Usik Selera Makan Si Manja
– Assoc Prof Dr Poh Bee Koon, Nutritionist
Apabila kita bercakap tentang pemakanan kanak-kanak prasekolah, ibu bapa biasanya mempunyai dua soalan – “Adakah anak saya makan dengan secukupnya?” dan “Adakah makanan yang saya berikan berkhasiat?” Kerisauan ini bertambah terutama apabila si manja enggan menjamah hidangan atau cerewet tentang makanan.
Jika anda mengalami situasi ini, jangan gelabah. Terdapat pelbagai cara untuk mengatasinya. Satu permulaan yang baik ialah dengan mengambil kira cara anda memilih dan menghidangkan makanan untuk si manja.
Berikut adalah panduan yang boleh anda amalkan.
Kepelbagaian dan warna
- Hidangkan makanan yang mempunyai pelbagai warna bagi menceriakan meja makan (atau mangkuk hidangan). Misalnya anda boleh menghidangkan sayur-sayuran berwarna hijau, kuning, merah dan coklat.
- Ubahsuai hidangan dengan memasak makanan yang berbeza dari kumpulan yang sama di dalam Piramid Panduan Makanan (lihat ilustrasi) dan tukarkan gaya memasak. Contohnya, ikan, ayam itik dan daging berada di dalam kumpulan yang sama jadi anda boleh menghidangkan ikan goreng hari ini, sup ayam keesokan harinya dan daging panggang pada hari seterusnya.
- Jika anak anda enggan memakan sesejenis makanan (atau sesejenis sayuran), cuba gabungkan makanan tersebut dengan sesuatu yang digemarinya. Gunakan cara memasak yang berlainan, jika perlu – contohnya dengan merebus atau mereneh sup. Jika cara ini tidak berhasil, cuba gantikan makanan tersebut dengan makanan lain dari kumpulan yang sama untuk sementara waktu dan cuba berikannya semula beberapa minggu kemudian.
“Cantik dilihat, senang dipegang dan enak dimakan”
- Kanak-kanak kecil suka ‘bermain’ dengan makanan, maknanya mereka bukan sahaja suka merasai makanan tersebut malah mereka juga suka memegangnya. Seleri atau lobak merah dan lain-lain makanan yang mudah dipegang sangat sesuai untuk tujuan ini.
- Selain ‘merasai’ makanan, kanakkanak juga sukakan makanan yang dihidangkan dengan cara yang menarik. Ubah gaya menghidang daging, buah-buahan dan sayursayuran kepada bentuk bentuk mudah seperti bulatan, segi empat, segi tiga atau bentuk bintang. Jika anda merasa kreatif, cuba bentukkan hidangan seperti bangunan, kereta, bot, binatang atau pokok. Anda boleh membuat bentuk-bentuk ini dengan memotong, menyusun dan mencampur-gaulkan makanan.
“Terlalu Panas, Terlalu Sejuk”
- Apabila makanan dihidangkan, pastikan ianya tidak terlalu panas atau sejuk.
Kesimpulannya, makanan berkhasiat boleh berasa enak dan mudah disediakan. Dengan sedikit kreativiti dan perancangan, anda boleh menjadikan masa makan saat yang dinanti-nantikan oleh si manja.
Piramid Panduan Makanan Program Permulaan Pemakanan Ceria
Persatuan Pemakanan Malaysia dan pakar-pakar di dalam Panel Penasihat Program Permulaan Pemakanan Ceria telah menghasilkan Piramid Panduan Makanan bagi membantu anda memastikan si manja mendapat khasiat secukupnya dari makanan seharian mereka. Piramid ini penuh dengan kepelbagaian. Hampir semua jenis makanan diwakili di dalam Piramid ini. Jika anda biarkan si manja mencuba makanan berlainan dari setiap aras setiap hari, dietnya akan dipelbagaikan. Ia bukan sahaja menjadikan waktu makan sesuatu yang menyeronokkan, si manja juga akan mendapat khasiat sepenuhnya yang hanya boleh diperolehi dengan mempelbagaikan diet seharian.
Berikut adalah beberapa panduan Piramid yang anda perlukan.
Hidangkan jumlah makanan mengikut aras: lagi rendah sesuatu aras, lagi banyak yang anda perlu makan setiap hari. Maksudnya, anak anda perlu:
- Makan paling banyak dari Aras 1
- Makanan di dalam aras ini adalah sumber karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada si manja
- Jenis makanan di dalam kumpulan ini termasuklah nasi, mi, roti, makanan berasaskan bijirin dan kentang
- Makan lebih dari Aras 2
- Makanan di dalam kumpulan ini kaya dengan vitamin dan mineral yang penting bagi mengekalkan kesihatan dan memastikan badan berfungsi dengan baik
- Ia termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran
- Makan dengan sederhana dari Aras 3
- Ikan, daging tanpa lemak, ayam itik, telur dan produk kekacang penting bagi membekalkan protein.
- Susu dan produk tenusu juga tidak boleh diabaikan kerana ianya adalah sumber terbaik kalsium untuk gigi dan tulang yang kuat.
- Makan dengan sedikit dari Aras 4
- Lemak, minyak, garam dan gula memang ada peranan di dalam pemakanan seharian si manja. Tetapi, ia boleh diambil di dalam kadar yang sedikit sahaja kerana pengambilan berlebihan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti karies gigi (jika makan banyak gulagula) dan obesiti yang boleh menyebabkan masalah jantung serta strok di kemudian hari.
Air tidak ditunjukkan di dalam Piramid Panduan Makanan tetapi anda perlu memastikan si manja minum air dengan secukupnya sepanjang hari. Ia membantu mengelakkan dehidrasi (terutama di dalam cuaca kita yang panas dan lembap) di samping mengekalkan keseimbangan.
Rancang Menu Lazat Untuk Anak Anda
Anda kebuntuan idea tentang apa yang anda hendak dihidangkan? Jangan risau. Sebenarnya, mudah sahaja menawan hati si manja jika anda mempunyai senarai idea lazat untuk dicuba. Berikut adalah makanan yang sering menjadi kegemaran kanak-kanak untuk anda pilih.
Mengatasi Masalah Sarapan Pagi Yang Membosankan
- Bubur nasi dengan daging, ayam atau sayur-sayuran
- Roti sanwic atau ban dengan tuna, ikan sardin, telur atau keju sebagai isi
- Roti bakar dengan telur separuh masak atau kacang panggang
- Roti Perancis
- Roti bakar dengan marjerin, mentega kacang atau jem
- Thosai atau iddli dengan sedikit kuah dhall
- Putu mayam dengan sedikit gula merah dan kelapa kukur
- Bijirin sarapan dengan susu
- Nasi goreng, bihun, mee atau kway teow dengan ayam tanpa lemak dan sayur-sayuran, masak dengan sedikit minyak
- Pau berintikan daging, ayam, sayursayuran atau kacang merah
- Kastad jagung manis
- Karipap, hidangkan sekali sekala
- Tat Kastad Telur
- Tauhu sumbat dengan sos tomato
- Penkek Pisang
- Kek Sepan
- Puding buah-buahan
- Agar-agar buah-buahan dan susu
- Bubur chacha dengan susu
- Appam kukus atau appam balik
- Popiah basah
- Pengat pisang atau pengat dengan ubi keledek (gantikan santan kelapa dengan susu)
- Biskut krim kraker atau oatmeal.
- Barli dan fuchok, bubur kacang merah atau kacang hijau.
Nota: Hidangkan sarapan pagi dengan minuman berkhasiat yang mengandungi protein, vitamin dan mineral. Contohnya susu, jus buah-buahan atau susu kacang soya.
Hidangan Utama Yang Menyelerakan
Lauk yang boleh dihidangkan dengan nasi dan sayur-sayuran:
- Ayam masak kicap atau sos tomato
- Kurma ayam
- Sup ayam, daging atau ikan dengan lobak merah dan kentang
- Kari ayam, ikan atau telur (kurangkan pedas)
- Ikan masak masam manis
- Tauhu kukus dengan daging cincang
- Bebola ikan goreng dengan sayursayuran
- Telur fuyong
- Ikan masak lemak tanpa cili, gunakan sedikit santan
- Ikan masak pindang
Hidangan Segera & Sempurna
- Mi goreng, pasta atau nasi goreng dengan sayur-sayuran dan ayam
- Bubur nasi dengan daging cincang dan lobak merah
- Bubur nasi dengan ikan bilis dan bayam
- Mi sup
- Nasi ayam
Enaknya Buah-Buahan Buah-buahan dan pencuci mulut berasaskan buah-buahan boleh dihidangkan di akhir waktu makan kerana ia kaya dengan vitamin dan mineral. Buah betik, belimbing besi, tembikai dan ciku boleh dihidangkan segar atau dicampur ke dalam agar-agar atau puding.
Komen