Pengasuhan Positif

Saling Menghormati

Anak remaja anda mula pulang ke rumah lewat dari sekolah. Apabila anda bertanya, dia naik berang, “Bukan urusan mak. Saya boleh jaga diri sendiri!” Adakah dia semakin tidak menghormati anda? Dia berkata anda tidak menghormati waktu peribadinya, serta dia memerlukan lebih kebebasan dan rasa hormat daripada anda. Tetapi sebagai ibu bapa, anda rasa anda berhak untuk tahu. Situasi ini boleh membawa kepada percanggahan antara anda dan anak anda. Dalam kes ini, sikap saling menghormati adalah penting. Maka, apa itu rasa hormat?

Rasa hormat bermaksud memperakui kebolehan seseorang dan sifat dalamannya. Menghormati seseorang bermakna memandang tinggi atau berasa kagum terhadap pandangan dan perasaan seseorang. Anak remaja anda mahu diperakui sebagai individu yang setaraf, tetapi dia juga perlu menghormati autoriti anda sebagai ibu bapanya. Kedua-dua pihak harus sedar, perasaan hormat perlulah dua hala dan tidak boleh dipaksa.

Bagaimana untuk dihormati?

Sikap saling menghormati boleh dicapai apabila ibu bapa dan anak remaja berusaha memahami pandangan masing-masing. Ia harus bermula dengan anda sebagai ibu bapa, sebagai satu cara mengajar anak anda tentang sikap hormat. Berikut adalah beberapa cara agar dihormati oleh anak remaja anda, dan pada masa yang sama, melayannya dengan hormat.

  • Empati dan belas kasihan. Empati ialah kebolehan memahami dan berkongsi perasaan dengan orang lain, manakala belas kasihan atau simpati adalah keinginan untuk meringankan kesusahan orang lain. Kedua-duanya penting agar anda dihormati. Cuba berempati dan berbelas kasihan kepada anak remaja anda. Ingat kembali pengalaman anda sendiri semasa remaja. Letakkan diri anda dalam situasinya bagi memahami pandangannya. Berusahalah untuk memahami situasi, perspektif dan emosinya.
  • Jadi seorang pendengar. Dengar apa yang dia hendak katakan sehingga habis sebelum membuat sebarang keputusan atau kesimpulan. Beri dia jelaskan pilihan dan tindakannya. ‘Mendengar’ tidak bermakna anda ‘bersetuju’, tetapi ia satu cara untuk menunjukkan rasa hormat anda terhadapnya. Anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju terhadap penjelasannya, tetapi sentiasa dengar dahulu.
  • Berikan kepercayaan. Percayakannya apabila dia buktikan dia boleh dipercayai. Berikannya sedikit kebebasan untuk membuat keputusan sendiri, jika dia menunjukkan dia boleh bertanggungjawab. Contohnya, semasa mengizinkan dia keluar ke pusat beli-belah dengan rakan-rakan, tetapkan peraturan agar dia pulang sebelum senja. Jika dia patuh, anda boleh mempercayainya apabila dia meminta untuk keluar bersama rakan-rakan lagi.
  • Peraturan munasabah. Anak remaja anda terikat dengan autoriti anda dan harus mengikuti peraturan selagi dia masih tinggal bersama anda. Bagaimanapun, peraturan yang anda tetapkan harus adil, logik dan sesuai untuknya sebagai remaja. Berunding dengannya dan dengar maklum balasnya. Jangan melayannya seperti anak kecil. Elakkan daripada membuat peraturan untuk kepentingan anda atau mengenakan kawalan yang tidak wajar ke atasnya.
  • Jangan malukannya. Jangan memperkecilkan dan memalukannya, sama ada ketika bersendirian atau di hadapan orang, tidak kira betapa anda geram terhadap kesalahan yang dia lakukan. Jangan gunakan kata-kata kesat walaupun anda sangat marah. Berhati-hati agar tidak mengatakan atau melakukan perkara yang anda fikir boleh diterima, tetapi dianggap memalukan bagi anak anda. Kata-kata ibu bapa boleh memberi kesan mendalam terhadap jiwa anak.
  • Perlakuan vs perwatakan. Bezakan perwatakan atau identitinya daripada perlakuannya. Pastikan anda menegur perlakuan atau tindakan buruknya, bukan perwatakannya. Menyerang perwatakannya boleh menjadikan anak anda hilang rasa hormat terhadap anda.
  • Buat apa yang dikata. Sentiasa konsisten dengan kata-kata, tindakan, peraturan dan keputusan anda. Tindakan anda tidak seharusnya bertentangan dengan apa yang anda beritahunya. Seseorang yang hipokrit atau tidak konsisten akan dianggap tidak boleh dipercayai, lalu akan kurang dihormati. Kes yang biasa berlaku adalah apabila seorang bapa memarahi anaknya kerana merokok, sedangkan bapa itu sendiri merokok.
  • Sentiasa jujur. Mengaku kesalahan anda dan akui apabila anak anda betul. Bersikap jujur dan terbuka dengannya menunjukkan anda menghormatinya sebagai seorang individu. Ini juga akan menggalakkannya bersikap jujur dengan anda dan memupuk sikap saling menghormati.

Membina hubungan sihat

Kaedah komunikasi ibu bapa harus berkembang sejajar dengan anak-anak yang membesar. Remaja tidak mahu dilayan seperti anak kecil – mereka mahu bebas dan dianggap matang. Bagaimanapun, ibu bapa masih bertanggungjawab ke atas anak remaja mereka. Ibu bapa dan anak remaja harus memahami peranan masing-masing demi membina rasa saling menghormati, kerana ia unsur yang penting dalam hubungan kekeluargaan yang sihat.

Dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Mental Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen