Pengasuhan Positif

Menukar Snek Daripada Musuh Menjadi Sahabat

Beberapa hari lalu, saya berbual dengan Sara, seorang ibu muda, tentang tabiat anak lelakinya, Brandon, 4 tahun, yang terlalu gemar makanan snek. “Dia suka makan segala makanan yang tidak sihat, bukan makanan yang sepatutnya!” katanya. “Dia mengutil makanan dalam pinggan makannya tetapi pelahap bila makan aiskrim dan jeli. Macam mana saya nak kawal tabiatnya?” Sebenarnya, masalah ini dihadapi oleh ramai ibu yang mempunyai anak-anak kecil. Ia memang mengecewakan, tetapi terdapat cara untuk menangani situasi ini.

Tukar pandangan anda

Snek biasanya dikaitkan dengan makanan yang manis dan kurang berkhasiat. Mengapa? Adakah ini disebabkan anda sendiri mempunyai tanggapan sedemikian terhadap makanan snek? Andakah anda juga gemar mengunyah manisan antara waktu makan? Kanak-kanak gemar meniru kita! Buruk baik snek bergantung kepada tanggapan kita. Jadi, kita perlu menganggap snek sebagai cara tambahan untuk memastikan si manja mendapat khasiat pemakanan yang secukupnya, lebih-lebih lagi jika anak anda cerewet makan.

Hilang dari pandangan, hilang dari ingatan

Jangan simpan makanan tidak sihat di dapur anda. Jika si manja tidak melihat gula-gula kegemarannya, sudah tentulah dia tidak memintanya.

Sediakan pilihan yang sihat

Simpan makanan seperti biskut oatmeal, puding buah-buahan, kek span, tart telur, buah-buahan dan sebagainya. Sediakan tempat untuk ‘snek’ dalam peti sejuk atau atas kaunter yang boleh dicapai oleh si manja (sudah tentulah dengan kebenaran anda).

Masa penting

Jangan beri snek kurang daripada 1½ hingga 2 jam sebelum waktu makan kerana si manja akan kekenyangan hingga tidak mahu makan tengah hari atau makan malam. Snek tidak boleh menggantikan makanan ruji.

Tingkatkan khasiat pemakanan

“Selepas sekian lama dibiarkan makan snek manis, dia tentu akan memberontak kalau saya bagi dia puding buahbuahan,” kata ibu Brandon. Jangan sama sekali larang si manja makan snek kegemarannya. Sebaliknya, kurangkan saiz sajian dan hidangkan bersama makanan lain seperti bubur kacang merah atau susu soya.

Jadikan masa makan masa yang menyeronokkan

Anda risau dengan tabiat si manja mengutil makanan di meja makan? Kaum ibu cenderung bersikap seperti sarjan pemerintah perbarisan bila tiba waktu makan tengah hari atau makan malam: “Duduk! Makan! Habiskan makanan kalau tak mahu kena rotan!” Adakah ini menyeronokkan? Ibu (dan ayah) hendaklah bertolak ansur sedikit. Ceriakan suasana pada waktu makan. Jangan marah atau paksa anak makan. Jangan biarkan waktu makan berlarutan hingga lebih satu jam. Hidangkan saiz sajian yang kecil dan berikan peluang untuk anak anda meminta lebih. Ingatlah, anda ada juga banyak makanan snek yang sihat untuk diberikan jika si manja merasa lapar kemudian.

Jeli Keladi

Hidangan Untuk 18 orang

Bahan-bahan:
A

  • 8 g agar-agar – rendam dalam air selama 10 minit
  • 100 g gula
  • 400 ml susu sejat penuh krim
  • 240 g keladi – potong kuib dan rebus
  • 1/4 sudu kecil garam

B

  • 12 g agar-agar – rendam dalam air selama 10 minit
  • 50 g gula
  • 200 ml susu sejat penuh krim

v4-article10b

Langkah

  1. Masak agar-agar bersama susu sejat penuh krim dengan api kecil sehingga agaragar larut. Tambahkan gula, garam dan keladi. Tuangkan ke dalam bekas empat segi dan biarkan sehingga keras. Potong agar-agar menjadi kiub-kiub kecil.
  2. Masak agar-agar bersama susu sejat penuh krim dengan api kecil sehingga agaragar larut. Masukkan gula dan masak sehingga gula larut. Biarkan sejuk sedikit. Campurkan (A) dan (B) dan biarkan keras di dalam bekas.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen