Pengasuhan Positif

Adakah Kita Mendidik “Generasi Strawberi”?

Istilah “generasi strawberi” semakin kerap digunakan sejak kebelakangan ini untuk menggambarkan golongan muda yang dianggap mudah tersinggung, cepat berputus asa, atau tidak mampu menghadapi tekanan. Seperti buah strawberi, label ini memberi gambaran bahawa mereka kelihatan menarik tetapi mudah tersinggung (rosak). Namun, label seperti ini biasanya tidak adil – malah boleh memudaratkan – apabila digunakan tanpa memahami asal-usulnya dan realiti yang dihadapi oleh kanak-kanak hari ini.

Dari mana datangnya istilah ini?

Istilah ini dipercayai berasal dari Asia Timur pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, khususnya di Taiwan, untuk menggambarkan pekerja muda yang menghadapi kesukaran menangani tekanan di tempat kerja berbanding generasi yang lebih tua. Lama-kelamaan, istilah ini tersebar ke seluruh rantau termasuk Malaysia, dan menjadi gambaran ringkas bagi kanak-kanak serta belia yang dianggap rapuh dari segi emosi.

Apa yang bermula sebagai pemerhatian sosial kini telah menjadi satu stereotaip. Daripada bertanya mengapa kanak-kanak hari ini kelihatan lebih sensitif, label ini sering meletakkan kesalahan pada anak atau pada “keibubapaan moden”, tanpa mengambil kira gambaran yang lebih luas.

Mengapa kanak-kanak hari ini kelihatan lebih “rapuh”?

Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia yang sangat berbeza daripada ibu bapa mereka. Di Malaysia, tekanan untuk berjaya bermula sejak awal. Waktu persekolahan yang panjang diikuti dengan tuisyen, program hujung minggu, dan aktiviti kokurikulum – semuanya menuju ke arah pencapaian besar seperti peperiksaan sekolah dan SPM. Ramai kanak-kanak merasakan mereka sentiasa dinilai, bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah dan dalam keluarga besar.

Gaya keibubapaan juga memainkan peranan. Pendekatan yang berniat baik tetapi terlalu melindungi boleh mengehadkan peluang anak untuk membina kemahiran berdikari dan menyelesaikan masalah, sekali gus menyebabkan mereka kurang yakin untuk menghadapi kegagalan.

Pendedahan digital yang terlalu awal atau berlebihan tanpa pemantauan ibu bapa yang mencukupi menambah satu lagi cabaran. Media sosial dan kumpulan WhatsApp kelas boleh mengalakkan perbandingan, sama ada dari segi keputusan peperiksaan, pencapaian, atau “kemajuan” yang dilihat. Kegagalan kecil boleh terasa jauh lebih besar apabila kanak-kanak menganggap orang lain lebih mampu mengatasinya. Soalan seperti “Kenapa hanya saya yang rasa susah?” mungkin sering timbul, tanpa menyedari bahawa sebenarnya ada ramai lagi yang merasakan perkara yang sama.

Pada masa yang sama, ramai kanak-kanak kini lebih peka dan bijak dalam mengenal pasti emosi mereka. Mereka mungkin bercakap tentang rasa resah atau tertekan – bukan kerana mereka lebih lemah, tetapi kerana kesedaran emosi kini lebih diterima berbanding generasi terdahulu.

Membesarkan anak yang berdaya tahan

Daya tahan bukan bermaksud mengabaikan emosi. Ia bermaksud belajar untuk bangkit semula, menyesuaikan diri, dan terus maju – dengan sokongan. Ibu bapa boleh membantu dengan membenarkan anak menghadapi cabaran yang sesuai dengan usia mereka. Jika anak terlupa membuat persediaan untuk ujian ejaan atau bergelut dengan komitmen kokurikulum, elakkan daripada terus campur tangan. Sebaliknya, bimbing mereka untuk berfikir, merancang dan mencuba semula.

Dalam banyak keluarga berbilang generasi, hal ini boleh menjadi mencabar. Ibu bapa mungkin menggalakkan sikap berdikari, manakala datuk dan nenek pula campur tangan atas dasar kasih sayang. Komunikasi terbuka antara orang dewasa membantu memastikan anak menerima mesej yang konsisten tentang belajar daripada kesilapan. Apabila ibu bapa memperakui perasaan anak sambil tetap menggalakkan tanggungjawab, anak belajar bahawa emosi adalah sesuatu yang boleh diterima dan cabaran boleh diatasi.

Di luar rumah, komuniti yang lebih luas juga berperanan penting. Ahli keluarga besar, guru, dan pihak sekolah boleh menyokong daya tahan dengan mengukuhkan nilai yang sama: membenarkan kegagalan yang boleh diurus, memberikan bimbingan berbanding penyelesaian segera, dan menormalisasikan usaha serta kegagalan sebagai sebahagian daripada proses perkembangan. Apabila kanak-kanak mendengar mesej yang sama di rumah, di sekolah, dan dalam komuniti, mereka lebih cenderung untuk menghayati kemahiran mengatasi cabaran dengan sihat.

Satu lagi faktor penting ialah menjadi teladan yang baik. Kanak-kanak belajar tentang daya tahan dengan melihat bagaimana orang dewasa menguruskan tekanan. Apabila ibu bapa, pendidik, dan penjaga bercakap dengan tenang tentang cabaran, mengakui kesilapan secara terbuka, dan menunjukkan strategi daya tindak yang sihat, kanak-kanak akan menyerap pembelajaran tersebut.

Akhir sekali, fokus pada usaha berbanding hasil. Puji ketekunan, kemahiran menyelesaikan masalah, dan peningkatan – bukan hanya keputusan. Ini membantu kanak-kanak melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada pembelajaran, bukan sebagai kegagalan diri; serta memahami bahawa kehidupan lebih bermakna sebagai satu proses berterusan untuk berkembang dan belajar daripada pengalaman.

Senarai “boleh” atau “jangan” untuk ibu bapa

Boleh Jangan
  • Galakkan sikap berdikari secara kecil dan berperingkat, mengikut kesesuaian umur anak
  • Melabel anak sebagai “lembut”, “lemah” atau “terlalu sensitif”
  • Ajar anak bahawa kesilapan adalah perkara biasa dan boleh diperbaiki, bukannya alasan untuk mudah berputus asa
  • Terlalu cepat menyelamatkan mereka daripada setiap ketidakselesaan
  • Wujudkan ruang yang selamat untuk perbualan terbuka tentang perasaan dan untuk mendapatkan penjelasan
  • Sentiasa membandingkan mereka dengan kanak-kanak lain atau generasi terdahulu
  • Bantu anak membina kemahiran menyelesaikan masalah

Kanak-kanak hari ini tidak rosak atau lebih rapuh; mereka sedang membesar dalam dunia yang rumit dan pantas berubah. Sensitiviti dan daya tahan bukanlah bertentangan – kedua-duanya boleh wujud bersama. Dengan bimbingan, kesabaran, dan kepercayaan, ibu bapa boleh membesarkan anak yang peka emosi dan mampu menghadapi cabaran hidup, tanpa dibebani label yang tidak membantu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.