Apabila kepuasan senang dicapai, kanak-kanak mudah terperangkap dalam keinginan yang berterusan – lebih banyak mainan, lebih banyak masa skrin, lebih banyak segalanya. Walaupun normal bagi kanak-kanak untuk menyatakan keinginan mereka, perilaku “saya mahu” yang tidak terkawal boleh bertukar menjadi rasa berhak.
Berita baiknya? Kesyukuran adalah satu kemahiran yang boleh dipupuk – di rumah, di sekolah, dan melalui tindakan harian orang dewasa di sekeliling mereka.
Mengapa sukar untuk mengucapkan “terima kasih” hari ini
Dalam dunia yang sangat terhubung hari ini, kanak-kanak di Malaysia sentiasa terdedah kepada iklan, pempengaruh, dan trend – terutamanya di platform seperti YouTube dan TikTok – yang menggalakkan keinginan berbanding rasa terima kasih, menjadikan kesyukuran sukar untuk berakar.
- Budaya pengguna: Kanak-kanak sentiasa terdedah kepada iklan dan pempengaruh yang mempromosikan perkara terbaru.
- Tekanan rakan sebaya: Media sosial dan perbandingan dengan rakan meningkatkan rasa “tidak cukup”.
- Kesibukan ibu bapa: Apabila ibu bapa terlalu sibuk, memenuhi permintaan anak mungkin pilihan yang lebih mudah.
- Kurang matang: Kanak-kanak kecil sukar memahami maksud “cukup” atau menghargai nilai sesuatu.
Bermula di rumah: memupuk budaya kesyukuran
Kesyukuran bermula dengan apa yang kanak-kanak lihat dan alami setiap hari. Rumah adalah tempat nilai lebih banyak diserap daripada diajar. Amalan mudah dan konsisten boleh membantu kesyukuran menjadi tabiat semula jadi. Berikut beberapa idea untuk bermula:
- Bina hubungan: Luangkan masa berkualiti bersama anak setiap hari – walaupun hanya 10 minit. Gunakan waktu makan dan perjalanan kereta untuk berbual. Kanak-kanak yang rasa terhubung lebih mudah menyerap nilai seperti kesyukuran.
- Tunjukkan contoh kesyukuran: Ucapkan terima kasih – kepada pasangan, anak, pembantu rumah, dan penghantar makanan. Luahkan rasa bersyukur: “Saya bersyukur kita ada air bersih hari ini.” Ceritakan apabila seseorang membantu anda atau menunjukkan kebaikan.
- Mulakan rutin kesyukuran: Simpan jurnal kesyukuran, catat satu perkara yang anda syukuri setiap hari. Galakkan anak menulis atau melukis nota terima kasih. Dan sebelum tidur, ajar mereka untuk memikirkan apa yang membuat mereka gembira hari itu.
Galakkan memberi dan membantu
Salah satu cara paling berkesan untuk mengajar kesyukuran adalah dengan membimbing kanak-kanak untuk memikirkan orang lain dan terlibat dalam usaha membantu yang bermakna. Anda boleh:
- Berikan tugasan rumah yang sesuai dengan umur untuk membina tanggungjawab dan empati.
- Sertai projek komuniti atau amal sebagai keluarga.
- Benarkan anak memilih mainan atau buku lama untuk didermakan.
Di dalam kelas: kesyukuran boleh diajar
Sekolah berperanan penting dalam mengukuhkan kesyukuran dengan mewujudkan ruang di mana penghargaan, kebaikan, dan refl eksi menjadi sebahagian daripada pembelajaran. Guru boleh memberi inspirasi melalui cara mudah:
- Puji usaha, bukan hanya hasil: Hargai usaha dan kebaikan: “Saya nampak awak membantu mengemas hari ini – terima kasih!”
- Bercerita dan lakonan: Gunakan cerita rakyat tempatan dan buku yang menonjolkan nilai-nilai seperti berkongsi, berterima kasih, dan rendah hati. Lakonkan situasi di mana watak memilih untuk bersyukur.
Apa yang perlu dielakkan
Ketika mengajar kesyukuran, penting untuk elakkan pendekatan yang mungkin menghalang pertumbuhan emosi anak. Jauhkan daripada:
- Kesyukuran yang dipaksa: Menyuruh anak mengucapkan terima kasih tanpa membantu mereka faham sebabnya.
- Terlalu memanjakan: Sentiasa memenuhi permintaan boleh mengurangkan penghargaan. Apabila anak mendapat sesuatu dengan terlalu mudah atau terlalu kerap, mereka mungkin mula mengharapkan ganjaran tanpa usaha dan tidak nampak nilai di sebaliknya.
- Perbandingan: Membandingkan “orang lain lebih susah” boleh menimbulkan rasa bersalah, bukan rasa syukur sebenar.
- Memalukan: Elakkan melabel anak sebagai “manja” atau “tidak bersyukur” – ia akan memberi kesan sebaliknya.
Kesyukuran bukan satu pelajaran segera, tetapi cara hidup. Apabila kanak-kanak belajar menghargai apa yang mereka ada, mereka akan menjadi individu yang lebih tenang dan penyayang. Dengan menunjukkan contoh kesyukuran dan menjadikannya sebahagian rutin harian, ibu bapa dan pendidik dapat membantu mengubah “saya mahu” menjadi “terima kasih” – satu demi satu detik bermakna.

