Pengasuhan Positif

Wang Saku untuk Anak

Bagaimanakah anda akan menentukan jumlah wang saku atau elaun, dan waktu pemberian yang sesuai kepada anak anda?

Pemberian elaun adalah peluang bagi anak-anak untuk belajar tentang tanggungjawab dan pengurusan kewangan. Ia cara baik untuk mengajar mereka berdikari, bersabar, bermurah hati dan pandai menghargai. Memperuntukkan elaun untuk anak-anak adalah langkah penting dalam proses perkembangan mereka.

Perihal wang

Berapa banyak harus anda beri kepada mereka? Sebagai panduan, berikan RM1 bagi setiap tahun bersamaan umur mereka pada setiap minggu – anak berumur 10 tahun akan menerima RM10 setiap minggu. Ini juga bergantung kepada situasi kewangan keluarga anda. Asasnya adalah untuk menaikkan jumlah itu sewajarnya mengikut umur berdasarkan keperluan. Jumlah ini sekurang-kurangnya perlu merangkumi perbelanjaan asas seperti makanan dan tambang bas, dan lebih sedikit wang agar mereka boleh membuat simpanan. Jadi, penting untuk anda bincangkan apa yang anda harap mereka lakukan dengan elaun itu.

Anda boleh mula memberikan elaun seawal tadika atau sekolah rendah untuk mereka belanjakan di kantin atau kedai alat tulis. Adalah penting untuk memupuk amalan ini dari kecil kerana ia mengajarkan anak-anak perbezaan antara wang kertas dan syiling, dan menguruskan transaksi dapat membantu meningkatkan kebolehan matematik mereka.

Terdapat pendekatan berbeza bagi pemberian elaun. Ia boleh diberikan secara tetap bergantung kepada keselesaan anda. Anda boleh mula berikan elaun harian semasa mereka kecil, kemudian tukar kepada mingguan atau bulanan apabila mereka lebih tua dan mampu mengendalikan jumlah wang yang lebih besar. Pemberian elaun yang tetap akan memudahkan mereka merancang bajet.

Elaun juga boleh diberikan berdasarkan keperluan. Anak anda perlu minta daripada anda jika mereka kehabisan wang. Bincangkan permintaan mereka dan ajarkan perbezaan antara kemahuan dan keperluan, dan juga strategi bajet yang sewajarnya. Jika mereka mahukan sesuatu yang berharga lebih daripada peruntukan bajet, mereka harus berjimat dan ketepikan kemahuan. Ini mengajar mereka tentang kawalan diri.

Berusaha untuk sesuatu

Ada yang berpendapat anak- anak harus memperoleh elaun mereka melalui kerja rumah, dan ada juga berpendapat anak- anak harus bertanggungjawab atas kerja rumah tanpa bayaran.

Mengaitkan kerja rumah dengan elaun menunjukkan mereka harus berusaha untuk memperoleh apa mereka mahukan, tetapi mereka mungkin mengabaikan tugasan jika mereka tidak inginkan elaun lebih.  Mengasingkan tugasan dan elaun pula mengajar mereka menjadi bertanggungjawab sebagai ahli keluarga, tetapi mereka mungkin tidak menghargai elaun jika mereka tidak perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Penyelesaiannya, asingkan elaun tetap dan tugasan (contohnya, membuang sampah, membasuh pinggan, dsb.), dan tawarkan upah jika mereka melakukan tugasan yang lebih berat dan sukar (contohnya, membasuh kereta), asalkan tugasan tersebut bersesuaian dengan umur. Melakukan tugasan rumah mengajar kemahiran hidup dan sikap bertanggungjawab tanpa mengharapkan ganjaran.

Elaun: panduan mudah

  • Bantu mereka rancang perbelanjaan. Ajar mereka untuk memperuntukkan jumlah yang boleh dibelanjakan untuk pembelian serta-merta dan untuk simpanan.
  • Benarkan mereka berbelanja dengan had.
  • Jangan terlalu kongkong cara mereka berbelanja, tetapi tegur jika mereka melanggar peraturan anda seperti membelanjakan kesemua wang untuk makanan ringan.
  • Bertegas dengan jadual elaun. Jika mereka meminta wang pendahuluan kerana kehabisan wang, jangan mudah bersetuju.
  • Jangan denda dengan memotong elaun. Jika mereka melakukan kesalahan, tarik semula keistimewaan yang mereka nikmati seperti mengehadkan waktu televisyen atau internet.
  • Patuhi nasihat sendiri. Tabiat kewangan anda mempengaruhi anak-anak. Jika anda kerap berbelanja lebih untuk barangan yang tidak diperlukan, mereka akan anggap itu tingkah laku yang boleh diterima.

Setiap ibu bapa mempunyai pendapat masing-masing berkenaan pemberian elaun. Yang pasti, pendidikan kewangan harus bermula sejak kecil, dan membenarkan anak anda mengurus wang sendiri adalah permulaan yang baik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen