Apabila orang awam ditanya sebab mereka tidak makan dengan sihat, ramai menjawab ia mahal. Tetapi, ini tidak benar! Pemakanan sihat bukan sahaja penting untuk tubuh anda, ia juga menjimatkan jika anda mengikuti beberapa langkah mudah.
Pemakanan sihat merupakan sebahagian daripada gaya hidup sihat dan faktor pencegahan penyakit. Ini adalah penting, terutamanya apabila kita berhadapan dengan ancaman COVID-19 yang telah banyak mengubah hidup kita sejak tahun lepas. Diet yang sihat adalah sama penting dengan amalan kebersihan dalam mencegah penyakit dan jangkitan.
Namun, terdapat salah anggap bahawa pemakanan sihat adalah mahal dan tidak mampu diamalkan semua orang. Isu utamanya bukanlah kos, tapi pengetahuan yang betul dan ketekalan usaha. Ketika tempoh kesukaran ekonomi ini, kita perlu memperbetulkan pandangan tentang pemakanan sihat dan menggalakkan semua orang mengamalkannya.
Kepercayaan yang salah
Kenapa masih ada anggapan bahawa pemakanan sihat adalah mahal? Antara sebabnya ialah kepercayaan bahawa makanan yang dilabel atau diiklan sebagai “superfood” atau “makanan sihat” – yang selalunya lebih mahal – adalah lebih menyihatkan. Sesetengah orang juga menyamakan harga dengan nilai pemakanan dan percaya bahawa makanan import yang mahal adalah lebih baik dan menyihatkan – ini langsung tidak benar!
Benar, “superfood” atau hasil tani import mungkin kaya dengan nutrien, tapi hasil tani tempatan juga boleh didapati dengan kandungan nutrien yang sama bagusnya tanpa membocorkan dompet kita! Terdapat juga segelintir orang yang percaya bahawa pemakanan sihat bermakna mengambil tonik dan suplemen. Ini bukan saja mahal, malah mungkin tidak diperlukan.
Pengguna bijak sedar bahawa jenama, akuan dan harga tinggi tidak menentukan nilai pemakanan sesuatu makanan atau hasil tani. Apa yang kita perlu lakukan ialah menggunakan kemahiran membeli dengan bijak dan pengetahuan pemakanan semasa membeli bahan dan menyediakan makanan. Langkah berikut boleh membantu anda makan dengan sihat dan berjimat.
Membeli dengan bijak
Langkah pertama untuk pemakanan yang sihat dan jimat ialah pembelian bijak. Pembeli bijak akan mendapatkan makanan/bahan sihat dan berkhasiat dengan harga berpatutan untuk keluarga.
- Pilih tempat anda membeli. Anda tidak perlu pergi ke pasaraya mewah untuk mendapatkan bahan berkualiti. Membeli barang dapur di pasar basah, pasar malam dan pasar raya besar membolehkan anda berjimat, malah anda boleh mendapat bahan yang lebih segar.
- Rancang pembelian anda. Sediakan rancangan masakan mingguan dan senarai barang untuk dibeli sebelum ke pasar. Ikut senarai tersebut dan jangan membeli sesuka hati!
- Pilih yang segar, bukan diproses. Beli tomato segar, bukan sos pasta sedia dimakan. Membuat sos sendiri lebih menyihatkan dan menjimatkan.
- Beli secara borong. Sesetengah produk lebih murah dibeli dalam kuantiti besar, terutamanya ketika jualan murah. Tapi rancang penggunaan anda untuk mengelakkan pembaziran.
- Pilihan lebih murah. Murah tidak semestinya kurang sihat. Sebagai contoh, anda boleh bergilir-gilir menggunakan daging dengan kekacang, yang lebih murah dan setara nilai pemakanannya, dalam hidangan harian.
- Guna jenama biasa dan produk tempatan. Ia lebih murah daripada jenama terkenal dan produk import, tapi kualiti dan nilai pemakanannya setara.
- Baca label. Periksa maklumat pemakanan pada setiap produk yang anda mahu beli dan bandingkannya dengan yang lain untuk mendapat nilai pemakanan dan harga terbaik.
Mari memasak
Langkah seterusnya dalam pemakanan sihat dan jimat ialah memasak di rumah. Selalunya, ia lebih jimat daripada makan di luar atau memesan penghantaran makanan. Lebih penting lagi, anda dapat mengawal setiap aspek penyediaan makanan, lalu menjadikan makanan lebih sihat dan bersih. Mari kita lihat contohnya:
Tip memasak di rumah: Sediakan lebih kuantiti dan guna baki makanan. Contohnya, lebihan ayam bakar untuk makan malam boleh digunakan untuk membuat sandwic ayam untuk makan tengah hari keesokannya. Tapi ingat, simpan dan panaskan lebihan makanan dengan betul.
Satu perkara positif tentang PKP ialah makin ramai orang mula memasak di rumah. Amalkan petua di atas untuk menjimatkan kos dan masak dengan lebih kerap, tapi jangan lupa untuk menerapkan asas pemakanan sihat: diet seimbang dan pelbagai; lebihkan buah, sayur dan bijirin penuh; kaedah masakan lebih sihat; serta kurangkan gula, garam, minyak dan lemak. Pemakanan sihat penting, serta boleh menjimatkan, jika anda tahu caranya dan sanggup berusaha.
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen