Kanak-kanak membesar dengan pantas pada usia bayi dan tahun-tahun awal kanak-kanak. Untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan yang baik, mereka harus mendapat tenaga dan nutrien yang secukupnya. Ini satu kerisauan bagi ramai ibu bapa, terutamanya jika tabiat pemakanan atau kepelbagaian diet anak mereka tidak memuaskan, contohnya memilih makan, kerana risiko kurang berat badan dan tumbesaran lambat akan meningkat.
Jika dibiarkan tanpa penyelesaian, kekurangan pemakanan atau kebantutan boleh menjejaskan perkembangan motor dan kognitif anak secara langsung. Ini menghalang proses pembelajarannya akibat kekurangan tenaga dan minat untuk belajar, lalu menyebabkan prestasi akademik yang lemah.
Ia juga dikaitkan dengan keabnormalan tingkah laku, serta boleh menyekat perkembangan fungsi imun.
Pantau tumbesaran anak anda
Setiap sesi pemeriksaan berkala dengan pakar pediatrik perlu dihadiri. Anda juga perlu memantau tumbesaran anak anda secara kerap (contoh: seminggu sekali) di antara temu janji dengan doktor.
Ukur dan catatkan berat dan tinggi anak anda mengikut umur menggunakan penimbang dan pita pengukur atau carta ketinggian. Jika berat/tingginya tidak menunjukkan corak tumbesaran yang sewajarnya atau dia kurang atau tidak bertambah berat badan sepanjang tempoh 2-3 bulan, ini mungkin menunjukkan masalah seperti tumbesaran lambat. Penilaian lebih terperinci dengan pakar kesihatan yang sah diperlukan.
Pemakanan sihat ialah kuncinya
Terapkan tabiat pemakanan sihat dan seimbang dari usia yang kecil bagi menggalakkan tumbesaran sihat anak anda dan mencegah tumbesaran lambat atau kebantutan. Ini menjamin agar dia menerima nutrien lengkap untuk tumbesarannya dan terbiasa dengan pilihan pemakanan yang sihat.
Berikut merupakan beberapa keperluan nutrien asas dan kepentingannya:
Kalori: Karbohidrat dan lemak perlu menjadi sumber tenaganya yang utama untuk tumbesaran dan perkembangan sewajarnya. Berikan pilihan makanan sihat yang tinggi nutrien dan tenaga daripada semua kumpulan makanan pada setiap hidangan seperti ubi keledek, jagung, buah-buahan, susu, telur, dsb. Elakkan kalori kosong seperti minuman bergas atau gula-gula.
Protein: Ia merupakan asas binaan utama untuk tisu baharu, otot dan antibodi untuk melawan jangkitan. Berikan anak anda dua hidangan susu, yogurt atau keju, serta satu atau dua hidangan daging tanpa lemak, ayam, ikan, telur, tauhu atau tempe setiap hari untuk mendapat protein yang secukupnya.
Nutrien lain yang penting untuk tumbesaran: Apabila anak anda gagal mengekalkan pertambahan berat badan yang secukupnya, ambil langkah sewajarnya untuk memastikan dia menerima vitamin dan mineral yang cukup untuk mengejar tumbesarannya. Pengambilan yang tidak mencukupi akan memburukkan keadaan dan menyebabkan tumbesaran yang kurang
ideal. Berikut adalah beberapa vitamin dan mineral penting:
- Zink. Perlu agar sel berkembang dan bertambah dengan baik, terutamanya semasa fasa tumbesaran pantas. Ia juga membantu membina protein dan menyokong sistem imun yang sihat. Kajian menunjukkan zink yang mencukupi penting untuk mengejar tumbesaran dan suplemen mungkin diperlukan, tapi sila rujuk doktor terlebih dahulu.
- Zat besi. Mineral penting untuk membawa oksigen daripada peparu ke seluruh tubuh dan satu komponen penting dalam tisu otak. Kekurangannya menyebabkan impuls saraf lebih perlahan atau kerosakan kekal pada otak anak, terutamanya jika ia terjadi dalam tempoh dua tahun pertamanya. Rujuk doktor sebelum memberi anak anda suplemen zat besi.
- Vitamin A. Untuk perkembangan mata yang baik, dan perlu untuk pembelajaran visual-kognitif. Satu kajian tempatan, South East Asian Nutrition Survey (SEANUTS), mendapati 1 dalam 25 kanak-kanak kekurangan Vitamin A.
- Kalsium & vitamin D. Untuk tulang dan gigi yang kuat, serta kesihatan mulut yang baik. Kekurangannya menyebabkan riket, kelemahan otot atau kelewatan perkembangan motor. Kajian SEANUTS mendapati kekurangan Vitamin D amat tinggi dan menjejaskan hampir 1 dalam 2 kanak-kanak. Untuk mengejar tumbesaran secara optimum, sertakan makanan kaya atau diperkayakan dengan kalsium dan vitamin D, seperti susu, dalam pemakanan anak anda.
Tumpukan pada pemakanan menyeluruh
Ibu bapa perlu mengambil pendekatan holistik terhadap pemakanan dan menyediakan pelbagai makanan kaya nutrien untuk anak mereka sejak peringkat awal untuk menyokong perkembangan kognitif dan tumbesaran fizikal yang seimbang dan menyeluruh. Semua nutrien adalah penting, jadi jangan hanya tumpukan pada satu nutrien sahaja.
Sebagai ibu bapa, ia menjadi tanggungjawab anda untuk menjaga keperluan pemakanan anak anda. Jangan terlalu bergantung kepada orang lain, seperti pengasuh, pembantu rumah atau datuk dan nenek. Jadi lebih proaktif dalam memantau tumbesaran dan perkembangan anak anda. Galakkannya untuk hidup lebih aktif dengan menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada aktiviti tetap keluarga anda.
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen