Pengasuhan Positif

Cepatlah, mak!

“Mak, ketinggian saya bertambah!” Mei Mei memberitahu ibunya, sambil melihat ukuran ketinggiannya pada carta yang dilekat di dinding. Satu sentimeter memang banyak untuk kanak-kanak pada umur bertatih atau prasekolah, kerana mereka begitu ingin menjadi “besar”seperti abang, kakak atau kawankawan mereka.

Dari umur 2 hingga 6 tahun, anak anda akan membesar pada kadar yang lebih perlahan dan mantap berbanding dengan dua tahun sebelum itu. Berat badannya mungkin meningkat pada purata 2-3 kg setiap tahun manakala ketinggiannya akan bertambah sebanyak 6-8 sm setiap tahun.

Tulang dan ototnya juga membesar, supaya lebih mudah bergerak dan melakukan aktiviti fizikal. Apabila mencapai umur 2.5 tahun, semua gigi susunya sudah tumbuh.

Si manja anda juga sedang belajar mengawal pergerakan fizikalnya. Daripada bertatih sambil memegang kerusi, dia kini belajar bagaimana berjalan, berlari dan memanjat. Dia juga mempelajari kemahiran motor halus seperti cara memegang pensil, mengguna gunting, menulis dan melukis.

Dia bukan sahaja lebih aktif, tetapi juga semakin ingin tahu. Dia sering bertanyakan pelbagai soalan, ingin mencuba ini dan itu, dan memerhati segala aktiviti di sekelilingnya.

Wah! Bagaimana anda hendak mendapat tenaga untuk menjaga si manja yang begitu aktif? Lebih penting, bagaimanakah anda memastikan supaya anak sihat dan kuat untuk menikmati tahun-tahun formatif ini?

Pemakanan sihat adalah asas bagi semua perubahan fizikal dan mental ini. Anak anda memerlukan tenaga supaya boleh membesar dan membuat segala aktiviti yang menyeronokkan pada umur ini. Dia memerlukan protein yang merupakan bahan asas bagi pembinaan otot dan organ badan. Anak anda juga memerlukan pelbagai jenis vitamin dan mineral yang bertanggungjawab melakukan beratusratus fungsi di dalam badan.

Makanan berlainan mengandungi semua nutrien ini. Oleh yang demikian, anak anda harus makan pelbagai jenis makanan supaya dia mendapat semua nutrien yang penting. Tabiat makan sihat harus dipelajari dari awal lagi. Jika anak anda mula menikmati pemakanan sihat semasa muda lagi, dia akan terus mengamalkannya sepanjang hayat.

CEREWET MAKAN

Jika anak hanya mahu makan sejenis makanan sahaja:

  • Cuba memujuknya untuk makan sesuatu dari setiap kumpulan makanan
  • Usiknya dengan cara main-main

Jika anak enggan makan sayur-sayuran:

  • Hidang pelbagai jenis sayuran yang dimasak atau disediakan dengan cara berlainan
  • Hidang sayuran dengan kreatif, misalnya menggunakan sayur untuk membentuk gambar
  • Pastikan masa makan adalah seronok

Jika anak makan terlalu sedikit:

  • Ini mungkin bukan masalah jika hanya berlaku sekali-sekala dan anak membesar dengan normal
  • Ia mungkin memerlukan nasihat doktor jika berterusan dan berat badan anak tidak meningkat

Jika anak lebih berminat dengan benda lain selain daripada makanan:

  • Ini mungkin kerana anak di dalam peringkat umur di mana dia lebih berminat untuk bermain dan ingin tahu tentang keadaan sekelilingnya
  • Ia bukan masalah jika hanya berlaku sekali-sekala

Jika anak suka menyimpan makanan di dalam mulut dan tidak mahu menelannya:

  • Padamkan televisyen, radio atau permainan komputer supaya tidak mengganggu perhatian anak anda
  • Pastikan suasana makan adalah tenang
  • Pastikan anda tidak menyuap makanan lebih daripada apa yang boleh dimuat dalam mulutnya

Jika anak tidak mahu makan pada masa yang tetap:

  • Pastikan dia tidak mengambil snek berkalori tinggi (seperti gula-gula, keropok atau minuman bergas) sepanjang hari
  • Pastikan dia tidak bersnek dalam masa 1.5 – 2 jam sebelum waktu makan utama
  • Jika anak tidak suka aktiviti makan:
  • Jangan memaksa anak makan bersendirian atau pada waktu berlainan
  • Pastikan sekeluarga makan bersamasama
  • Pastikan waktu makan seronok

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen