan yang sama bermain dalam fikiran beribu-ribu ibubapa Malaysia yang menghantar anak mereka ke prasekolah setiap tahun. Seperti anda, mereka juga tahu kepentingan pendidikan.
Mereka juga tidak sabar melihat kemajuan anak mereka. Tetapi prasekolah bukan sahaja untuk belajar membaca dan menulis. Ia adalah untuk memperlengkap anak anda dengan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) yang akan membina asas yang kukuh untuk pembelajaran sepanjang hayat… dan ini sudah tentu tidak terbatas kepada A-B-C dan 1-2-3.
Permulaan Yang Baik |
---|
ECCE adalah satu konsep bimbingan yang menjamin ‘permulaan yang kukuh’. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa enam tahun pertama hayat kanak-kanak adalah sangat penting. Bakat, pemikiran dan sikap yang akan menjadi asas pendekatan mereka terhadap gaya hidup mereka apabila dewasa terbentuk sepanjang tempoh ini. Baik atau buruknya kecenderungan ini banyak bergantung kepada persekitaran dan pengalaman mereka setiap hari. ECCE yang berkualiti memastikan kanak-kanak mendapat pengalaman dan rangsangan yang betul untuk mengoptimumkan pembangunan. Manfaat ECCE berkualiti diakui seluruh dunia. “Kanak-kanak yang mendapat ECCE menunjukkan kemahiran komunikasi yang lebih baik, kognisi (proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu) lebih baik, dapat berinteraksi dengan orang lain secara positif dan mempunyai lebih kekuatan emosi daripada kanak-kanak lain yang tidak mendapat ECCE,” kata Datin Radziah. “Kemahiran ini akan membantu anak anda menyesuaikan diri apabila memasuki alam persekolahan dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.” Datin Radziah M Daud |
Kurikulum Yang Sesuai Untuk Kanak-kanak |
---|
Apabila negara bertambah maju dan makmur, keperluan modal insan berkualiti turut meningkat. Memang itulah yang menjadi matlamat sistem pendidikan kita: untuk melahirkan individu yang bijak berfikir, bersifat ingin tahu, mampu mencipta inovasi dan menyelesaikan masalah, serta sentiasa mencari idea-idea baru; individu berkemahiran dan ada daya ketahanan, cintakan tanah air dan disemai nilai-nilai moral tinggi. Keperluan modal insan ini menjadikan ECCE amat penting sebagai asas kukuh yang mesti dibina sejak kecil. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) dirumus dan diperkenalkan pada 2003 sebagai garis panduan untuk membantu prasekolah merancangkan aktiviti dan pengalaman yang mengoptimumkan segala aspek perkembangan kanak-kanak. “Akta pendidikan 1996 mewajibkan semua prasekolah – kerajaan atau swasta – mematuhi KPK. Oleh kerana KPK adalah fleksibel, prasekolah swasta boleh menggabungkannya dengan mudah dalam kaedah mereka sendiri,” kata Jayawathi. Jayawathi Perera |
Menurut Presiden Persatuan Pendidik Profesional Awal Kanak-Kanak Malaysia (MAPECE), Profesor Dr Chiam Heng Keng, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) memastikan prasekolah menumpu kepada kanakkanak, bukan kehendak ibubapa atau guru. “Kurikulum ini disesuaikan untuk kanak-kanak, bukan sebaliknya. Ia sesuai untuk perkembangan kanak-kanak dan menggalakkan pembelajaran menerusi permainan. Ini penting semasa zaman kanak-kanak.”
“KPK adalah berasaskan kemahiran, bukan kandungan,” katanya. “Contohnya, tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, mengira, berfikir, membuat pertimbangan, mendapat dan menggunakan maklumat, bercampur-gaul dengan kawan-kawan dan sebagainya. Kerja rumah dan peperiksaan tidak digalakkan.”
Banyak Pilihan
Terdapat begitu banyak prasekolah di Malaysia sekarang hingga menyukarkan ibubapa untuk membuat pilihan. Menurut Dato’ Alimuddin, keadaan ini amat jauh berbeza daripada zaman 1950-an sewaktu prasekolah baru muncul. “Pada zaman itu, prasekolah ditubuhkan oleh sektor swasta, kebanyakannya untuk keluarga kaya di kawasan bandar. Kerajaan menubuhkan tadika prasekolah awam pertama pada tahun 1970-an dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara kanak kanak bandar dan luar bandar. Tadika prasekolah KEMAS dibuka pada 1971, tadika Perpaduan pada 1976 dan tadika Kementerian Pelajaran pada 1992,” katanya. “KPK dilaksanakan menerusi tadika prasekolah kerajaan dan swasta yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran. Ia dikuatkuasa dan dipantau oleh pegawai kami daripada Jabatan Pelajaran Negeri.”
“Ibubapa zaman ini sedar bahawa pendidikan prasekolah berkualiti adalah asas masa depan anakanak mereka. Permintaan semakin meningkat apabila lebih ramai ibubapa mendaftarkan anak anak mereka di prasekolah,” katanya. “Kerajaan memenuhi permintaan yang meningkat ini dengan menambah bilangan tadika awam dan kelas prasekolah.”
“Kanak-kanak yang mendapat asuhan dan pendidikan yang baik sejak kecil mempunyai kemahiran sosial dan kekuatan emosional. Mereka belajar bersikap positif, menghargai nilai dan berkelakuan baik, yang akan menjadikan mereka warga masyarakat yang berguna apabila dewasa.”
ECCE Adalah Tanggungjawab Anda Juga
Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) boleh disediakan bukan sahaja menerusi prasekolah tetapi juga di rumah. Anda boleh membina asas kukuh untuk masa depan anak anda dengan mewujudkan persekitaran yang sesuai dan memastikan anak anda mendapat pengalaman positif sepanjang masa ¨C baik di rumah mahupun di tadika.
MEMAHAMI KONSEP
Anda perlu memahami terlebih dahulu konsep ECCE. Dengan membaca rencana ini, anda sudah mengambil langkah pertama. Bacalah seterusnya dan minta pendapat orang yang memahami dan mengamalkan ECCE.
PILIH TADIKA PRASEKOLAH BERKUALITI
Datin Radziah menasihatkan ibubapa supaya mencari tadika prasekolah yang menggunakan kurikulum yang sesuai. “Tadika kerajaan menggunakan KPK. Jadi, anda boleh mendapat kepastian kurikulumnya sesuai untuk perkembangan kanak-kanak. Tetapi anda tidak boleh mendapat kepastian penuh daripada prasekolah swasta, maka pilih tadika swasta yang berdaftar,” katanya. “Jika anda mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak anda di tadika swasta, pastikan ia menggalakkan kanak-kanak belajar menerusi permainan dan aktiviti yang sesuai dengan usia dan peringkat perkembangan mereka. Kanak-kanak tidak seharusnya duduk di meja dan menulis sepanjang masa.”
Di bawah adalah beberapa perkara yang harus anda ingat bila memilih prasekolah:
- Selamat dan mesra untuk kanak-kanak Keselamatan anak adalah keutamaan anda. Itulah sebabnya mengapa anda perlu menghantar anak ke prasekolah yang berdaftar kerana ia memenuhi keperluan keselamatan tempat, keselamatan kebakaran dan juga kebersihan. Sebagai tambahan, anda boleh perhatikan sama ada terdapat ciri-ciri keselamatan yang lain. Contohnya, pastikan kawasan luar prasekolah berpagar, tiada bucu-bucu tajam di meja, dan sinki dan tandas sesuai untuk kanak-kanak.
- Bilangan kanak-kanak yang sesuai Memandangkan komunikasi terbuka juga penting dalam proses pembelajaran, kelas yang ideal ialah antara 12 hingga 15 kanak-kanak dengan seorang guru dan seorang pembantu.
- Guru yang baik dan berkelayakan Seorang guru prasekolah yang bagus adalah baik hati, ceria dan menyukai kanak-kanak. Dia berminat untuk melibatkan diri dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak. Dia berpakaian yang memudahkannya berbongkok apabila bercakap dengan kanakkanak, berlari atau merangkak apabila bermain bersamanya. Dia perlulah mempunyai kelayakan akademik dan profesional, mempunyai pengetahuan mengenai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dan boleh menjelaskan bagaimana dia menggunakannya di dalam kelas.
- Kanak-kanak yang gembira, mengerti & produktif Anda patut lihat kanak-kanak bekerjasama menyelesaikan projek, berkawan dan berseronok. Mereka lebih ekspresif, yakin dan berkomunikasi secara terbuka sesama mereka dan juga guru apabila berada di dalam kelas.
JANGAN MENDESAK, JANGAN MENEKAN |
---|
“ECCE masih baru di Malaysia dan banyak prasekolah masih terlalu akademik. Malah, ada prasekolah yang mengadakan peperiksaan!” kata Eveleen. “Ibubapa perlu faham bahawa kerja rumah yang bertimbun bukan bukti anak anda pandai belajar. Banyak kemahiran yang dipelajari olehnya tidak boleh dilihat pada kertas. Itulah sebabnya anda perlu memilih tadika yang baik dan boleh dipercayai agar anak anda belajar dengan cara yang betul.” |
ULANGKAJI DI RUMAH
Tunjukkan minat terhadap anak anda. Berbual dengannya, dengar pandangannya, tanyakan apa yang dilakukan di kelas dan bincangkan kemajuannya dengan gurunya. Cari cara untuk anak anda mengulangkaji apa yang dipelajari dari tadika di rumah.
BIARKAN DIA BERMAIN!
“Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini terhadap amalan pendidikan awal kanak-kanak di Finland menunjukkan bahawa sehingga usia tujuh tahun, semua pengalaman pembelajaran awal kanak kanak Finland adalah berasaskan mainan. Kajian itu juga menunjukkan bahawa menjelang usia dua belas tahun, kanakkanak Finland mengatasi kanak-kanak dari negara perindustrian lain dari segi bacaan, matematik dan sains! ” kata Dr Chiam. Jadi, sebagai ibubapa, anda perlu memberi masa dan ruang untuk anak anda bermain dengan bebas tanpa halangan. Tetapkan masa bermain, lebih lebih lagi jika anda mempunyai jadual tugas yang ketat. Sebagai ibubapa, keselamatan anak-anak adalah perkara yang paling membimbangkan anda. Tetapi, dengan tidak membenarkannya bermain di luar tanpa halangan, anda sebenarnya menyekat aktiviti motor dan pergaulan sosial mereka. Jangan kurung anak-anak dalam rumah tetapi awasi mereka untuk memastikan keselamatan semasa bermain.
Usaha untuk memberikan ECCE yang berkualiti kepada kanak-kanak memastikan anda menangani keperluan perkembangan menyeluruh mereka – dari kemahiran berkomunikasi ke kemahiran kognitif, nilai-nilai moral hingga pembangunan sosio-emosional. Tahun-tahun pembentukan awal ini hanya datang sekali. Jadi, asuhlah anak anda dengan baik, luangkan masa untuk bersama mereka, dan berikan segala peluang untuk mereka belajar dan membangun mengikut rentak mereka sendiri menerusi permainan. Tumpukan pada aspek ini dan anda terjamin keupayaan membaca dan menulis akan muncul sendiri.
Komen