Pengasuhan Positif

Manfaat Permainan Deria

Untuk kanak-kanak, permainan deria (sensory play) lebih daripada sekadar keseronokan dan permainan. Contohnya adalah rasa pasir basah yang melekat di jari mereka di pantai, warna-warna terang “pelangi” buatan sendiri daripada beras berwarna, atau aroma harum bunga kantan dan serai semasa bermain masak-masak. Pengalaman amali ini membolehkan kanak-kanak meneroka, bereksperimen, dan memahami dunia di sekeliling mereka.

Ia merangkumi apa-apa jenis permainan yang merangsang deria – sentuhan, penglihatan, pendengaran, bau dan rasa. Ia juga merangkumi deria yang kita sering terlepas pandang iaitu keseimbangan (vestibular) dan kesedaran tubuh (propriosepsi), yang penting untuk perkembangan fizikal dan koordinasi. Secara ringkasnya, ia adalah cara semula jadi untuk kanak-kanak memahami persekitaran mereka.

Dengan menggunakan deria, kanak-kanak bukan sekadar bermain, mereka juga membina laluan neural dalam otak. Interaksi awal ini menyokong pertumbuhan kognitif, pemprosesan maklumat, kemahiran menyelesaikan masalah, dan menjadi asas kukuh untuk pembelajaran masa depan.

Permainan deria: bagaimana bermain jadi bermanfaat

Daripada meningkatkan kuasa otak hingga membina kemahiran sosial, permainan deria menawarkan pelbagai manfaat yang jauh melangkaui bilik permainan. Antaranya:

  • Perkembangan kognitif: Permainan deria membina laluan neural otak. Aktiviti menyelesaikan masalah seperti menuang air ke dalam bekas atau membina dengan blok menggalakkan pemikiran kritikal, daya fokus, dan ingatan.
  • Kemahiran motor halus dan kasar: Menguli plastisin atau menggunakan penyepit menguatkan kawalan motor halus; melompat atau memanjat menyokong kemahiran motor kasar untuk koordinasi dan keseimbangan.
  • Perkembangan bahasa: Penerokaan tekstur mengajar mereka perkataan deskriptif seperti “licin” atau “melekit”, lalu memperkayakan kemahiran komunikasi. Bercakap tentang tindakan dan pemerhatian membawa kepada perbualan.
  • Perkembangan sosial dan emosi: Permainan deria boleh menenangkan kanak-kanak dan membantu mereka mengawal diri. Bermain bersama pula mengajar perkongsian, bergilir-gilir, dan empati.
  • Integrasi deria: Permainan deria yang kerap membantu kanak-kanak memproses dan menyusun input deria, serta menapis gangguan supaya mereka boleh fokus.
  • Kesan menenangkan: Aktiviti bermain boleh mengurangkan kebimbangan dan rasa kecewa.

Cuba idea permainan deria ini!

Aktiviti deria terbaik menggunakan barang-barang mudah dan harian. Berikut adalah beberapa idea:

  • Sentuhan: Antara aktiviti sentuhan adalah bermain dengan bahan seperti plastisin, slime, tepung atau pasir, serta permainan menyeronokkan seperti melukis dengan jari. Mereka juga boleh meneroka tekstur, saiz, dan berat berbeza menggunakan bekas deria berisi beras, pasta, atau kacang, atau bermain dengan blok kayu dan mainan susunan.
  • Penglihatan: Ibu bapa boleh menggunakan buku bergambar berwarna-warni atau kad imbas, atau menyusun objek mengikut warna dan saiz. Melihat buih terapung dan pecah semasa mandi juga cara yang baik untuk merangsang penglihatan.
  • Pendengaran: Cuba bermain dengan alat muzik buatan sendiri atau yang dibeli, menyanyi lagu dan rima kanak-kanak, atau mendengar bunyi alam semasa berjalan.
  • Bau dan rasa: Aktiviti untuk bau dan rasa termasuk mencuba pelbagai makanan dengan rasa berbeza seperti manis, masam, dan masin dan menghidu bunga atau herba dari kebun.
  • Pergerakan (keseimbangan dan kesedaran tubuh): Bermain di taman permainan, berbuai, melompat dan berguling, semua boleh merangsang deria pergerakan, keseimbangan, dan kesedaran tubuh.

Permainan deria bukan sekadar cara untuk mengisi masa – ia adalah sebahagian penting zaman kanak-kanak yang mencetuskan rasa ingin tahu, membina kemahiran hidup penting, dan membantu kanak-kanak merasa lebih yakin dengan dunia di sekeliling mereka. Dengan menyelitkan pengalaman kaya deria dalam kehidupan harian, ibu bapa boleh menjadikan detik harian biasa sebagai peluang terbaik untuk pembelajaran, pertumbuhan, dan kegembiraan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.