Pengasuhan Positif

Tiba Masanya Menimang Cahayamata

Selepas sembilan bulan menghabiskan masa mengunjungi hospital dan mengikuti perkembangan bayi pada setiap peringkat, tarikh jangkaan lahir anda akhirnya semakin hampir. Anda telah begitu sabar menunggu untuk memeluk bayi dalam dakapan anda dan merenungnya dengan penuh kasih sayang.

Adalah biasa sekiranya anda berasa cemas dan gelisah. “Adakah bayi saya dalam keadaan yang baik? Sanggupkah saya menanggung kesakitan bersalin?” merupakan antara persoalan yang sering bermain di fikiran setiap bakal ibu.

Membuat persediaan yang wajar, dan memahami apa yang akan mungkin berlaku semasa proses kelahiran dan menyakini kebolehan dan kewibawan pakar obstetrik anda, akan membantu mententeramkan fikiran anda serta membolehkan anda menumpukan perhatian terhadap kelahiran bayi.

Pre-pendaftaran

Semasa lawatan antenatal yang terakhir, anda dan suami mungkin perlu mengisi borang pra-pendaftaran untuk kelahiran, membayar wang cagaran dan menempah bilik, bergantung kepada prosedur hospital anda. Anda mungkin juga diberi penerangan mengenai penginapan anda di hospital.

Pendaftaran

Anda patut segera ke hospital apabila sakit bersalin bermula. Tanda-tanda yang biasa ditunjukkan termasuk tanda darah, pecah air ketuban, atau pengecutan (kontraksi) rahim yang tiba-tiba. Setiba di hospital anda setelah selesai mendaftar, anda akan dihantar ke bilik bersalin. Di sini, kadar nadi, tekanan darah dan suhu badan anda akan diperiksa secara berkala. Alat pemantauan janin elektronik atau juga dikenali sebagai CTG (Cardiotocograph) akan dipasang pada bahagian abdomen
anda. Ia mempunyai dua alat pengesan – satu untuk mencatat kekuatan dan kekerapan kontraksi anda, dan yang satu lagi untuk mencatat corak degupan jantung bayi anda.

Sakit Bersalin Dan Kelahiran

Semasa anda sakit bersalin, serviks (pintu rahim) anda akan terus membuka sehingga mencapai pembukaan maksima iaitu 10 sm, untuk membolehkan bayi keluar. Proses ini mungkin mengambil sama beberapa jam sehingga beberapa hari, dan melalui 3 peringkat.

Peringkat pertama. Peringkat ini terdiri daripada dua fasa. Pada fasa awal (apabila pembukaan serviks kurang daripada 4 sm), kontraksi biasanya berlaku pada sela masa yang lebih panjang, mungkin setiap 20 minit. Pada permulaan setiap kontraksi, tarik nafas dan hembus nafas sedalamnya dan perlahan. Ini akan membantu anda bertenang.

Pada fasa aktif, (pembukaan serviks 4 hingga 10 sm), kontraksi menjadi lebih kerap (setiap 2 hingga 5 minit) dan setiap kontraksi berlangsung selama 40 hingga 60 saat. Cubalah bernafas lebih cepat dan dalam-dalam sekarang. Setiap kali anda menarik nafas, bilang “satu-dua” sebelum menghembus keluar. Bilang “satu-dua” lagi sebelum menarik nafas yang seterusnya. Lakukannya selama mana yang anda rasa perlu.

Doktor anda akan memeriksa pembukaan serviks anda pada sela masa yang tertentu dan memberitahu anda apabila telah tiba masa untuk melahirkan bayi. Ada kalanya anda terasa untuk meneran sebelum tiba masa yang sepatutnya. Kawal desakan tersebut dan cuba bernafas dengan kuat (dengan mengembungkan pipi anda semasa menghembus nafas) sehinga keinginan untuk menolak itu berlalu.

Peringkat kedua. Apabila tiba masanya untuk meneran, tumpukan perhatian kepada arahan yang diberikan. Tarik nafas sedalam-dalamnya lalu teranlah selama lima hingga enam saat atau selama mungkin. apabila kepala bayi muncul pada akhirnya, anda akan berasa amat lega. Beberapa lagi usaha penolakan diperlukan sebelum seluruh badan bayi dapat keluar.

Doktor anda akan memotong tali pusat bayi. Selepas pemeriksaan awal yang ringkas, bayi akan dihulurkan kepada anda untuk seketika. Selepas itu, bayi akan ditimbang, diukur, serta diberikan suntikan Vitamin K dan vaksin Hepatitis B.

Peringkat ketiga. Prosedur kelahiran berakhir dengan pengeluaran uri daripada rahim. Ini diikuti dengan jahitan untuk membaiki sebarang koyakan yang telah berlaku, jika ada. Seterusnya, anda akan dihantar bersama bayi anda ke bilik anda di mana anda dan keluarga boleh meraikan cahayamata anda yang baru. Sekarang merupakan masa yang baik untuk memulakan penyusuan susu ibu memandangkan ia adalah cara terbaik bagi memulakan jalinan hubungan antara anda dan bayi anda.

Melegakan Kesakitan

Terdapat beberapa kaedah untuk melegakan kesakitan semasa bersalin. Epidural adalah yang paling berkesan dalam kebanyakan kes. Ia disarankan terutamanya kepada ibu yang menghidap penyakit tertentu, seperti tekanan darah tinggi dan kebanyakan jenis penyakit jantung. Kaedah yang lain bagi melegakan kesakitan termasuk sedutan gas Entonox dan suntikan sedatif seperti Pethidine.

Langkah terbaik adalah mempertimbangkan keupayaan diri anda menahan kesakitan dan mengambilkira kemungkinan kesan sampingan kaedah-kaedah tersebut sebelum bermulanya sakit bersalin, supaya mudah anda membuat pilihan.

Kelahiran Secara Bantuan

Kebanyakan wanita melalui proses bersalin yang normal. Walau bagaimanapun, ada kalanya kedudukan bayi di dalam rahim atau status kesihatan ibu memerlukan kelahiran melalui vagina dengan bantuan atau pembedahan Caesarean. Prosedurnya diterangkan di bawah ini.

Kelahiran Melalui Vagina Dengan Bantuan

  • Episiotomi. Satu guntingan dibuat ke dalam perineum, menghala ke sebelah kanan dan menjauhi dubur, untuk memperbesar bukaan faraj bagi memudahkan kelahiran dan mencegah koyakan spontan yang lebih teruk.
  • Kelahiran Forsep. Doktor menggunakan sepasang penyepit logam yang bersambung dengan pemegang untuk memegang kepala bayi supaya bayi dapat ditarik keluar. Sedikit tanda lebam sementara mungkin berlalu pada kulit muka bayi.
  • Penyedutan Vakum. Ini dilakukan dengan memasang cawan penyedut (diperbuat daripada getah, logam atau plastik) di kepala bayi untuk membolehkan doktor menarik bayi keluar. Bengkak kecil lazimnya berlaku pada kepala bayi tetapi biasanya akan hilang dalam masa sehari dua.

Forsep dan vakum lazimnya digunakan apabila peringkat kedua sakit bersalin berpanjangan atau bayi dalam keadaan bahaya pada peringkat itu. Doktor akan memutuskan kaedah mana yang akan digunakan berdasarkan pertimbangan obstetrik.

Kelahiran Caesarean

Pembedahan Caesarean diperlukan dalam keadaan tertentu seperti kehamilan songsang, sesetengah kehamilan kembar atau pada ibu yang telah mengalami dua atau lebih pembedahan Caesarean sebelum ini.

Epidural, bius spinal atau umum boleh digunakan sebagai bius bergantung kepada nasihat perubahan serta pilihan ibu. Secara umumnya, epidural dan bius spinal adalah lebih selamat berbanding bius umum.

Dalam hampir kesemua kes, hirisan melintang, bukan menegak, dibuat pada rahim untuk mengeluarkan bayi. Ini mengurangkan pendarahan dan membentuk parut yang lebih kuat untuk menghadapi kelahiran seterusnya. Penyembuhan juga mengambil masa yang lebih lama berbanding kelahiran normal.

Sehingga Saat Yang Dinantikan

Sakit bersalin dan proses kelahiran tidak dapat dielakkan apabila bayi telah bersedia untuk lahir ke dunia. Sebelum saat itu tiba, nikmati tempoh kehamilan anda ini dengan seberapa selesa yang boleh.

Dapatkan penerangan selanjutnya daripada doktor anda sekiranya terdapat sebarang masalah. Berbincanglah dengan rakan-rakan tentang pengalaman mereka melahirkan bayi tetapi ingatlah bahawa pengalaman dan tanggapan berbeza antara seorang ibu dengan ibu yang lain.

Mintalah bantuan keluarga dan kawan-kawan untuk meringankan bebanan fizikal semasa sarat hamil. Berehat dan teruslah amalkan pemakanan sihat bagi menyimpan tenaga untuk hari bersalin. Mandilah dengan air suam, urutlah anggota badan serta pakailah kasut yang selesa, serta lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.

Selamat menimang cahayamata!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen