Pengasuhan Positif

Membantu Kanak-kanak Pemalu Berkembang Secara Sosial

Dalam kebanyakan keluarga di Malaysia, kanak-kanak sering dipuji apabila bersikap sopan, patuh, dan tidak “terlalu bising”. Walaupun sifat-sifat ini dihargai, ia kadangkala menyukarkan ibu bapa untuk menyedari apabila seorang kanak-kanak sebenarnya menghadapi kesukaran bersosial, dan bukannya sekadar berkelakuan baik.

Sifat pemalu bukanlah satu kelemahan yang perlu “diperbaiki,” tetapi merupakan ciri personaliti yang menunjukkan perasaan tegang atau kekok dalam situasi sosial. Malah, kanak-kanak pemalu sering menjadi pemerhati yang baik dan pemikir yang mendalam. Namun, jika sifat pemalu menghalang kanak-kanak daripada berkawan atau menyertai aktiviti di sekolah, intervensi yang lembut diperlukan bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap keyakinan diri mereka.

1. Mewujudkan asas yang selamat

Bagi kanak-kanak pemalu, dunia mungkin terasa tidak menentu. Ibu bapa boleh menyediakan “ruang selamat” di rumah – iaitu rasa keselamatan emosi yang diperlukan untuk membantu mereka berani mencuba pengalaman di luar rumah – melalui strategi berikut:

  • Elakkan label: Jangan memperkenalkan anak sebagai “si pemalu.” Label boleh mengukuhkan tingkah laku itu sebagai identiti, bukan sekadar perasaan sementara.
  • Akui perasaan mereka: Daripada berkata “Jangan malu,” cuba katakan: “Ibu nampak kamu rasa kurang selesa. Tak apa, ambil masa kamu.”
  • Benarkan fasa ‘pemerhati’: Biarkan anak memerhati taman permainan atau majlis dari jauh sebelum menyertai. Ini membantu mereka memahami suasana mengikut rentak mereka sendiri.

2. Membina kemahiran sosial

Keyakinan sosial ibarat otot yang perlu dilatih. Anda boleh membantu anak anda menguatkan kemahiran ini melalui:

  • Lakonan peranan (roleplay): Berlatih membuat pesanan makanan di restoran mamak atau kopitiam. Biarkan anak memberitahu pelayan apa yang ingin dimakan atau diminum.
  • Temu janji bermain secara kecil: Mulakan dengan sesi bermain seorang rakan sahaja di rumah, tempat anak rasa paling selamat, berbanding menghadiri majlis besar.
  • Ritual persediaan: Datang lebih awal ke sesuatu acara. Menjadi antara yang terawal tiba membantu anak menyesuaikan diri dengan ruang sebelum ia menjadi sesak.
  • Menunjukkan contoh: Tunjukkan tingkah laku sosial (cth. menyapa jiran atau berbual kecil dengan pengawal keselamatan atau pekedai). Kanak-kanak secara semula jadi meniru tingkah laku ibu bapa.
  • Matlamat kecil: Tetapkan sasaran yang mudah dicapai seperti melambai kepada guru atau bertanya khabar kepada seorang rakan sekelas.
  • Memuji usaha: Katakan, “Ibu bangga kamu berdiri dekat dengan kumpulan itu tadi,” daripada berkata, “Kenapa kamu tak bercakap dengan mereka?”3. When to seek professional support

3. Masa untuk mendapatkan bantuan pakar

Kebanyakan kanak-kanak akan mengatasi sifat pemalu apabila mereka memperoleh lebih banyak pengalaman hidup. Namun, adalah penting untuk berjumpa pakar perkembangan pediatrik jika terdapat tanda amaran tertentu. Kadangkala, apa yang kelihatan seperti sifat pemalu sebenarnya mungkin berkaitan dengan keadaan lain seperti:

  • Gangguan keresahan sosial: Ketakutan yang kuat terhadap penilaian orang lain sehingga mengganggu kehidupan harian.
  • Gangguan spektrum autisme (ASD): Kesukaran memahami isyarat sosial dan komunikasi, bukan sekadar rasa malu.
  • Mutisme selektif: Bercakap dengan selesa di rumah tetapi kekal diam secara konsisten dalam situasi tertentu seperti di sekolah.
  • Tekanan emosi yang melampau: Gejala fizikal seperti sakit perut atau tangisan kuat sebelum menghadiri acara sosial.

4. Melangkah ke hadapan

Sifat pemalu sering berubah mengikut usia, dan kanak-kanak mungkin menjadi lebih sedar diri apabila memasuki alam persekolahan. Kesabaran amat penting. Matlamatnya bukan untuk mengubah personaliti anak, tetapi untuk memberi mereka kemampuan untuk meneroka dunia dengan selesa. Dengan menyokong sifat semula jadi mereka sambil menggalakkan perkembangan secara lembut, ibu bapa dapat membantu anak menyerlah mengikut masanya sendiri.

Senarai semak bagi membantu kanak-kanak pemalu berkembang

  •  Elakkan menggunakan label seperti “shy” atau “pemalu”
  • Akui dan sahkan perasaan anak: “Tak apa jika rasa tidak selesa.”
  • Beri masa untuk menjadi ‘pemerhati’ sebelum menyertai sesuatu aktiviti
  • Berlatih membuat pesanan makanan/minuman di mamak atau kopitiam
  • Mulakan dengan sesi bermain seorang rakan sahaja di rumah
  • Datang lebih awal ke sesuatu acara supaya anak boleh menyesuaikan diri dengan ruang
  • Tunjukkan contoh tingkah laku sosial (menyapa jiran)
  • Tetapkan matlamat kecil: cth. melambai kepada guru
  • Puji usaha mencuba, bukan hanya hasilnya
  • Perhatikan tanda amaran, cth. tekanan emosi yang melampau atau mutisme selektif

Langgani surat berita pengasuhan kami.