Pengasuhan Positif

Anak Anda Menghidap Asma

Anda pasti tahu tentang asma, atau kenal seseorang yang menghidapinya, tetapi sejauh manakah anda tahu mengenainya? Bagaimana ibu bapa boleh membantu jika anaknya menghidapi asma?

Asma merupakan penyakit pernafasan utama dalam kalangan kanak-kanak. Lebih kurang 339 juta orang di seluruh dunia mengalami asma – kebanyakannya adalah kanak-kanak. Asma menyebabkan keradangan dan bengkak pada salur pernafasan peparu lalu menjadikannya sempit. Inilah yang mengakibatkan gejala biasa asma seperti batuk, nafas berdehit dan sesak nafas.

Gejala asma sering mengganggu kualiti tidur, selera makan, masa senaman dan pelbagai aktiviti harian. Ia menjadi punca ketidakhadiran ke sekolah dan ibu bapa terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit. Jika gejalanya teruk mendadak, ia boleh menjadi pengalaman menakutkan bagi ibu bapa dan si anak yang mungkin memerlukan rawatan kecemasan atau dimasukkan ke hospital.

Penting untuk mengenal pasti gejala asma dan menyediakan rawatan yang betul dan wajar. Ubat penyelamat, khususnya sedutan bronkodilator, digunakan untuk merawat gejala akut seperti batuk berterusan dan nafas berdehit. Bagaimanapun, rawatan utama asma adalah penggunaan ubat pengawal, seperti sedutan kortikosteroid, untuk mencegah berlakunya gejala asma.

Jika pesakit terlalu bergantung pada ubat penyelamat dan tidak mengambil ubat pengawal, ia boleh mengakibatkan asma tidak terkawal kerana keradangan dan kesempitan salur pernafasan yang berterusan. Dalam jangka masa panjang, fungsi peparu boleh merosot. Rawatan sewajarnya dengan ubat pengawal akan memastikan kualiti hidup bertambah baik dan mencegah gejala asma serta serangan asma akut yang boleh mengancam nyawa.

Panduan pengurusan asma

Pengurusan asma yang wajar diperlukan untuk mengawal asma, meningkatkan kualiti kehidupan dan mencegah serangan asma akut yang mungkin menyebabkan maut. Patuhi nasihat doktor anak anda dan ikuti langkah-langkah penting ini.

Sediakan pelan tindakan asma.Rancangkan cara pengurusan penyakit asma anak anda dengan terperinci bersama doktor. Pelan tersebut mesti menerangkan dengan jelas cara mengenal pasti gejala asma and tindakan sewajarnya untuk menguruskan gejala tersebut. Ini termasuk jadual pengambilan ubat, cara mengenal pasti dan mengelakkan pencetus asma, cara menguruskan serangan asma akut dan bila perlunya rawatan kecemasan. Kongsikan pelan itu dengan pengasuh dan kakitangan sekolah anak anda.

Kenal pasti & elakkan faktor pencetus. Beberapa alergen dan bahan rengsa boleh mencetuskan serangan asma, seperti bulu binatang, pencemaran udara (cth. jerebu), debunga, habuk, jangkitan virus pernafasan, asap rokok, dsb. Ujian alahan boleh dilakukan ke atas anak anda untuk mengenal pasti faktor pencetus gejala asma. Dengan ini, faktor pencetus tersebut boleh dielakkan. Pastikan rumah anda bebas daripada haiwan peliharaan, habuk dan asap rokok, dan kerap dibersihkan.

Ambil ubatan yang ditetapkan. Ubat pengawal perlu diambil mengikut arahan untuk mengawal asma. Ikut arahan doktor berkenaan ubatan diperlukan dan cara pengambilannya. Kenal pasti juga jenis ubat pengawal untuk kegunaan jangka panjang dan ubat penyelamat untuk serangan asma akut. Jika anak anda terlalu bergantung pada ubat penyelamat, ini bermakna penyakit asma tidak terkawal dan pelan rawatan mungkin perlu diubah suai.

Selia & pantau. Catat dalam diari asma untuk memantau gejala asma anak anda bagi mengenal pasti tanda amaran awal dan melihat keberkesanan rawatan. Meter aliran ekspiratori puncak (peak flow meter) digunakan untuk mengukur penyempitan salur pernafasan. Jika bacaannya rendah berbanding normal, salur udara anak anda semakin sempit dan mungkin tanda awal yang dia akan mengalami serangan asma akut.

Kenali gejala. Ia mungkin muncul beberapa jam atau sehari sebelum serangan asma akut berlaku. Anak anda mungkin kelihatan penat, berkelakuan berlainan, bernafas secara berbeza atau mengadu rasa tidak selesa. Perhatikan tanda-tanda ini dan segera berikan ubatan yang sewajarnya untuk mengelakkan serangan asma akut teruk. Dapatkan rawatan dan nasihat doktor jika keadaannya semakin teruk.

Dapatkan vaksinasi. Kanak-kanak dengan asma disaran mendapatkan vaksinasi flu dan pneumokokus untuk mencegah jangkitan peparu yang boleh mencetuskan serangan asma akut.

Kecemasan asma kritikal. Ia adalah penting untuk mengenal pasti gejala dan tanda serangan asma akut yang boleh mengancam nyawa. Hubungi doktor atau segera ke bilik kecemasan jika anak anda menunjukkan mana-mana gejala berikut:

  • Nafas berdehit dan sukar bernafas secara berterusan, walaupun sudah diberikan ubat penyelamat berulang kali.
  • Batuk berterusan dan bertambah teruk walapun dengan penggunaan ubatan.
  • Bibir dan kuku kelihatan pucat.
  • Pernafasan kencang dengan otot rusuk, dada dan leher yang mengetat semasa bernafas.
  • Sukar bercakap dan tidak dapat mengeluarkan ayat penuh.
  • Mengantuk dan kelihatan letih.

Mengenal pasti gejala asma di kalangan kanak-kanak dan memberi rawatan sewajarnya akan membantu mengawal asma agar mereka dapat hidup secara normal dan aktif. Prognosis jangka panjang bagi asma adalah baik dengan kebanyakan penghidap asma dapat membesar menjadi orang dewasa yang sihat dan cergas.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen